BN SABAH: RETAK MENANTI BELAH??

Thursday, September 2, 2010

Pada PRU negeri Sabah tahun 1976, parti USNO masih mampu mempertahankan pengaruhnya di kawasan 20 kerusi bumiputera Islam walaupun KL secara senyap-senyap menyokong penubuhan BERJAYA yang diketuai bekas TYT Negeri Sabah,  Tun Mohd Fuad Stephens. BERJAYA  menang di  20 kerusi kawasan majoriti pengundi bukan Islam.

Pada ketika itu  kerusi DUN Sabah berjumlah 48. Kerajaan Parti Perikatan (USNO-SCA) telah menang tanpa bertanding sejak pilihan raya pertama 1967. Pada tahun 1974, Parti Perikatan ditukar nama kepada Barisan Nasional dan kekal dianggotai USNO yang mewakili rakyat bumiputera, dan SCA, sebuah parti Cina.

Pada PRU 1976, tiada tokoh Cina yang keluar dari BN dan secara terbuka mengkritik Presiden USNO Tun Mustapha atau Tun Mohd Said Keruak (Timbalan Presiden USNO dan KM Sabah). Tidak dinafikan  beberapa pemimpin muda seperti Lim Guan Sing telah menyertai BERJAYA.

Tetapi terbukti pada pilihan raya itu semua 8 kerusi SCA jatuh kepada BERJAYA. Nyatalah bantahan orang Cina terhadap Tun Mustapha dan USNO adalah secara diam-diam.

Pada PRU 1994, pemimpin dan pengundi Cina memain peranan penting sehingga BN yang diterajui UMNO berjaya "merampas" kuasa daripada parti PBS. Datuk Yong Teck Lee seorang tokoh berpengaruh Cina dalam PBS keluar dari parti itu dan menubuhkan SAPP menjadi rakan BN yang berpengaruh pada masa itu.

Tan Sri Chong Kiat, Presiden LDP dan sekutu setia BN  sejak USNO juga berperanan besar meyakinkan pengundi Cina untuk menyokong UMNO dan BN.

Hari ini, bekas KM Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat telah meletakkan jawatan sebagai Presiden LDP. Dua tahun lalu, Chong sebagai  Timbalan Ketua Menteri Sabah meletakkan jawatan kerana masalah peribadi dengan Datuk Musa Aman berhubung dengan tindakan kerajaan negeri batal kelulusan membina patung dewa Mazu di Kudat.

Datuk Yong Teck Lee telah juga membawa partinya SAPP keluar dari BN atas alasan tidak bersetuju dengan kepimpinan Tun Abdullah Badawi. Tetapi SAPP meneruskan hasratnya walaupun Pak Lah berundur dari jawatan PM. Dalam satu kenyataan, Yong pernah berkata Pak Lah dan Musa Aman pernah berjanji melantiknya sebagai senator kerana tidak dicalonkan pada PRU 2008.

Dua tokoh Cina. Dua bekas KM Sabah telah meninggalkan BN. Dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Raymond Tan dan Peter Pang bertukar parti dan menjadi "katak" gara-gara politik Sabah yang tidak "aman" sejak Sabah dianggap sebagai fixed deposit BN.

Persoalan pokoknya, kemanakah sokongan pengundi Cina yang sejak dulu sebagai "king maker" dalam percaturan kuasa di Sabah?


Read more...

NEGERI SABAH PALING BANYAK DAPAT PERUNTUKAN. TETAPI......???

Thursday, July 15, 2010

Datuk Seri Najib dan TS Muhyiddin  dengar penjelasan daripada KKLW dan mereka faham.  Rakyat yang didahulukan!!



Tiga paparan menarik untuk rakyat buat penilaian:
_____________________________________________________



Alhamdulillah………..

Zikry menarik nafas. Dia amat gembira dan bersyukur permohonan projek membina dewan serbaguna kampungnya bernilai 200K telah diberi kelulusan.

Ketika berada dalam lif turun dari pejabat KKLW, dia teringat kata-kata anaknya, “yuran sekolah belum bayar ayah”.

Dengan waran kelulusan tersimpan rapi dalam sampul surat berwarna coklat, zikry tersenyum puas. Zikry tidak pernah dapat projek di Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana jawatannya hanya sekadar Ketua UMNO Cawangan. Yang dapat projek dan keutamaan hanya orang-orang tertentu atau yang berjawatan tinggi dalam parti dan kerajaan.

“Aku boleh tebus rantai isteri yang ku gadai untuk tikit kapal terbang Air Asia ke KL. Aku akan tambah lagi dengan beli rantai baru yang lebih mahal. Aku akan bayar yuran dan peralatan sekolah anak-anak aku, bayar tunggakan kereta, bantu keluarga” bisik hati Zikry.

Esok. Awal pagi Zikry dah sampai di Pejabat Daerah. Zikry rakyat pertama yang sambut DO masuk kebiliknya. Zikry serah surat dari KKLW dengan penuh harapan.

“Pejabat Daerah tidak akan laksanakan projek-projek daripada KKLW tanpa melalui kerajaan negeri berdasarkan surat pekeliling Setiusaha Kerajaan Negeri Sabah”(SKN)

Ayat yang keluar daripada mulut DO itu seperti bom meletup yang bukan sahaja menghancurkan harapan Zikry tetapi harapan anak-anak dan isterinya

-----------------------------------------------------------------------------------
Kira-kira sebulan lalu, dalam satu majlis kenduri kawin di Kampung asal Zikry, saya kebetulan duduk semeja dengan Pegawai Daerah. Saya mohon izin bertanya kisah Zikry.

“Memang benar cerita tu” jawab Pegawai Daerah. Katanya, SKN Negeri Sabah telah edar surat pekeliling kepada semua pejabat daerah. Saya tanya kenapa sampai edar surat pekeliling?

Ketua Pengarah KKLW yang tidak berbincang dengan kerajaan negeri dalam soal perlaksanaan projek di Sabah. Ini masalah teknikal. Kata Pegawai Daerah itu.

“Sebagai pegawai kerajaan, kami serba salah. Saya tidak tahu masalah sebenar tapi saya tidak buat spekulasi kerana saya bukan orang politik. Tapi saya setuju pandangan saudara, akibat krisis ini yang rugi ialah rakyat luar bandar di Sabah” Kata Pegawai Daerah dengan nada serius.

-----------------------------------------------------------------------------------

Apa sebenarnya berlaku? Adakah semata-mata kerana kerajaan negeri tidak diberi "muka"  kerajaan Pusat?Hari ini saya ke Putrajaya untuk mencari jawapan.

Selepas perkenalkan diri, saya dipersilakan duduk dengan sopan.

“Sabah mendapat peruntukan terbesar! Satu pertiga daripada keseluruhan peruntukan KKLW” Pegawai Kanan itu mulakan penjelasan.

“Sebenarnya Cawangan KKLW negeri ditubuhkan disetiap negeri bukan di Sabah sahaja. Semua negeri termasuk di Sarawak, tetapi negeri-negeri lain tidak bantah! Kami di sini terfikir juga mungkin KKLW telah melakukan kesilapan atau ada masalah lain. Jika ini berlaku sudah tentu negeri lain juga membantah! Tetapi hanya Sabah sahaja yang tidak bersetuju”

Sedang pegawai itu asyik beri penjelasan, saya pun mencelah. “Barangkali kerana Sabah adalah fix deposit, pemimpin Sabah tuntut kuasa otonomi untuk mengurus peruntukan kerajaan Pusat?”

Saya juga maklumkan, ada beberapa pemimpin Sabah berpendapat bahawa selepas JPPS (Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah) dimansuh dan digantikan dengan SDO, mereka kurang setuju penubuhan cawangan KKLW negeri.

“Saya faham. Itu isu politik. Kita tak campur. Tetapi kenapa bantah ketika projek tengah rancak dilaksana? Kenapa tidak beri peluang untuk tahun ini Unit KKLW pantau dan laksana projek untuk kepentingan rakyat? Tahun depan boleh bantah dan kita boleh serah semua kepada kerajaan negeri” Jelasnya.

Menurutnya, daripada 6 NKRA, KKLW mencapai KPI yang tertinggi, namun kerana kes di Sabah besar kemungkinan 30% daripada projek-projek luar bandar tidak dapat dilaksanakan dan ini sudah tentu menjejaskan KPI kementerian.

“Tapi isu pokok bukan isu nak kekalkan pencapaian KPI. Kita fikirkan projek pembangunan yang diharapkan rakyat. Sekarang dah bulan Julai. Masa dah suntuk. Pegawai kerajaan akan disalahkan kerana tidak menjalankan tanggungjawab sedangkan kami telah bertungkus lumus untuk pastikan projek-projek luar bandar disegerakan”

“Untuk makluman saudara, PM dan TPM pernah meminta tambahan peruntukan untuk kawasan mereka. Tetapi setelah dijelaskan peruntukan KKLW terhad dan keutamaan di kawasan luar bandar, kedua-dua pemimpin tertinggi itu faham keadaan sebenar. Tetapi pemimpin Sabah, setelah kita beri penjelasan, kenapa perlunya kerjasama daripada KKLW Pusat, pemimpin Sabah seolah-olah tidak mahu faham.” Tegasnya.

“Sekarang Menteri KKLW sudah bertolak ansur dan menyerahkan sebahagian besar projek KKLW kepada SDO (Sabah Development Office) dan KPLB Sabah (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) tetapi apa yang berlaku ialah mereka pula pening tidak dapat laksanakan. Ini kerana projek KKLW walaupun nilai projek  rendah, tetapi kuantitinya banyak.”

“Persoalannya, kenapa bantah cawangan KKLW negeri jika KPLB Sabah tidak mampu laksanakan?” Soal pegawai kanan itu.
------------------------------------------------------------------------------------
Sama-sama kita renungkan…..



Read more...

BANTU RAKYAT MISKIN PUN DIJADIKAN ISU POLITIK!!

Tuesday, June 29, 2010


Shafie Afdal- mencipta sejarah dalam UMNO. Pemimpin pertama yang bukan berasal dari Semenanjung Malaysia  menang jawatan Naib Presiden UMNO


"Ada orang menulis dalam blog dan dalam Facebook menuduh saya membantu pendatang tanpa izin (PTI) di kawasan saya. Sampai ke peringkat memberi bantuan kepada orang miskin pun dijadikan isu politik untuk memburukkan nama saya!!"

"Apabila ada orang datang berjumpa saya, tidak pernah saya tanya samada dia pengundi saya atau bukan pengundi saya. Jika ada orang bertemu saya meminta bantuan, tidak pernah saya tanya statusnya, orang itu ada kad pengenalan atau PTI.

Saya bantu mereka kerana mereka rakyat miskin!! Sedangkan rakyat Bosnia yang tidak mengundi kita, saya bantu, apa lagi rakyat kita sendiri?"

Serius kata-kata Datuk Shafie Afdal kali ini. Wajahnya kelihatan kecewa terhadap tuduhan dan fitnah yang dilempar semata-mata kerana agenda politik orang tertentu yang tidak senang dengan pengaruh politiknya.

"Saya bantu orang secara ikhlas, orang yang jumpa saya dari semua negeri dan semua daerah. Saya tidak pernah pilih kasih. Saya tahu ada yang buat macam-macam tuduhan dan buat cerita. Tapi kenapa timbul tuduhan itu sekarang?".

Shafie Afdal adalah pemimpin pertama dari luar Semenanjung yang menang jawatan Naib Presiden UMNO, jawatan ketiga tertinggi dalam hirarki parti itu. Pada tahun 2000, Datuk Osu Sukam yang juga Ketua Menteri Sabah ketika itu pernah bertanding jawatan Naib Presiden UMNO tetapi hanya mendapat undi ke empat tertinggi.

Parti UMNO kembangkan sayapnya ke Sabah pada bulan Februari 1991.  Datuk Shafie Afdal adalah Pengerusi UMNO Negeri Kedah.

Read more...

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP