PERLANTIKAN DATUK IDRIS JALA. NAJIB TIDAK YAKIN ORANG POLITIK?

Thursday, August 27, 2009






Foto: Datuk Idris Jala. Mampukah tokoh korporat pulihkan imej kerajaan BN?






Pastinya perlantikan Datuk Idris Jala sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri diterima baik majoriti rakyat negara ini. Tetapi kepada orang politik, perlantikan beliau tidak memberi sumbangan yang signifikan. Idris Jala bukan Ahli Majlis Tertinggi atau Ketua UMNO bahagian. Beliau juga bukan pemimpin parti komponen BN.

Berbanding dengan pemimpin politik, tidak ramai orang atau pengikut yang menumpang hidup dan menumpang tuah dengan perlantikan Datuk Idris Jala. Kecuali keluarga dan kawan-kawan yang rapat dengan beliau. Makanya tidak ramai orang politik melihat perlantikan itu sesuatu yang positif kepada mereka.

Bagaimanapun kepada rakyat Malaysia secara umumnya perlantikan Datuk Idris Jala disambut dengan penuh harapan. Rakyat melihat Idris adalah seorang tokoh korporat yang terbukti kemampuannya ketika menjadi MD dan Vice President syarikat Shell dan CEO syarikat penerbangan MAS.

Penganalisis politik berpendapat, Dato Seri Najib terpaksa membuat keputusan yang berani setelah mengambil kira keputusan tujuh PRK terutama sekali Permatang Pasir. Di Permatang Pasir sebagai contoh, ahli UMNO berjumlah lebih 5000 berbanding dengan PAS seribu lebih dan PKR juga seribu lebih. Dari mana 6000 pengundi yang menyokong PAS?

Mereka inilah yang dikatakan non-partisan dan barangkali sebahagian besar adalah terdiri daripada golongan remaja dan kaitangan kerajaan dan swasta. Ada yang mengistilah sebagai golongan atas pagar. Golongan ini tidak memihak kepada parti kerajaan dalam PRK? Kenapa? Antara puncanya, golongan tersebut tidak yakin dengan orang politik dalam kerajaan.

Maka itu Dato Seri Najib mengambil keputusan yang segera dan drastic melantik tokoh yang ada kredibiliti dan integrity menyertai kabinetnya. Tidak semestinya orang politik. Ternyata orang politik gagal memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan pimpinan BN.

Persoalan sekarang bukan lagi soal BN kalah dalam PRK tetapi soal integrity orang politik. Sebagai contoh di Permatang Pasir dan Kuala Terengganu. Timbul isu pemilihan calon. Jelas ketara orang politik mengutamakan kepentingan diri dan para sahabat berbanding kepentingan memelihara imej parti dan kerajaan. Apakah orang politik terus diberi kepercayaan dan terus-terusan memberi alasan retorik setiap kali gagal?

Saya menyokong perlantikan Datuk Idris Jala dengan kepercayaan bahawa Najib berhasrat memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan beliau.

Read more...

PAKATAN RAKYAT - RETAK MENANTI HANCUR?!

Saturday, August 22, 2009





Gambar: Mohamad Radzhi Salleh. Exco PKR yang mengistihar dirinya menjadi ADUN Bebas






Bermula di Perak dengan dua ADUN PKR meninggalkan parti itu menjadi ADUN bebas sehingga kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang diketuai PAS tumbang. Kini seorang lagi ADUN Lunas dari PKR negeri Kedah, Mohamad Radzhi Salleh mengistihar diri keluar dari PKR dan menjadi ADUN bebas.

Mohamad Radzhi Salleh adalah Exco Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia Negeri Kedah.

Sementara itu Pemangku Ketua Bahagian PKR Padang Serai, Jamaluddin Abu Hassan mengumumkan pembubaran PKR bahagian Padang Serai.

Apakah berikutnya akan berlaku kepada PKR dan Pakatan Rakyat?

Read more...

ISLAM DI HINA, MELAYU DI CERCA. ANGKARA SIAPA?

Tuesday, August 18, 2009




Foto: Tok Guru Nik Aziz. Yang mana dulu. Islam atau politik?
Pemimpin Islam mesti berhati-hati termasuk orang kuat ugama seperti Tok Guru jangan lupa perjuangan Freemason yang sanggup memberi kemewahan untuk menindas agama Islam dan penganutnya.
Petang ini akan ke Permatang Pasir lagi. Isu yang hangat sekarang ialah fatwa Tok Guru tentang ‘Islam palsu”, ahli UMNO tidak akan masuk syurga. Walaupun kenyataan itu dinafikan selepas itu, fatwa TGNA terus mendapat perhatian rakyat dan isu perdebatan utama antara penyokong kedua-dua parti yang bertanding di Permatang Pasir.

Tok Guru Nik Aziz secara khusus menafikan pernah sebut perkataan ‘ahli’ UMNO dan Palestine. Menurut Tok Guru, beliau tidak pernah menggunakan ayat ahli UMNO sebaliknya ayat yang digunakan ialah ‘penyokong UMNO’ dan menafikan samasekali pernah menyebut perkataan Palestin.

Isu pokok bukan tertumpu kepada benar atau tidak kenyataan Tok Guru. Isu utama ialah sikap dan pendirian Tok Guru sebagai Ketua Musyridul Am parti PAS berhubung dengan isu yang membabitkan Islam. Sebelumnya Tok Guru pernah mengeluarkan kenyataan bahawa “tidak apa” jika DAP menghina Islam kerana mereka tidak faham Islam.

Sikap ini seperti membuka ruang dan pintu kepada pemimpin politik bukan Islam untuk menghina dan mencerca Islam. Secara langsung, golongan tersebut mempersenda dan memperlekehkan agama orang Melayu

Saya tak kisah sangat jika yang mempolitikkan Islam itu adalah Tok Guru Nik Aziz atau pemimpin politik Islam lain, samada dari PAS atau PKR. Memang lumrahnya orang politik tidak lari daripada prinsip asas politik Machiavelli. Namun perbuatan mereka itu telah menjadi ikutan sekutu politik mereka yang bukan beragama Islam.

Read more...

UMNO DENGAN MASALAH "MANTAN". ANWAR DILABEL PENGKHIANAT MELAYU DI PERMATANG PASIR

Friday, August 14, 2009





GAMBAR: Anwar Ibrahim. Permatang Pasir adalah kubu peribadi Anwar. Apa juga serangan peribadi keatas beliau hanya akan merugikan BN.







Sejak gagal mempertahan jawatan naib ketua UMNO, sahabat saya tu telah beberapa kali dihubungi dan dipujuk untuk menyertai PKR atau PAS. “Mereka tak macam orang UMNO hantar sms atau kol. Mereka datang ke rumah”.

“Tetapi sampai la ni saya tolak, saya masih sokong UMNO, walaupun saya tak ada jawatan dalam parti. Orang lain saya tak tahu. Tapi ramai yang dah join.” Begitulah cerita kawan saya itu. Sebenarnya ramai “mantan” pemimpin UMNO yang menjadi target PKR dan PAS untuk menyertai parti mereka. Umumnya mantan pemegang jawatan parti atau bekas YB adalah orang-orang yang berpengaruh.

Di permatang Pasir UMNO dijangka berhadapan dengan ramai mantan termasuk DSAI sendiri adalah mantan MP UMNO, mantan Timbalan Presiden UMNO dan mantan Timbalan Perdana Menteri. Bagaimana dengan mantan Adun Permatang Pasir, Dato Ahmad Saad?

Saya kenal Dato Ahmad Saad sebagai seorang pemimpin yang cakap lepas saja. Dia akan cakap apa dia nak cakap. Dulu beliau orang mustahak dan rapat dengan Anwar Ibrahim. Pada pilihan raya 1999, Dato Ahmad Saad gagal pertahan kerusi Permatang Pasir bila kalah kepada calon PAS dengan majority 3,194. Apakah pendirian beliau ketika ini?

Sejak tahun 1999, Permatang Pasir yang termasuk dalam kawasan parlimen Permatang Pauh, menjadi kubu parti pembangkang. Pada pilihan raya 2004, Permatang Pasir dapat dipertahankan PAS dengan majority berkurangan iaitu 679 sahaja. Tetapi majority bertambah kepada 5433 pada pilihan raya umum 2008.

Pada PRK kali ini UMNO di wakili seorang pemimpin muda Rohaizat Othman berhadapan dengan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man. Orang baru lawan orang lama. Senario hampir sama dengan Manek Urai. Baru lawan lama. Salleh Man telah beberapa kali bertanding tetapi tidak berjaya menjadi wakil rakyat. Mungkinkah Permatang Pasir membawa tuah kepada Salleh Man?

Saya menjangkakan PRK Permatang Pasir akan terus menjadi medan isu sensasi dan sensitive kedua-dua pihak yang bertanding. Pengundi Melayu akan jadi tumpuan kerana 72% daripada pemilih adalah orang Melayu. 25% adalah pengundi Cina. UMNO dijangka akan terus menggunakan isu Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.
Tetapi UMNO mestilah berhati-hati dengan isu pengkhianat Melayu. Jangan sampai keris menikam tuan. fikir-fikirkanlah..

Read more...

BETULKAH BADAN SHAFIE AFDAL ADA PANAU? .

Saturday, August 8, 2009

Politik orang Malaya dan orang Sabah tidak sama. Analisis MSO tentang Shafie Afdal kurang tepat.


Foto: DS Anwar menyuburkan lesen judi di Sabah ketika Menteri Kewangan.




Saya terpanggil menjawab tulisan sahabat saya MSO dalam kritikan Ahad berhubung dengan isu judi, arak dan maksiat.

Ingin saya jelaskan bahawa masyarakat Sabah dan masyarakat di Semenanjung terutama negeri-negeri yang di perintah Pakatan Rakyat jauh berbeza. Ibarat langit dan bumi. Tidak seperti rakyat di Semenanjung, rakyat Sabah jarang menimbulkan isu judi dan arak sebagai isu politik.

Rakyat Sabah melihat isu arak dan judi sebagai isu peribadi. Kalau nak berjudi. Silakan. Kalau nak mabuk dengan meminum arak. Silakan. Nak buat maksiat. Itu urusan individu dengan Tuhan. Tak kena mengena dengan UMNO atau PR.

Untuk makluman MSO, lesen-lesen judi terutama mesin Jackpot kebanyakan diluluskan ketika brother kita Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri kewangan.

Jumlah mesin judi telah berkurangan sekarang berbanding semasa Anwar masih berkuasa. Begitu juga kelulusan lesen empat ekor. Kira-kira tahun 1996, saya masih ingat peristiwa di Sandakan dalam mesyuarat kabinet negeri Sabah yang turut di hadiri Anwar Ibrahim.

Pada ketika itu, kerajaan Pusat telah meluluskan lesen judi empat ekor untuk syarikat Olympia untuk menjalankan perniagaan perjudian empat ekor (Sabah 88). Anwar mendesak supaya KM Sabah pada ketika itu Datuk Yong Teck Lee menarik keputusan tidak membenarkan syarikat itu beroperasi di Sabah. Anwar ugut Yong Teck Lee memberi lesen premis kepada syarikat Olympia.

Bagaimanapun ketika itu Datuk Yong tidak berganjak dari keputusannya sehingga membawa kepada perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ghafur Salleh yang pada masa itu penyokong kuat Anwar Ibrahim.

Premis license syarikat Olympia hanya diberi kelulusan semasa Tan Sri Bernard Dompok menjadi KM Sabah.

Rakyat Sabah begitu liberal dalam isu-isu yang membabitkan hak-hak individu dan jarang mencampur aduk dengan hal ugama. Sebagai rakyat yang berbilang agama dan kaum, rakyat dapat hidup dengan harmoni kerana masing-masing menghormati hak-hak setiap individu. Jika lesen judi ditarik, rakyat masih berjudi secara haram seperti yang berlaku di negeri-negeri di semenanjung. Ini hanya merugikan kerajaan kerana kehilangan pendapatan dan kos penguatkuasaan.

Dato Shafie Afdal yang MSO kata ibarat penjual ubat panau memang sebenarnya tiada panau kerana tidak pernah terlibat dalam decision making di Sabah. Walaupun berjawatan kanan dalam kerajaan Pusat, namun jarang menteri pusat Sabah mencampuri urusan dalam negeri. Hanya PM dan Menteri Kewangan sahaja yang ada bidang kuasa mengenai polisi kerajaan Pusat dan boleh menasihati KM Sabah mengenai dasar kerajaan negeri. Bukan jawatan Naib Presiden UMNO yang di sandang Shafie Afdal.

Read more...

ADUN TERENGGANU DAN DUA LAGI YANG DITAHAN SPRM "MATI MENGEJUT"?

Tuesday, August 4, 2009


Bayangkanlah jika tajuk diatas akan menjadi tajuk utama akhbar tempatan esok atau lusa!
Kalau berita begitu terpampang maka benarlah di otak parti pembangkang bahawa SPRM bukan alat BN.

Tapi kita harap kali ini biarlah pegawai-pegawai penyiasat SPRM mengawasi setiap pergerakan tertuduh. Kemana pun mesti diiring pegawai termasuk ke jamban yang ada tingkap. Memang dalam module siasatan sepatutnya tertuduh dan saksi yang sedang disiasat tidak boleh ditinggal sendirian dan perlu diiring keluar dari bangunan selepas siasatan tamat.
Semalam di Kuantan, Dato Seri Najib menegaskan bahawa SPRM adalah sebuah badan bebas dan menyiasat seterusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas penahanan seorang ADUN Terengganu bersama dua orang lagi setelah dipercayai menerima sogokan RM20,000 dari sebuah syarikat pemaju.
Datuk Ahmad Said kena hati-hati mulai sekarang. Pasti banyak isu akan dibangkitkan kem lawan. fikir-fikirkanlah

Read more...

KRISIS POLITIK TRENGGANU. BILA NAK BERAKHIR?

Sunday, August 2, 2009






Kenapa Ahmad Said enggan berdamai?







Dalam majlis kenduri hari jadi Dato Seri Najib di putrajaya, satu pertemuan diadakan dengan 5 orang pemimpin politik dari Terengganu. Krisis politik Terengganu semakin meruncing?

Krisis antara dua kumpulan di negeri itu seperti tiada penghujungnya. Pengerusi perhubungan UMNO yang baru nampaknya tidak mampu mendamaikan kedua-dua kumpulan. Beliau didakwa lebih banyak mendengar pandangan sebelah pihak iaitu pihak yang menyokong Datuk ahmad Said.

Krisis ini semakin gawat sehingga ada khabar angin sejak beberapa minggu lalu mendakwa bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri telah mengadakan pertemuan sulit dengan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Masalah Terengganu telah bermula tahun lepas bila Tun Abdullah Badawi mengekalkan nama Datuk Seri Idris Jusoh sebagai MB tetapi ditolak oleh pihak Istana yang mahukan Datuk ahmad Said.

Tetapi kumpulan yang menyokong Datuk Seri Idris jusoh sehingga hari ini belum menerima Datuk Ahmad Said. Dalam masa yang sama tidak ada usaha Ahmad Said untuk menarik sokongan kumpulan penentang ini. Beliau sebaliknya menunjukkan preference kepada kumpulan yang menyokongnya dengan memberi jawatan penting dan lain-lain keistimewaan.

Isu terbaru ialah perlantikan pengerusi penyelaras projek yang dipilih MB dari kalangan penyokongnya dikawasan DUN yang tidak menyokong beliau. Kebiasaannya projek-projek dan peruntukan dibawah bidang kuasa ADUN berkenaan telah diambil-alih pengerusi penyelaras.

Bukan itu sahaja kumpulan penentang mendakwa Ahmad Said membentuk kroninya dengan melantik pemandu ambulan dan guru sekolah rendah dari kawasannya sebagai pengarah dalam syarikat kerajaan.

Ahmad Said pula mendakwa kumpulan itu sebagai kumpulan kecewa, tidak menghormati beliau sebagai MB dan enggan berkerjasama dan sewajarnya kumpulan ini dipinggirkan. Ahmad sebenarnya bersikap degil bila arahan Datuk Hishamuddin untuk menukar pegawai kanan yang begitu berpengaruh tidak dipatuhi. Pegawai yang dianggap sebagai MB kedua itu terus kekal dalam jawatannya.

Kumpulan yang mendakwa mendapat sokongan 13 ADUN itu kini mempertimbangkan tiga pilihan. Meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi. Menjadi ADUN bebas atau menerima tawaran dari parti pembangkang. Pakatan Rakyat mempunyai 8 kerusi daripada 32 kerusi DUN dan hanya memerlukan 9 kerusi untuk menjatuhkan kerajaan BN di Terengganu.

Persoalannya kenapakah Ahmad Said terus berkeras dengan prinsipnya yang mungkin akan melemahkan UMNO dan BN di Terengganu? Fikir-fikirkanlah….

Read more...

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP