Showing posts with label politik Sabah. Show all posts
Showing posts with label politik Sabah. Show all posts

BN SABAH: RETAK MENANTI BELAH??

Thursday, September 2, 2010

Pada PRU negeri Sabah tahun 1976, parti USNO masih mampu mempertahankan pengaruhnya di kawasan 20 kerusi bumiputera Islam walaupun KL secara senyap-senyap menyokong penubuhan BERJAYA yang diketuai bekas TYT Negeri Sabah,  Tun Mohd Fuad Stephens. BERJAYA  menang di  20 kerusi kawasan majoriti pengundi bukan Islam.

Pada ketika itu  kerusi DUN Sabah berjumlah 48. Kerajaan Parti Perikatan (USNO-SCA) telah menang tanpa bertanding sejak pilihan raya pertama 1967. Pada tahun 1974, Parti Perikatan ditukar nama kepada Barisan Nasional dan kekal dianggotai USNO yang mewakili rakyat bumiputera, dan SCA, sebuah parti Cina.

Pada PRU 1976, tiada tokoh Cina yang keluar dari BN dan secara terbuka mengkritik Presiden USNO Tun Mustapha atau Tun Mohd Said Keruak (Timbalan Presiden USNO dan KM Sabah). Tidak dinafikan  beberapa pemimpin muda seperti Lim Guan Sing telah menyertai BERJAYA.

Tetapi terbukti pada pilihan raya itu semua 8 kerusi SCA jatuh kepada BERJAYA. Nyatalah bantahan orang Cina terhadap Tun Mustapha dan USNO adalah secara diam-diam.

Pada PRU 1994, pemimpin dan pengundi Cina memain peranan penting sehingga BN yang diterajui UMNO berjaya "merampas" kuasa daripada parti PBS. Datuk Yong Teck Lee seorang tokoh berpengaruh Cina dalam PBS keluar dari parti itu dan menubuhkan SAPP menjadi rakan BN yang berpengaruh pada masa itu.

Tan Sri Chong Kiat, Presiden LDP dan sekutu setia BN  sejak USNO juga berperanan besar meyakinkan pengundi Cina untuk menyokong UMNO dan BN.

Hari ini, bekas KM Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat telah meletakkan jawatan sebagai Presiden LDP. Dua tahun lalu, Chong sebagai  Timbalan Ketua Menteri Sabah meletakkan jawatan kerana masalah peribadi dengan Datuk Musa Aman berhubung dengan tindakan kerajaan negeri batal kelulusan membina patung dewa Mazu di Kudat.

Datuk Yong Teck Lee telah juga membawa partinya SAPP keluar dari BN atas alasan tidak bersetuju dengan kepimpinan Tun Abdullah Badawi. Tetapi SAPP meneruskan hasratnya walaupun Pak Lah berundur dari jawatan PM. Dalam satu kenyataan, Yong pernah berkata Pak Lah dan Musa Aman pernah berjanji melantiknya sebagai senator kerana tidak dicalonkan pada PRU 2008.

Dua tokoh Cina. Dua bekas KM Sabah telah meninggalkan BN. Dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Raymond Tan dan Peter Pang bertukar parti dan menjadi "katak" gara-gara politik Sabah yang tidak "aman" sejak Sabah dianggap sebagai fixed deposit BN.

Persoalan pokoknya, kemanakah sokongan pengundi Cina yang sejak dulu sebagai "king maker" dalam percaturan kuasa di Sabah?


Read more...

NEGERI SABAH PALING BANYAK DAPAT PERUNTUKAN. TETAPI......???

Thursday, July 15, 2010

Datuk Seri Najib dan TS Muhyiddin  dengar penjelasan daripada KKLW dan mereka faham.  Rakyat yang didahulukan!!



Tiga paparan menarik untuk rakyat buat penilaian:
_____________________________________________________



Alhamdulillah………..

Zikry menarik nafas. Dia amat gembira dan bersyukur permohonan projek membina dewan serbaguna kampungnya bernilai 200K telah diberi kelulusan.

Ketika berada dalam lif turun dari pejabat KKLW, dia teringat kata-kata anaknya, “yuran sekolah belum bayar ayah”.

Dengan waran kelulusan tersimpan rapi dalam sampul surat berwarna coklat, zikry tersenyum puas. Zikry tidak pernah dapat projek di Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana jawatannya hanya sekadar Ketua UMNO Cawangan. Yang dapat projek dan keutamaan hanya orang-orang tertentu atau yang berjawatan tinggi dalam parti dan kerajaan.

“Aku boleh tebus rantai isteri yang ku gadai untuk tikit kapal terbang Air Asia ke KL. Aku akan tambah lagi dengan beli rantai baru yang lebih mahal. Aku akan bayar yuran dan peralatan sekolah anak-anak aku, bayar tunggakan kereta, bantu keluarga” bisik hati Zikry.

Esok. Awal pagi Zikry dah sampai di Pejabat Daerah. Zikry rakyat pertama yang sambut DO masuk kebiliknya. Zikry serah surat dari KKLW dengan penuh harapan.

“Pejabat Daerah tidak akan laksanakan projek-projek daripada KKLW tanpa melalui kerajaan negeri berdasarkan surat pekeliling Setiusaha Kerajaan Negeri Sabah”(SKN)

Ayat yang keluar daripada mulut DO itu seperti bom meletup yang bukan sahaja menghancurkan harapan Zikry tetapi harapan anak-anak dan isterinya

-----------------------------------------------------------------------------------
Kira-kira sebulan lalu, dalam satu majlis kenduri kawin di Kampung asal Zikry, saya kebetulan duduk semeja dengan Pegawai Daerah. Saya mohon izin bertanya kisah Zikry.

“Memang benar cerita tu” jawab Pegawai Daerah. Katanya, SKN Negeri Sabah telah edar surat pekeliling kepada semua pejabat daerah. Saya tanya kenapa sampai edar surat pekeliling?

Ketua Pengarah KKLW yang tidak berbincang dengan kerajaan negeri dalam soal perlaksanaan projek di Sabah. Ini masalah teknikal. Kata Pegawai Daerah itu.

“Sebagai pegawai kerajaan, kami serba salah. Saya tidak tahu masalah sebenar tapi saya tidak buat spekulasi kerana saya bukan orang politik. Tapi saya setuju pandangan saudara, akibat krisis ini yang rugi ialah rakyat luar bandar di Sabah” Kata Pegawai Daerah dengan nada serius.

-----------------------------------------------------------------------------------

Apa sebenarnya berlaku? Adakah semata-mata kerana kerajaan negeri tidak diberi "muka"  kerajaan Pusat?Hari ini saya ke Putrajaya untuk mencari jawapan.

Selepas perkenalkan diri, saya dipersilakan duduk dengan sopan.

“Sabah mendapat peruntukan terbesar! Satu pertiga daripada keseluruhan peruntukan KKLW” Pegawai Kanan itu mulakan penjelasan.

“Sebenarnya Cawangan KKLW negeri ditubuhkan disetiap negeri bukan di Sabah sahaja. Semua negeri termasuk di Sarawak, tetapi negeri-negeri lain tidak bantah! Kami di sini terfikir juga mungkin KKLW telah melakukan kesilapan atau ada masalah lain. Jika ini berlaku sudah tentu negeri lain juga membantah! Tetapi hanya Sabah sahaja yang tidak bersetuju”

Sedang pegawai itu asyik beri penjelasan, saya pun mencelah. “Barangkali kerana Sabah adalah fix deposit, pemimpin Sabah tuntut kuasa otonomi untuk mengurus peruntukan kerajaan Pusat?”

Saya juga maklumkan, ada beberapa pemimpin Sabah berpendapat bahawa selepas JPPS (Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah) dimansuh dan digantikan dengan SDO, mereka kurang setuju penubuhan cawangan KKLW negeri.

“Saya faham. Itu isu politik. Kita tak campur. Tetapi kenapa bantah ketika projek tengah rancak dilaksana? Kenapa tidak beri peluang untuk tahun ini Unit KKLW pantau dan laksana projek untuk kepentingan rakyat? Tahun depan boleh bantah dan kita boleh serah semua kepada kerajaan negeri” Jelasnya.

Menurutnya, daripada 6 NKRA, KKLW mencapai KPI yang tertinggi, namun kerana kes di Sabah besar kemungkinan 30% daripada projek-projek luar bandar tidak dapat dilaksanakan dan ini sudah tentu menjejaskan KPI kementerian.

“Tapi isu pokok bukan isu nak kekalkan pencapaian KPI. Kita fikirkan projek pembangunan yang diharapkan rakyat. Sekarang dah bulan Julai. Masa dah suntuk. Pegawai kerajaan akan disalahkan kerana tidak menjalankan tanggungjawab sedangkan kami telah bertungkus lumus untuk pastikan projek-projek luar bandar disegerakan”

“Untuk makluman saudara, PM dan TPM pernah meminta tambahan peruntukan untuk kawasan mereka. Tetapi setelah dijelaskan peruntukan KKLW terhad dan keutamaan di kawasan luar bandar, kedua-dua pemimpin tertinggi itu faham keadaan sebenar. Tetapi pemimpin Sabah, setelah kita beri penjelasan, kenapa perlunya kerjasama daripada KKLW Pusat, pemimpin Sabah seolah-olah tidak mahu faham.” Tegasnya.

“Sekarang Menteri KKLW sudah bertolak ansur dan menyerahkan sebahagian besar projek KKLW kepada SDO (Sabah Development Office) dan KPLB Sabah (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) tetapi apa yang berlaku ialah mereka pula pening tidak dapat laksanakan. Ini kerana projek KKLW walaupun nilai projek  rendah, tetapi kuantitinya banyak.”

“Persoalannya, kenapa bantah cawangan KKLW negeri jika KPLB Sabah tidak mampu laksanakan?” Soal pegawai kanan itu.
------------------------------------------------------------------------------------
Sama-sama kita renungkan…..



Read more...

PELANCARAN PERKASA SABAH - MENJEJAKI PERJUANGAN TUN MUSTAPHA.

Saturday, November 28, 2009


Tun Mustapha - Tokoh politik Sabah yang disanjungi. Bapa Malaysia.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara PERKASA cawangan Sabah akan mengadakan majlis pelancarannya pada 12hb Disember 2009 di Le Meridian Hotel Kota Kinabalu. Pelancaran akan disempurnakan Presiden PERKASA Malaysia, YB Dato Ibrahim Ali.

Selain acara pelancaran,  PERKASA Sabah akan mengadakan pameran tentang perjuangan tokoh-tokoh politik negeri Sabah termasuk Datu  Paduka Mat Salleh dan Tun Mustapha. Galeri pameran itu dikendalikan Jabatan Arkeb Negeri dan akan dibuka pada orang ramai mulai petang  11hb Disember hingga 13 Disember ditingkat 3, Le Meridian hotel.

Pada malam pelancaran PERKASA yang dijangka dihadiri ramai pemimpin politik tempatan, sebuah  pintomin mengenai perjuangan Tun Mustapha akan dipersembahkan.

Oleh kerana jumlah tempat duduk adalah terhad, sesiapa yang berminat menghadiri majlis selain menjadi ahli PERKASA boleh menghubungi Urusetia melalui HP 0168495929.

Pada sebelah pagi, PERKASA akan mengadakan satu seminar bertajuk "Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Di Utamakan. Bukan Sekadar Retorik." Ada tiga ahli panel akan menyampaikan kertas kerja yang dijangka dihadiri 300 peserta. Seminar ini adalah anjuran bersama dengan USBO, Persatuan Murut Sabah, Persatuan Samah Sabah dan JASA.  

Read more...

KETUA PKR SABAH - DR JEFFREY PALING LAYAK

Thursday, October 8, 2009


Dari segi ketokohan dan kewangan, Dr Jeffrey Kitingan (pic) seharusnya dipilih semula menjadi Ketua PKR Sabah.


Baru-baru ini bertiup kencang gossip mengatakan ramai ketua bahagian PKR tidak berpuasahati dengan Pengerusi PKR Sabah, Azmin Ali. Kabarnya satu mesyuarat telah diadakan mencadangkan nama Datuk Hamzah Amir kepada pucuk pimpinan menggantikan tempat Azmin.

Hamzah bukan orang politik. Beliau hanya seorang bekas pegawai kanan kerajaan. Jawatan terakhir Hamzah, tak silap saya ialah Presiden Majlis Perbandaran Tawau. Oleh itu beliau tidak dikenali ramai. Barangkali hanya popular dikalangan orang Semporna, tempat asalnya dan Tawau dan kawasan sebelah Pantai Timur Sabah.

Sungguhpun mewakili suku Bajau, bumiputera Islam yang majoriti, kriteria itu tidak memadai untuk memilih Hamzah. Jika matlamat Anwar Ibrahim memecahkan monopoli UMNO dikalangan pengundi Bajau dan bumiputra Islam yang lain, Hamzah bukanlah tokoh yang dapat memainkan pernan tersebut. Agak mustahil orang yang tidak pernah aktif politik mampu menarik sokongan bekas pemimpin Bajau USNO dan Berjaya. Beliau tiada ketokohan seperti Harris Salleh, Yahaya Lampong atau Karim Ghani.

Dalam masa yang sama, Hamzah bukannya “berduit” dan sanggup menjual harta dan berkorban untuk politik. Seperti Azmin Ali dan Ansari Abdullah, Hamzah hanya mengharapkan peruntukan dari PKR Pusat. Tanpa duit, pasti pemimpin kurang popular jika memegang jawatan penting sebagai Ketua parti di Sabah. Ketua-ketua bahagian sentiasa perlukan duit untuk menggerakkan parti di kawasan masing-masing.

Anwar sebenarnya yakin, masa depan PKR Sabah banyak bergantung kepada sokongan kaum KDM. Isu “Sabah for Sabahan” dan janji menambahkan royalty minyak adalah isu yang amat menarik pengundi muda kaum KDM. Sebenarnya Anwar tahu pemimpin paling layak mengetuai PKR Sabah ialah Datuk Dr Jeffrey Kitingan. Beliau seorang pejuang yang menjadi idola kaum KDM.

Namun dalam masa yang sama Anwar juga tahu sokongan KDM sahaja tidak cukup untuk PKR dan gabungannya SAPP untuk menumbangkan BN di Sabah. Daripada 60 kerusi DUN Sabah, 33 kerusi adalah majority pengundi bumiputra Islam.

Oleh itu PKR sekurang-kurang PKR mesti menawan 4 atau 5 kerusi itu untuk membentuk kerajaan baru. Soalnya siapakah tokoh politik bumiputra Islam yang mampu menarik sokongan mereka? Atau kembali kepada asalnya, memilih Jeffrey Kitingan untuk mengekalkan sokongan KDM dan mengharapkan UMNO akan kehilangan beberapa kerusi kepada parti PAS pada PRU 13.

Read more...

BETULKAH BADAN SHAFIE AFDAL ADA PANAU? .

Saturday, August 8, 2009

Politik orang Malaya dan orang Sabah tidak sama. Analisis MSO tentang Shafie Afdal kurang tepat.


Foto: DS Anwar menyuburkan lesen judi di Sabah ketika Menteri Kewangan.




Saya terpanggil menjawab tulisan sahabat saya MSO dalam kritikan Ahad berhubung dengan isu judi, arak dan maksiat.

Ingin saya jelaskan bahawa masyarakat Sabah dan masyarakat di Semenanjung terutama negeri-negeri yang di perintah Pakatan Rakyat jauh berbeza. Ibarat langit dan bumi. Tidak seperti rakyat di Semenanjung, rakyat Sabah jarang menimbulkan isu judi dan arak sebagai isu politik.

Rakyat Sabah melihat isu arak dan judi sebagai isu peribadi. Kalau nak berjudi. Silakan. Kalau nak mabuk dengan meminum arak. Silakan. Nak buat maksiat. Itu urusan individu dengan Tuhan. Tak kena mengena dengan UMNO atau PR.

Untuk makluman MSO, lesen-lesen judi terutama mesin Jackpot kebanyakan diluluskan ketika brother kita Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri kewangan.

Jumlah mesin judi telah berkurangan sekarang berbanding semasa Anwar masih berkuasa. Begitu juga kelulusan lesen empat ekor. Kira-kira tahun 1996, saya masih ingat peristiwa di Sandakan dalam mesyuarat kabinet negeri Sabah yang turut di hadiri Anwar Ibrahim.

Pada ketika itu, kerajaan Pusat telah meluluskan lesen judi empat ekor untuk syarikat Olympia untuk menjalankan perniagaan perjudian empat ekor (Sabah 88). Anwar mendesak supaya KM Sabah pada ketika itu Datuk Yong Teck Lee menarik keputusan tidak membenarkan syarikat itu beroperasi di Sabah. Anwar ugut Yong Teck Lee memberi lesen premis kepada syarikat Olympia.

Bagaimanapun ketika itu Datuk Yong tidak berganjak dari keputusannya sehingga membawa kepada perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ghafur Salleh yang pada masa itu penyokong kuat Anwar Ibrahim.

Premis license syarikat Olympia hanya diberi kelulusan semasa Tan Sri Bernard Dompok menjadi KM Sabah.

Rakyat Sabah begitu liberal dalam isu-isu yang membabitkan hak-hak individu dan jarang mencampur aduk dengan hal ugama. Sebagai rakyat yang berbilang agama dan kaum, rakyat dapat hidup dengan harmoni kerana masing-masing menghormati hak-hak setiap individu. Jika lesen judi ditarik, rakyat masih berjudi secara haram seperti yang berlaku di negeri-negeri di semenanjung. Ini hanya merugikan kerajaan kerana kehilangan pendapatan dan kos penguatkuasaan.

Dato Shafie Afdal yang MSO kata ibarat penjual ubat panau memang sebenarnya tiada panau kerana tidak pernah terlibat dalam decision making di Sabah. Walaupun berjawatan kanan dalam kerajaan Pusat, namun jarang menteri pusat Sabah mencampuri urusan dalam negeri. Hanya PM dan Menteri Kewangan sahaja yang ada bidang kuasa mengenai polisi kerajaan Pusat dan boleh menasihati KM Sabah mengenai dasar kerajaan negeri. Bukan jawatan Naib Presiden UMNO yang di sandang Shafie Afdal.

Read more...

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP