KALI INI ORANG MELAKA JADI YANG DIPERTUA..
Friday, January 15, 2010
Mallacca tahun 1630
Di ruangan terbuka ini, saya ingin memanjangkan satu persoalan yang ditimbulkan oleh Saudara Zakaria Bidin di dalam Facebook. Apakah Melaka ketandusan tokoh untuk menduduki kerusi Yang DiPertua Negeri Melaka?
Katanya, kenapa orang luar jadi ‘raja’ Melaka dan bila masanya orang Melaka mahu menuntut haknya supaya apabila tamat tempoh Jun tahun ini, YDP Melaka tidak lagi dipayung terjunkan dengan pelbagai alasan.
Dalam Facebook tidak cukup ruang untuk menghuraikan luahan hati warga Melaka. Maka perlu saya teruskan sokongan saya terhadap tajuk perbualan dalam facebook itu dengan lebih luas lagi untuk kita sama-sama fikirkan sampailah masanya anak Melaka jadi Yang DiPertua.
Selama ini, orang Melaka cukup beralah dan terima dalam paksaan sahaja ‘hukuman’ dari kerajaan pusat yang menentukan siapa YDP Melaka.
Tetapi walaupun orang Melaka beralah, tidak semestinya tidak ada yang berkecil hati dan terkilan. Bukan terkilan tak dapat jadi YDP tetapi terkilan melihat orang dari negeri lain pula jadi YDP di negeri kita.
Bayangkanlah dalam umur saya yang sedang membesar tua ini, seingat saya, sebelum Tun Khalil (orang Pahang), Melaka diketuai oleh orang Pulau Pinang (kalau tak silap saya). Sebelum tu pun bukan orang Melaka juga.
Dalam bahasa yang halus, terbisik dalam hati apakah orang Melaka ni bangsat sangat hingga tidak ada yang layak untuk menduduki tempat penting itu. Sudahlah kita tidak mempunyai Raja, Sultan atau Yang DiPertuan seperti Negeri Sembilan, untuk jawatan YDP pun tak dapat.
Setiap kali nak pilih YDP baru, orang Melaka hilang suara. Ada saja alasan yang akhirnya membenarkan kerajaan pusat yang dipimpin Perdana Menteri membuat pilihan tanpa mengira sensitiviti Negeri Melaka. Ketua Menteri pun beri alasan yang kononnya orang luar yang dipilih tidak menjejaskan pentadbiran Negeri Melaka.
Maka Tun Khalil Yaakub dipilih menjadi YDP beralasankan isteri beliau orang Melaka. Soalnya, bukan isteri beliau yang jadi YDP tetapi suaminya orang Pahang. Pada hakikatnya Melaka tidak pernah kekeringan pemimpin yang layak menduduki tempat penting itu. Kita ramai tokoh ternama, ramai yang berjasa di Negeri Melaka. Tetapi mereka diketepikan sahaja.
Sebelum ini, kerajaan Negeri Melaka pernah mengeluarkan arahan kepada jabatan-jabatan supaya anak Melaka diberi keutamaan untuk memenuhi jawatan dari jawatan tertinggi hinggalah ke jawatan paling rendah. Ertinya arahan itu menekankan nombor kad pengenalan (Mykad) hendaklah berangka 04. Mereka diberi keutamaan.
Bagaimanapun perkara itu tidak juga dilaksanakan sepenuhnya kerana masih ramai lagi anak Melaka yang gagal mendapat kerja di negeri sendiri lantas merantau ke tempat lain sambil menelan air liur sahaja melihat polisi negeri itu tidak dipenuhi dengan sempurna.
Sekarang jawatan Yang DiPertua pula berbangkit. Tidak pasti saudara Zakaria yang mula membangkitkan perkara ini orang Melaka atau tidak, tetapi cetusan beliau itu adalah sesuatu yang sepatutnya membuka mata dan telinga orang Melaka untuk memikirkan bagaimana caranya untuk membuka hati Perdana Menteri supaya memberi muka kepada orang Melaka.
Janganlah pula oleh kerana Tun Khalil orang Pahang, Datuk Seri Najib Perdana Menteri pun orang Pahang, maka khidmat Tun Khalil disambung lagi satu penggal apabila sampai masanya bulan Jun nanti.
Oleh Hasim Mamat
Durian Tunggal
Melaka
2 comments:
Assalamualaikum saudara,
Dalam kita bersama-sama menongkah arus dan memperjuangkan setiap idea dan pendekatan ke arah kemakmuran dan keamanan sejagat,kami mohon jasa baik saudara untuk letakkan blog kami,
http://10sibudakhitam.blogspot.com/
dalam blog list saudara.Blog saudara juga telah kami masukkan dalam list kami agar kita dapat sama-sama berkongsi memartabatkan agama dan bangsa tercinta.
10SBH dengan ini juga secara rasminya menjadi followers blog saudara.
Menjadi followers di blog 10SBH di http://10sibudakhitam.blogspot.com, kami dahului dengan ucapan terima kasih.
Salam ukhwah dari 10 Si Budak Hitam..Assalamualaikum.
Assalamualaikum.
Tergerak di hati saya di petang Jumaat ini (di hari Maulidur Rasul) untuk memberikan sedikit pendapat tentang Jawatan Yang Di Pertua Negeri Melaka. Seperti yang dinyatakan Saudara Hashim Mamat, saya berpendirian yang sama di mana jawatan Yang Di Pertua Negeri Melaka selayaknya di berikan kepada Anak Negeri Melaka sendiri. Melaka sepanjang 35 tahun saya berada di bumi Allah, seingat saya tidak pernah ada anak negeri Melaka yang memegang jawatan tersebut. Tidak pernah sekali pun sensitiviti orang Melaka di beri perhatian oleh pihak Kerajaan Pusat. Adakah tidak ada anak Negeri Melaka yang layak menjawat jawatan tersebut ( don’t make me to mention about Minister position in Datuk Najib Cabinet. I don’t see any Malacan is holding a full minister position but only as Deputy Minister). Kenapa? Saya tidak mahu berhujah tentang itu kerana topic yang dikeluarkan oleh Saudara Hashim Mamat adalah berkenaan jawatan Yang DiPertua Negeri Melaka. Untuk pengetahuan saya merupakan penyokong TEGAR Barisan Nasional amnya dan UMNO khasnya amat-amat berharap kali ini jawatan itu diserahkan kepada anak negeri Melaka yang layak. Ini adalah harapan dari seluruh rakyat Negeri Melaka. Sekian terima kasih.
Azman Haji Abdullah
Kuala Sungai Baru Melaka
Post a Comment