Cerita sayap UMNO Besut

Tuesday, April 28, 2009


Oleh Zamzuri Damanhuri


HARI ini, mereka di Terengganu, kalau mahu popular cukup mudah. Misalannya, kisah Ketua Umno Bahagian Besut, Idris Jusoh (Datuk Seri). Suasana politik sudah cukup tenang dan harmoni dan orang pun sudah jarang menyebut namanya lagi sekarang. Tetapi, bila dia datang ke persidangan DUN dengan diiringi 12 pengiring termasuk yang memakai seluar pendek, namanya kini mula menjadi sebutan semula di Kuala Terengganu, sebagai salah satu topik berbincang ketika duduk minum petang sambil makan tapai ubi goreng.


Mungkin Idris merasakan keselamatannya akan lebih terjamin bila dia diiringi mereka yang merasakan diri mereka samseng. Maklumlah, politik Terengganu dikhabarkan sebagai tidak selamat sekarang hingga persidangan DUN pun mereka tidak sanggup hadir kerana bimbang akan keselamatan mereka.


Hari ini, dalam Berita Harian, ketiga-tiga sayap Umno bahagian Besut mendakwa kena perangkap – kerana diarahkan tanda tangan aku janji kosong sokong Menteri Besar pada sidang khas.


Maknanya di Terengganu sekarang, bukan sahaja nyawa ahli politik didakwa terancam, malahan, sudah banyak perangkap yang dipasang. Malangnya, hanya tiga orang sahaja ‘terperangkap setakat ini’ iaitu Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian, Mahadi Musa, Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian, Engku Naimah Engku Taib dan Che Senah Sulaiman, Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Besut.


Kenapa mereka masuk perangkap? Siapa yang memasang perangkap? Bagaimana sekarang…adakah mereka bertiga masih dalam perangkap lagi atau sudah dilepaskan dari perangkap itu kerana Idris tentunya boleh melepaskan anak-anak buahnya ini dari perangkap yang dipasang oleh orang-orang Menteri Besar, barangkali.


Cerita politik Umno Terengganu ini boleh dilupakan begitu sahaja kalau orang ramai faham siapa sebenarnya yang menyebabkan keadaan politik ini menjadi sedemikian rupa. Kalau mereka tahu siapa Idris Jusoh, bagaimana cerita dia ketika menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno, merancang memboikot Konvensyen Umno Negeri Terengganu suatu ketika dahulu, kemudiannya dia melanjutkan pelajaran ke luar negara, mennggalkan kawan-kawannya berdepan dengan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ketika itu, tentulah orang ramai faham, sejarah manusia yang suka melontar batu sembunyi tangan ini.


Mahadi, Engku Naimah dan Che Senah bleh menarik balik tanda sokongan mereka kepada Menteri Besar kerana Kepimpinan Umno Besut memang wajar tidak menyokong Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan kalau boleh kepimpinan Umno Bahagian Besut bolehlah menubuhkan ‘kabinet bayangannya sendiri’ untuk memberitahu orang Terengganu termasuk Istana Terengganu bahawa mereka (dari Besut) tidak pernah menyokong keputusan Istana Terengganu dan Perlembagaan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Negeri.


Lagipun, memang orang Terengganu faham, Besut adalah ‘negeri sendiri’ yang terpisah dari Terengganu sejak sekian lama. Hanya orang Besut sahaja yang boleh menjadi Menteri Besar Terengganu pada anggapan mereka tetapi orang lain termasuk dari Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Kuala Nerus hanya boleh menjadi Menteri Besar Terengganu dengan tidak melibatkan Besut!


Aduh, begitu sekali agaknya politik kepimpinan Umno Bahagian Besut kini. Mereka meletakkan pakar-lakar strategi politik mengelilingi Idris yang mereka sanjung dan angat sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia.


Malahan, Idris sering bercakap yang dia mahu mencipta tamadun seolah-olah, dia sahaja yang mampu dan bertamadun sedangkan orang lain, termasuk Pekan di Pahang, Pagoh di Johor dan Kubang Pasu d Kedah, tidak pernah bertemadun kerana Idris tidak datang mencipta tamadun di Pekan, di Pagoh dan di Kubang Pasu.


Tidak hairanlah, ketua-ketua sayap Umno bahagian Besut, mereka bercakap dalam dua suara. Di depan kawan-kawan dari bahagian-bahagian lain dari Terengganu, mereka bersedia menyokong kepimpinan Menteri Besar tetapi apabila mereka balik ke Besut, mereka mendakwa diri mereka diperangkap oleh orang Menteri Besar yang memasang perangkap.


Sebenarnya, jika ketua-ketua sayap Umno Besut membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan Ahmad Said sebagai Menteri Besar pun tidak akan mengubah kedudukan Datuk Ahmad Said dan jika mereka menyokong sekali pun, kedudukan yang ada tidak akan berubah. Bak kata pepatah, mereka ini sebenarnya hanyalah ibarat melukut di tepi gantang, ada tidak menambah, tidak ada tidak mengurang.


Umno Bahagian Besut tidak ada lebihnya dari Umno Bahagian Kuala Nerus. Jika Besut ada satu kawasan Parlimen, Setiu juga ada satu kawasan Parlimen. Jika Besut ada empat kawasan DUN, Dungun juga mempunyai empat kawasan DUN. Besut hanya satu bahagian dari lapan bahagian yang melengkapkan Negeri Terengganu dan jika Besut tidak sokong Menteri Besar, masih ada tujuh lagi bahagian yang tetap menyokong.


Kenapa mahu diperbahaskan isu Besut ini secara berlebih-lebihan? Adakah dengan kehendak Besut sahaja yang membolehkan Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar? Adakah tanpa Besut, Terengganu tidak wujud? Atau hanya orang Besut sahaja layak menjadi Menteri Besar sedangkan orang dari kawasan lain tidak layak? Sudah terbukti, orang Marang pun boleh menjadi Menteri Besar dan namanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Kalau Idris merasakan dirinya terlalu hebat dan bertaraf dunia, Perdana Menteri kenalah memikirkan untuk melantik Idris menjadi duta atau apa sahaja jawatan yang membolehkan Idris menggunakan ilmunya yang bertaraf dunia, seperti kepercayaan para penyokongnya di duni luar. Dia tidak layak di Terengganu kerana ilmunya jauh lebih hebat dari orang lain di Terengganu, seperti cerita para penyokong-penyokongnya.

Biarlah orang seperti Datuk Ahmad Said menjaga Terengganu kerana hidupnya, dirinya, pemikirannya dan jiwanya memang ditumpukan sepenuhnya untuk rakyat dan Negeri Terengganu, negeri kesayangannya.


Tidak payahlah bawa cerita SMS ugutan bunuh kepada rakyat yang sudah jemu dan jelak dengan perangai mereka yang tidak habis-habis menimbulkan masalah. Mereka-reka cerita kononnya Datuk Ahmad memecat pegawai kerajaan sedangkan Idris ketika menjadi Menteri Besar juga pernah melakukan perkara itu (memecat) tanpa pula Datuk Ahmad menyerangnya dan menimbukan cerita-cerita tidak baik, kerana mereka tahu, menyokong kepimpinan adalah sesuatu yang wajib selagi kepimpinan itu tidak menyeleweng.


Idris mahukan sokongan orang lain tetapi Idris tidak pernah mahu menyokong orang lain. Dia perlu berterima kasih kepada orang yang mengundinya hingga boleh menang kerusi MT tetapi Datuk Ahmad Said tidak bertanding pun MT kerana mahu memberikan undinya kepada Idris. Idris tahu ke ni?

Read more...

SMS Ugut ADUN : Kerani swasta sudah dibebaskan, 10 ADUN macam mana sekarang?

Oleh Mohd Ali Mohd Hamdan

KERANI swasta yang ditahan polis kerena kes SMS ugutan sudah dibebaskan kerana siasatan sudah selesai, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri.

Apa yang menariknya kisah krisis politik di Terengganu ini ialah seperti ada satu usaha untuk merosakkan Umno dan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bukan seperti yang digembar-gemburkan oleh salah seorang ADUN, Datuk Rosol Wahid (Ajil) mengenai kelemahan Menteri Besar.

Satu perkara yang orang ramai khususnya rakyat Terengganu kena fikir habis-habis ialah, kalau mahu dilihat situasi politik ini secara mendalam, jika ada pun kelemahan Datuk Ahmad Said ialah beliau tidak mempunyai masa ‘untuk mencipta sms dan menghantarnya kepada tiga ADUN ini’ hingga menyebabkan lahirnya Geng 10, di Terengganu.

Tiga ADUN BN itu ialah Rosol sendiri, Zakaria Abdullah (Paka) dan Halim Jusoh (Permaisuri) bertindak melaporkan kepada polis SMS ugutan yang diterimannya, kononnya dihantar oleh seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar.

Sepatutnya kalau ketiga-tiga ADUN ini, Rosol, Zakaria dan Halim jenis ADUN yang cerdik, berfikir rasional dan tahu kesan-kesan yang akan timbul, mereka sepatutnya merujuk perkara SMS ini kepada Pejabat Menteri Besar semula, di mana SMS ini didakwa didatangkan.

Jika mereka tidak cukup keberanian untuk berhubung dengan Pejabat Menteri Besar untuk tujuan membuat rujukan, boss mereka selepas Menteri Besar ialah Speaker DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Jika mereka merasakan Tengku Putera pun mereka tidak ‘boleh berurusan dan merujuk’ mereka bolehlah merujuk Ketua Whip DUN yang merupakan salah seorang Exco Kanan.

Kalau mereka bertiga (mungkin mudah mereka dikenali dengan nama Tiga Abdul) pun masih boleh merujuk perkara ini dengan Pejabat Timbalan Perdana Menteri atau Pejabat Perdana Menteri, jika mereka bertiga merasakan tiada siapa lagi orang di Terengganu yang boleh mereka jadikan tempat merujuk.

Malangnya, Tiga Abdul ini mungkin merujuk dengan bekas Menteri Besar yang sedang menghafal pantun Melayu yang berbunyi ; asal kapas menjadi benang, dari benang menjadi kain, barang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain.

Bekas Menteri Besar yang sedang giat mengumpul puing-puing dan bara-bara yang masih ada, untuk dihembus dan ditiup bagi menyalakan api, barangkali menasihatkan Tiga Abdul (dan ditambah yang bertindak secara sukarela), tujuh ADUN lagi, enggan hadir ke persidangan DUN, minggu lalu.

Bagaimana pun mereka (Geng 10) ini hadir juga di hari akhir persidangan, setelah diarahkan oleh Perdana Menteri. Geng 10 ini tidak tahu tugas dan tanggungjawab mereka. Persidangan DUN dalam setahun hanya 10 hari sahaja. Itupun, setiap empat bulan sekali. Mereka menghadiri persidangan bukan kerana tugas dan tanggungjawab tetapi kerana diarahkan Perdana Menteri.

Dewan Undangan Negeri sebenarnya bukan kepunyaan Perdana Menteri. Perdana Menteri adalah pemimpin semua rakyat. Di Terengganu, pemimpin kepada semua ialah Menteri Besar. Di bahagian masing-masing, pemimpin mereka ialah Ketua Bahagian.
Kalau dengan Ketua Bahagian mereka bermasalah, dengan Menteri Besar mereka bermasalah, dengan kawan-kawan mereka bermasalah, dengan isteri orang salah seorang ADUN ini bermasalah… mungkin mereka ini memang bermasalah.

Apa yang ebih menyedihkan, ada salah seorang ADUN tu, dengan pihak istana pun dia bermasalah. Malangnya, masalah yang dia mereka buat, dengan Ketua Bahagian, dengan Menteri Besar dengan Speaker DUN, dengan kawan-kawan dan dengan pihak istana, mereka mahu tutup dengan ‘tudung saji’ sedangkan orang-orang tua sudah berpesan ‘bangkai gajah jangan ditutup dengan tudung saji’.

Rakyat Terengganu sedih dan malu dengan sikap orang-orang yang bermasalah ini. Mereka mahu Terengganu terus membangun dan inisiatif Menteri Besar untuk merakyatkan pembangunan cukup dibanggakan. Malangnya ada puak bermasalah dalam Umno Terengganu yang sering menjadikan ia masalah dan halangan.

Kalau Geng 10, termasuk Tiga Abdul ini tidak buat banyak masalah, banyak lagi program Kerajaan Negeri dapat diteruskan dengan tidak banyak masa terpaksa dibuang bagi menepis serangan dan menjawab pertanyaan-pertanyaan dari wartawan yang sudah mula menganggap memang BN Terengganu sedang dilanda masalah.

Sebenarnya, masalah hanya melanda Geng 10 kerana mereka sedang berusaha ‘mengumpul saki baki bara dan puing untuk dihembus dan dihidupkan semula api’ bagi menjadikan BN dan Umno Terengganu terus dilihat bermasalah dan berkrisis.

Bagi mereka jika orang ramai melihat Umno Terengganu sedang dilanda masalah, maka orang ramai akan melupakan masalah Geng 10 dan Tiga Abdul. Maka, salah satu cara mereka mengalihkan perhatian orang ramai ialah dengan terus mengujudkan ‘asap yang terus ada bagi mengambarkan’ masih ada bara dan mereka masih hidup.

Kesannya, mereka tidak sedar bahawa mereka adalah pengkhianat kepada Umno yang meletakkan mereka pada satu kedudukan yang cukup tinggi di mata masyarakat. Umno tidak pernah membuat masalah kepada ahli-ahlinya tetapi ahli-ahlinya yang membuat masalah kepada Umno.

Jom! Kita tengok apa kesudahan dengan nasib Geng 10 ini yang diketuai oleh seseorang yang merasakan dia mempunyai ramai pakar strategi di kelilingnya tetapi pakar strategi itu lupa ini bukan lagi zaman main bola pakai kain sarung.
Ini bukan lagi zaman main guli masuk lubang. Ini adalah zaman eletronik yang budak-budak suka dan mereka tidak makan lagi ubi rebus tetapi sarapan mereka ialah cornflakes dan cocoacrunch.

Read more...

HATI GENG 10 MASIH BERBUKU TERHADAP AHMAD SAID YANG AKUR DENGAN KEDUDUKANNYA


Oleh Zakaria Bidin

Nampaknya walaupun Negeri Terengganu telah menempatkan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, pihak Geng 10 yang dikatakan telah menimbulkan pelbagai karenah mengocak kedudukan menteri besar, Datuk Ahmad Said masih dilihat belum reda lagi.
Masih ada lagi ‘peperangan’ yang terus menerus mengecam Ahmad Said dan orang-orang kanannya termasuk Setiausaha Perhubungan Negeri, Datuk Rosli Md. Hassan yang cuba sedaya upaya mendamaikan keadaan.
Di dalam blog-blog tertentu yang diwujudkan khas untuk terus menyerang Ahmad dan orang-orangnya tanpa henti seolah-olah ada satu rancangan khusus yang diwujudkan untuk memisahkan terus kumpulan yang sepatutnya membantu Hishamuddin menenangkan keadaan politik di sana.
Bahaya di sini adalah dilihat sikap tidak puas hati dari pihak Geng 10 terhadap Ahmad berterusan seolah-olah mahukan Ahmad melepaskan jawatan menteri besarnya dengan kadar segera. Usaha damai yang digerakkan oleh Rosli yang berkapasiti Setiausaha Perhubungan Negeri walaupun disambut oleh mantan menteri besar nampaknya masih dingin.
Memerhatikan keadaan keseluruhan kemelut politik Terengganu ketika ini, semakin jelas Ahmad sedang berdepan dengan satu kumpulan yang sangat bahaya apabila mereka sudah mula ‘main kotor’ dengan melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas mengenai kepimpinan Ahmad yang baru lebih kurang setahun menerajui negeri itu.

Satu perkara yang tidak boleh disangkal ialah Ahmad mendapat kepercayaan Sultan Terengganu untuk menerajui Negeri Terengganu adalah atas kejujuran dan keikhlasannya. Dan nescaya juga atas sifat beliau itulah yang dicemburui oleh Geng 10 lantas bertindak mencemuh Ahmad hingga mengganggu tugas-tugas beliau untuk mengurus negeri dengan tenang.

Tindakan-tindakan Ahmad yang dikatakan telah mengenepikan orang-orang tertentu dalam pentadbirannya tentunya juga mempunyai muslihat yang tidak lain daripada mahu membersihkan pentadbiran sebelum ini mungkin dilihat tidak jujur dan banyak berbau sesuatu kepentingan yang merugikan rakyat.

Daripada kenyataan-kenyataan Ahmad kita boleh menilainya bahawa banyak masa akan terbuang kalau mahu melayan rasa tidak puas hati orang terutama yang sebelum ini sudah puas ‘bermaharajalela’ dalam banyak perkara. Ahmad yang dilihat bagaikan tidak pedulikan apa kata orang yang terkilan adalah satu sikap yang amat terpuji.

Umpamanya seperti ungkitan Ketua Puteri tidak dilantik senator semula adalah satu perkara yang jelas mereka yang pernah merasa nikmat tidak tahu bersyukur. Wajarlah orang seperti ini tidak harus disambung jawatannya kerana terbukti disebalik itu mereka tamakkan jawatan daripada berkhidmat.

Begitu juga mereka tidak menghormati peluang orang lain untuk memberi khidmat. Kalau inilah alasan-alasan mereka yang pernah diberi tempat kemudian diambil orang lain untuk diganti menjadi pekung kepadanya, tiadalah semangat setiakawan seperjuangan dalam parti dan kesetiaan kepada negeri dan negara.

Ahmad yang sebelum ini memegang jawatan ketua perhubungan negeri pun tidak mengungkit apa-apa, malah menerima baik kehadiran Hishamuddin menjadi bosnya di peringkat negeri. Begitulah sepatutnya orang lain rasa apabila mereka bukan lagi jadi apa yang mereka pernah jadi.

Bersenget hati kepada pucuk pimpinan adalah bersenget dalam perjuangan mereka. Hendaknya mereka yang menentang sedarlah dari mana mereka datang dan ukurlah diri mereka apakah mereka rasa satu kerugian kerana tidak menyokong kepimpinan sekarang ini.

Read more...

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP