NAJIB KE CHINA: YANG DIKEJAR TAK DAPAT, YANG DIKENDUNG BERCICIRAN..........

Saturday, May 30, 2009

Oleh: MUSLI OLI
muslioli.blogspot.com


Lawatan Dato Seri Najib ke China pada 2 Jun mengimbas kembali hubungan yang dimulakan Allahyarham Ayahnandanya, Tun Razak kira-kira 35 tahun yang lalu pada tahun 1974.

Lawatan kali ini walaupun menurut Najib bagi mempertingkatkan hubungan kedua-dua negara, menarik lebih banyak pelaburan dan pelancong disamping memindahkan teknologi baru ke Malaysia, namun ia tidak dapat mengelak daripada tanggapan, ini adalah lawatan nostalgia. Ianya lawatan memperkukuhkan hubungan politik semata-mata.

Najib sering berkata dalam ucapan-ucapannya, bahawa UMNO tidak lagi boleh bergantung dan mengharapkan kepada nostalgia perjuangan parti untuk mendapat pengaruh dikalangan rakyat. Tetapi kali ini nostalgia lawatan ayahandanya itu terlalu penting kepada Najib untuk dilepaskan begitu sahaja. Ini adalah soal antara hidup dan mati politik Najib dan politik Barisan Nasional.

China pada hari ini sedang dilanda krisis ekonomi yang teruk berikutan jatuhnya permintaan dari negara-negara Eropah dan USA. Banyak kilang-kilang export orientad terpaksa ditutup dan kadar pengangguran melambung melebihi 10%. China sedang menghadapi krisis ekonomi yang teruk. Jika Najib ke China untuk mengadakan hubungan ekonomi ia tidak lebih dari sekadar M.O.U kerana sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengadakan hubungan ekonomi.

Parti UMNO dan BN yang diwarisi Najib sebenarnya lebih tenat daripada yang diwarisi ayahandanya pada tahun 1969. Prestasi parti-parti komponen BN, MCA, Gerakan, MIC di Semenanjung Malaysia adalah lebih parah berbanding dengan pilihan raya 1969.

Prestasi buruk parti-parti Cina pada 1969 merupakan satu cabaran berat kepada Tun Razak untuk memulihkan keyakinan kaum Cina yang jelas menghukum MCA dengan senyap-senyap mengundi DAP. Kaum Cina juga mengundi PAS dan menolak calon UMNO/BN yang tidak mesra-Cina dan dianggap ultra Malay seperti Tun Mahathir yang tewas di Kota Setar Selatan kepada calon PAS.



Perkara pertama yang sepatutnya dilakukan Tun Razak ialah memulihkan keyakinan rakyat terutama kaum Cina kepada Perikatan terutama selepas berlakunya peristiwa 13 Mei. Namun Razak lebih bijak dengan memulakan langkah mendekati pengundi Melayu dan meyakinkan mereka bahawa kerajaan pentadbirannya ingin membela nasib bangsa Melayu. Beliau memperkenalkan DEB dan menubuhkan GLC seperti FELDA untuk meningkatkan ekonomi Melayu/buniputera.

Apabila kelihatan ada keikhlasan Tun Razak membantu bangsa Melayu/bumiputera, maka usaha menyatukan sokongan pengundi Melayu lebih mudah. PAS, sebuah lagi parti politik sokongan Melayu bersetuju bergabung dengan UMNO. Dalam usaha mengurangkan politicking, Barisan Nasional ditubuhkan menggantikan Perikatan dengan menjemput PAS, Gerakan dan parti pembangkang lain kedalam BN.

Untuk menarik hati kaum Cina di Malaysia, menjalinkan hubungan dengan negara China pada tahun 1974, walau pun China adalah sebuah negara pemerintahan komunis dan Malaysia baharu sahaja bebas daripada ancaman kominis. Gambarnya bersalam dengan Pengerusi Mao Tse Tung dan Setiusaha Agungnya Chou En Lai menepis persepsi pentadbiran Razak anti kaum Cina.

Kaum Cina mulai melihat Tun Razak lebih memahami aspirasi kaum Cina berbanding dengan Tunku. Pada pilihan raya ke 4, 20 Ogos 1974, kesemua 61 calon UMNO menang, semua 14 calon PAS menang, MCA menang 19 daripada 23 kerusi, MIC menang semua 4 kerusi. Gerakan menang 5 daripada 8 kerusi.

Daripada 154 kerusi parlimen, BN menang 135 kerusi. Parti-parti pembangkang mempertahankan 19 kerusi iaitu DAP 9 kerusi, SNAP di Sarawak 9 kerusi dan PEKEMAS 1 kerusi.

Daripada hilang dua pertiga kepada kemenangan luar biasa. Itulah kebijaksanaan tun Razak. Beliau tidak tergesa-gesa mengejar undi Cina dan membiar orang Melayu terkapai-kapai. Tun Razak melawat negara China hanya lebih kurang 60 hari sebelum pilihan raya umum. Beliau telah mengatur strategi dengan bijak menarik sokongan pengundi Cina.

Gula-gula apakah lagi yang akan Najib beri kepada pengundi Cina selepas balik dari negara China setelah Najib bersetuju memansuhkan DEB seperti dikatakan di Singapura? Janganlah hendaknya Yang dikejar tak dapat, apa yang dikendung berciciran. Fikir-fikirkanlah

Read more...

RAMAI MARAH POLIS HALANG PESERTA KEMPEN MOGOK LAPAR

Tuesday, May 26, 2009


‘Mereka patut digalakkan meneruskan mogok itu hingga seminggu atau sebulan sekurang-kurangnya untuk merasakan kelaparan yang sebenar-benarnya’

Oleh ABANG MAHMOR

Rupa-rupanya ramai yang marah apabila polis bertindak menahan mereka yang terlibat dengan mogok lapar di Perak semalam. Malah bukan sahaja dari pihak penyokong kerajaan yang marah, yang menyokong pembangkang pun marah. Rata-rata mereka tidak setuju dengan tindakan polis halang orang yang mahu berlapar kerana itu adalah hak individu sama ada mereka mahu ikut kata penganjur atau tidak.

Salah seorang dari Melaka yang mengirim e-mail kepada penulis hingga berkata: “Biarlah lantak dia orang nak mati ke, nak terjun sungai ke, nak bakar diri mereka atau nak kebulur ke, polis tidak perlu halang walaupun membunuh diri itu satu kesalahan.”

Katanya lagi, “Mereka yang melakukan mogok lapar itu sebenarnya sedang menunjukkan kebodohan mereka semata-mata sebagai itulah pandangan suntuk mereka menyatakan kekecewaan terhadap betapa mereka terkilan kerana Mohamad Nizar tidak diiktiraf sebagai menteri besar.”

Beliau yang mengaku sebelum ini menjadi penyokong pakatan pembangkang di Melaka turut menyatakan beliau menyesal tidak habis kerana selama ini ingatkan pakatan pembangkang di bawah pimpinan Anwar Ibrahim merupakan satu pasukan yang cerdik.

“Rupa-rupanya mereka mendapat sokongan pengaruh kominis yang berselindung di sebalik DAP yang tidak pernah kenal erti demokrasi yang negara sedang amalkan selama ini,” tambah beliau lagi.

Memetik salah seorang penulis dari laman blog http://www.bypass308.blogspot.com/ bernama Rahman Zamrud menyatakan: “Lapar dan makan adalah rutin harian manusia, berpuasa sekali pun ada masa dibenar menjamah makanan. Ertinya, ia adalah hak (nak melaparkan diri), ia adalah wajib (berpuasa) dan ia adalah kebebasan selagi tidak menyusahkan orang lain. Apa-apa akibat tanggung sendiri.”

Rahman menegur pihak polis yang memberkas perkerja pasang khemah untuk pakatan pembangkang lancarkan kempen mogok sebagai satu tindakan yang tidak wajar kerana katanya: ” 5 budak pekerja syarikat pengurusan acara juga kena tahan kerana dok asyik pasang khemah. Dia daftar syarikat untuk buat kerja halal, bukan jual tempe tepi jalan hingga ganggu lalu lintas!”

Ramai lagi yang menyatakan tindakan pakatan pembangkang bermogok lapar itu walaupun satu tindakan menjelekkan dan kerja sia-sia, sepatutnya dibiarkan supaya rakyat Perak dapat menyaksikan apa yang mereka lakukan itu telah sebenarnya mencemarkan diri mereka.

Lagipun kata antara pengirim e-mail dan SMS yang tidak kurang datangnya dari Negeri Perak, memang wajarlah pun Sultan dan Mahkamah akhirnya memilih BN semula setelah pakatan pembangkang hilang majoriti di DUN kerana BN tidak akan jadi sedanggal itu ketika seluruh Negeri Perak jatuh kepada PP dalam pilihan raya umum lalu.

Ada beberapa pendapat juga mengatakan campur tangan polis menahan mereka yang menjalani kempen mogok lapar itu juga dilihat tidak wajar. Mereka patut digalakkan meneruskan mogok itu hingga seminggu atau sebulan sekurang-kurangnya untuk merasakan kelaparan yang sebenar-benarnya.

Dalam hal ini, begitu ramai yang menyokong kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bila beliau mengalu-alukan kempen mogok lapar pakatan pembangkang supaya lakukanlah sampai mati. Kemudian beliau mengajak rakyat ramai-ramai tabur bunga kepada mereka sebagai ‘pahlawan demokrasi.’

Ada juga satu mesej yang diterima mengatakan tidak perlu para ulama atau mana-mana mufti cuba sogokkan mereka dengan unsur agama kerana golongan itu ternyata dari tindakan dan beberapa ungkapan mereka semasa berkempen di Bukit Gantang dulu, mereka riak, bongkak, kufur dan bermuka-muka dengan bukan Islam yang menunjukkan mereka tidak langsung pentingkan agama.

“Masakan kita tidak tahu dari tindakan dan cara mereka seolah-olah tidak berlandasakan agama kerana ramai di antara penyokong mereka adalah dari kalangan cucu cicit anggota kominis yang kembali berjuang di tengah-tengah masyarakat kononnya mahu membela rakyat. Kominis mana ada agama?” kata penulis yang mengelar dirinya Keramat Hidup itu.

Read more...

MOGOK LAPAR: Ramailah penyokong akan kena gestrik, pemimpin mereka tetap segar bugar

Monday, May 25, 2009


‘Rakyat Perak mahu cari makan dengan tenang dan harmoni sehingga pilihan raya umum akan datang. Kalau pakatan pembangkang terus menerus membuat kempen mogok lapar begini, akhirnya nanti seluruh Negeri Perak akan kelaparan – Ustaz Manek Urai’


Oleh ZAKARIA BIDIN

Mereka yang sanggup berlapar ialah mereka yang sudah puas kenyang kata seorang penganalisis politik bebas yang tidak mahu namanya disebut ketika diminta mengulas Kempen Mogok Lapar yang dilancarkan oleh pakatan pembangkang di Perak hari ini.

Katanya lagi, walaupun ramai para ulama dan pemimpin mengatakan mogok lapar itu merupakan satu protes tidak cerdik, tetapi itulah kaedah terbaik yang mereka temui untuk menyatakan frustrasi di kalangan mereka yang mana minda mereka sudah tertutup rapat untuk menerima hakikat kekalahan yang mereka hadapi.

Hari ini bermulalah Kempen Mogok Lapar yang dirasmikan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Speaker DUN Perak, V.Sivakumar bagi melahirkan kekecewaan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Selain itu, setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming (Koming) pula mengumumkan bahawa mogok lapar yang dilancarkan itu juga sebagai simbol mendesak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya membubarkan DUN Perak.

Kata seorang lagi pengunjung laman web ini, melancarkan mogok lapar adalah mudah. Tetapi untuk benar-benar berlapar tidak semudah pelancarannya. Mereka boleh lancar macam-macam benda untuk menyatakan protes asalkan tidak mengajak rakyat memberontak.

“Kalau mereka makan di rumah senyap-senyap, siapa tahu?” soal beliau yang menamakan dirinya Ustaz Manek Urai dalam e-mailnya. “Selepas ini tidak hairanlah kita akan dapat berita antara pengikut dan penyokong mereka yang benar-benar mengikuti kempen mogok itu akan berbaris dengan pucat lesir di hospital atau di klinik-klink swasta mendapatkan rawatan gestrik.”

“Tetapi,” katanya lagi, “pemimpin-pemimpin mereka akan segar bugar ‘melalak’ sana ini memberi ceramah yang tidak perlu menghidangkan apa-apa makanan ketika mereka dalam mode mogok lapar.”

Mungkin ramai yang bersimpati dengan ‘kelaparan’ di kalangan penyokong pakatan pembangkang, tetapi bukanlah bersimpati kerana mereka sanggup berlapar tetapi sanggup memilih satu jalan yang cukup dilihat begitu tidak cerdiknya mereka memilih mogok lapar sebagai agenda menarik simpati rakyat.

Sepatah kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang mengirim SMS kepada orang ramai termasuk pengelola laman web ini, suka hati merekalah jika mahu berlapar sehingga menemui ajal sekalipun dan rakyat sedia akan menabur bunga di pusara mereka nanti sebagai satu penghargaan terhadap perjuangan mereka.

Tidak kurang juga mereka yang memberi komen terhadap fatwa-fatwa para ulama yang memaklumkan perbuatan itu adalah perbuatan syrik dan berdosa dianggap satu makluman yang sia-sia sahaja kerana di kalangan pakatan pembangkang tidak kurang para ulama yang mana Mohamad Nizar sendiri sebagai Pesuruhjaya Pas di Perak tentu lebih maklum apakah hukumnya dari segi agama.

Mereka mungkin telah mendapat nasihat dari ulama Pas seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum melancarkan mogok lapar yang melibatkan orang Islam. Oleh itu, tidak hairanlah kalau perbuatan mereka itu salah pada orang lain akan jadi betul pada mereka yang berjiwa menentang apa saja yang tidak menyebelahi mereka.

Ustaz Manek Urai menyifatkan kempen mogok anjuran pakatan pembangkang itu satu kerja yang sia-sia dan benar-benar telah menunjukkan betapa daifnya mereka terhadap undang-undang dan kuasa mutlak Sultan yang rata-rata keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan itu adalah satu keputusan yang sahih.

Katanya lagi, “Mahkamah Rayuan sebelum membuat keputusan itu telah merujuk kepada pakar undang-undang di peringkat antarabangsa seperti Queen’s Counsel, Lord Lester berhubung krisis di Negeri Perak dan beliau telah mengakui sistem kehakiman di Malaysia berada atas landasan yang betul.”

“Tidak perlulah mereka mahu tunjuk macam-macam karenah lagi seperti terutamanya mendesak Sultan Perak membubar DUN kerana rakyat Perak mahu cari makan dengan tenang dan harmoni sehingga pilihan raya umum akan datang. Kalau pakatan pembangkang terus menerus membuat kempen mogok lapar begini, akhirnya nanti seluruh Negeri Perak akan kelaparan,” kata Ustaz Manek Urai.

Read more...

Penanti akan terus menanti kemajuan yang tidak pernah maju di tangan PKR

Sunday, May 24, 2009


Oleh ABANG MAHMOR

Walaupun Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti kali ini BN berkecuali kerana memprotes sikap PKR yang sengaja merancang provokasi politiknya, tetapi ia dilihat menarik juga apabila pertandingan itu calon PKR, Mansor Othman terpaksa berdepan dengan tiga orang calon bebas.

Lebih menarik lagi apabila bekas ketua wanita negeri PKR, Aminah Abdullah menjadi lawan PKR yang sudah pun cuba dibeli supaya tidak menyertai pilihan raya kecil kali ini. Aminah akan dedahkan perkara ini sebagai salah satu bahan untuk beliau perkenalkan sikap pemimpin PKR sebenarnya.

Calon-calon lain yang tidak popular dan juga tidak menonjol seperti Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris tetapi dikenali oleh penduduk tempatan turut memberikan cabaran kepada PKR yang sebelum ini merasakan mudah untuk mereka menang.

Seperkara yang selalunya akan menjadi bahan utama pembangkang ialah calon-calon bebas itu ada yang dibiayai oleh UMNO untuk menentang PKR. Mereka akan kata UMNO begitu kononnya sebagai calon ganti kali ini, tetapi tetap berhasrat mahu melihat PKR kecundang.

Kalau itulah antara isu yang didepankan oleh PKR nanti, itulah ulang tayang tektik lama mereka. PKR juga akan memberi lebih tumpuan kepada Aminah yang tentunya selain daripada isu sogok wang supaya tidak bertanding, ada banyak lagi perkara yang akan didedahkan.

Nescaya pengundi di Penanti juga lebih maklum yang pilihan raya kecil Penanti ini adalah satu pilihan raya yang tidak perlu tetapi hanya perlu pada PKR yang sengaja diadakan. Kalau Aminah pun mereka mahu sogok supaya jangan bertanding, sudah tentu PKR juga mampu membekalkan habuan besar untuk bekas wakil rakyatnya Mohamad Fairuz Khairuddin supaya letak jawatan sebelum ini.

Tidak hairan pula pengundi yang matang ada tiga pilihan. Pertama akan memilih PKR juga kerana tidak sedar dan peka tentang trik parti itu. Kedua, mereka akan menoleh kepada calon bebas yang difikirkan lebih serius untuk membela rakyat daripada PKR yang sibuk berpolitik dan melupakan rakyat setelah mereka menang. Ketiga, tentunya ramai akan berfikir, apa perlunya sibuk-sibuk membuang undi. Siapa nak menang siapa nak kalah lantaklah.

Bagi pengundi muda pula, dengan tiadanya pondok panas lagi, pastinya tidak menyeronokkan mereka campur bersukaria mahu turut sama berkempen. Bagaimanapun di pentas-pentas ceramah tetap akan mengumpulkan ramai pendengar yang sepertimana biasa dipenuhi penyokong dari luar kawasan.

Selain daripada Aminah, Kamarul Ramizu Idris yang mengekalkan lambang payungnya sudah tentu mempunyai pengalaman ketika beliau bertanding atas tikit bebas di Bukit Gantang sebelum ini. Cubaan beliau kali ke dua ini tentunya lebih matang dari pengalaman beliau itu.

Walaupun calon PKR, Mansor Othman sudah begitu pengalaman bertanding pilihan raya juga dilihat calon yang telah banyak mengutip pengalaman kalah dan tidak hairan kali ini juga beliau tentu bersedia untuk kalah kalau pengundi menunjukkan betapa mereka sudah bosan dengan gelagat niat buruk PKR yang semakin ketara.

Penyokong PKR tentunya dilihat paling kuat dang ah apabila penyokongnya yang datang dari seluruh pelusuk tanah air dari rakan pakatan mereka DAP dan PAS untuk memberi sokongan moral dan membantu Mansor berkempen. Tetapi kematangan pengundi juga tidak boleh dipandang ringan kerana mereka selain daripada bermaruah, mereka juga ada mata dan telinga untuk menilai siapa sebenarnya yang paling layak dipilih jadi wakil rakyat mereka.

Walaupun akhirnya nanti Mansor beroleh kemenangan, sedikit sebanyak dengan jelmaan Aminah terutamanya, PKR tidak boleh menyangkal bahawa dari segi moralnya PKR sudah awal-awal mahu ‘membeli’ bekas ketua wanitanya yang tahu siapa sebenarnya pemimpin PKR yang hanya mahukan kuasa untuk menunjuk-nunjuk merekalah hebat tetapi penuh dengan muslihat tersorok sesama pakatan mereka.

Elok benarlah kali ini BN tidak meletakkan calon dan memboikot pilihan raya kecil itu supaya PKR lebih bebas menentang calon Bebas yang lebih bebas menonjolkan apa yang wakil rakyat PKR telah lakukan di Penanti yang terus menjadi kawasan menanti kemajuan yang tidak maju-maju.

Read more...

PAKATAN PEMBANGKANG BENAR-BENAR BUTA DEMOKRASI

Saturday, May 23, 2009


‘Jika benar ketika itu pada 16 September lalu Anwar berjaya mendapat sokongan majoriti, tidak siapa dari kalangan anggota BN akan menghalang Anwar mengadap Yang Di Pertuan Agung mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru’


Oleh ZAKARIA BIDIN

Sepertimana kata, Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam ketika mengulas supaya pakatan pembangkang menerima hakikat bahawa BN berhak memerintah Perak kerana ia mempunyai majoriti dalam DUN sepatutnya menoleh kembali kepada ungkapan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghebohkan pakatan pembangkang akan mengambil alih pemerintahan negara pada 16 September lalu.

Anwar pernah berkata sekiranya terdapat wakil rakyat BN melompat ke PKR, pakatan pembangkang akan memerintah negara ini tanpa perlu membubarkan parlimen lantas mengadakan pilihan raya umum supaya rakyat membuat pilihan semula. Mereka akan terus ambil alih dan meneruskan pemerintahan baru.

Tarikh tarket Anwar pada 16 September itu akhirnya tidak berlaku dan BN masih memerintah sehingga hari ini. Tetapi sebaliknya apabila perkara yang serupa berlaku di Perak, yang sudah nyata pakatan pembangkang hilang majoriti, mereka pula menuntut supaya DUN Perak dibubar kononnya rakyat Perak harus membuat pilihan baru dengan mengadakan pilihan raya negeri.

Dengan alasan ini sahaja sudah cukup untuk kita mengukur bagaimana sebenarnya sikap pakatan pembangkang. Sepertimana kata ramai pihak yang bukan sahaja dari anggota BN, keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan BN sekarang ini berhak memerintah Perak setelah mengambil kira semua aspek terutama menurut hak mutlak Sultan yang sebelum melantik Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar telah mendapat pengakuan dari 3 orang ADUN (PKR dan Bebas) telah menyokong BN.

Ia kemudiannya memberi majoriti kepada BN untuk mengambil alih kerajaan pakatan itu. Sekiranya pakatan pembangkang tidak hilang majoriti di DUN, tidak ada sebab Sultan Perak akan bertindak sesuka hati menukar kuasa memerintah kepada BN.

Tetapi oleh kerana pakatan pembangkang tidak sedar apa yang penasihat mereka mahu lakukan di Parlimen pada 16 September lalu atau sengaja mahu lupakan peristiwa itu takut malu apabila diungkit kegagalan mereka, maka berlakulah perselisihan yang sengaja diwujudkan dengan niat mengelirukan rakyat supaya mereka tidak hilang sokongan yang kian merosot akibat tingkah laku mereka.

Bagaimanapun, sikap buruk dan gelojoh ini memang sudah lama ditonjolka, telah menutup mata dan telinga penyokong pakatan pembangkang bahawa apa yang mereka tuntut supaya DUN Perak dibubar adalah semata-mata kerana mereka sengaja tidak mahu menerima hakikat kesahihan undang-undang.

Mereka hanya melalak membabi buta tanpa mahu menoleh kepada apa yang Anwar rancang di parlimen dulu adalah sama kaedahnya yang BN lakukan sekarang. Jika benar ketika itu pada 16 September lalu Anwar berjaya mendapat sokongan majoriti, tidak siapa dari kalangan anggota BN akan menghalang Anwar mengadap Yang Di Pertuan Agung mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru.

Tidak hairan juga, selepas itu Anwar dan koncu-koncunya akan menggubal undang-undang supaya pilihan raya umum akan diadakan 10 atau 30 tahun sekali atau menukar status negara ini kepada negara republik atau macam-macam lagilah yang akan mengekalkan mereka memerintah sampai bila-bila.

Lihat sahajalah ketika Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin ketika menjadi menteri besar sebelum ini. Beliau tukar kereta nasional kepada Cambry, mereka dengan sewenang-wenangnya memberi kelulusan tanah kepada penduduk yang majoritinya satu kaum selama 999 tahun dan mungkin banyak lagi yang ada dalam perancangan mereka yang tidak menunjukkan keadilan kepada rakyat Perak.

Sekiranya rakyat Perak dan seluruh rakyat Malaysia tidak sedar akan semua perkara ini, maka nescayalah kita semua akan merasai kehidupan tanpa demokrasi berlandaskan undang-undang lagi sebagai pelindung hak-hak seluruh rakyat yang selama ini menjadi teras kehidupan kita hidup aman damai dan makmur dan terus maju.

Read more...

PEDULIKANLAH NIZAR DENGAN KEGILAANNYA, RAKYAT PERLU DIUTAMAKAN

'Track rekod baik yang Zambry tunjukkan dalam masa beliau masih tidak pasti apakah beliau dapat meneruskan tugasnya sebagai menteri besar terus menjalankan tugasnya sepertimana sebelumnya dan sedia menemui rakyat di mana saja'


Oleh ZAKARIA BIDIN

WALAUPUN ‘bekas menteri besar’ Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ialah menteri besar yang sah untuk meneruskan tugasnya, memang ramai telah menduga ia akan berlaku demikian.

Tetapi sebaliknya, jika Mahkamah Rayuan menolak rayuan Zambry semalam, Zambry akan akur dengan keputusan itu sepertimana yang telah beliau katakan sebelum ini. Beliau akan kembali menjadi ADUN Pangkor seperti sebelum beliau dilantik menteri besar oleh Sultan Perak.

Mohamad Nizar yang mewakili semua ADUN Pembangkang PAS dan DAP di Perak pastinya tidak boleh menerima keputusan itu jika tidak menyebelahi mereka dalam semua perkara. Tetapi sebelum ini ketika Mahkamah Tinggi memutuskan Mohamad Nizar, merekalah yang memuji-muji ketelusan institusi kehakiman.

Ketika meraikan kemenangan itu, Pakatan Pembangkang seakan-akan terus lupa daratan lantas bertindak memecat orang itu dan orang ini tanpa mengira pandangan orang ramai yang memerhatikan tindakannya itu begitu gelojoh dan rakus sekali.

Hanya tidak sampai pun 24 jam kemudiannya Nizar dikejutkan dengan apabila rayuan Zambry diterima di Mahkamah Rayuan dan Nizar terpaksa meninggalkan pejabat menteri besar yang baru didudukinya semula kerana sementara menunggu rayuan, Zambry dibenarkan dan berhak meneruskan tugas-tugas menteri besar sehingga rayuannya diputuskan.

Itu baru sehari Nizar berada di kerusi menteri besar. Kalau sepanjang tempoh menunggu rayuan itu Nizar yang meneruskan tugas menteri besar, kita semua boleh bayangkan berapa banyak lagi perkara tidak munasabah akan dilakukan. Beliau mungkin ‘mengganas’ dalam memberi tanah sebanyak mungkin kepada orang DAP terutamanya dan mengarah supaya geran-geran yang diluluskan itu dikeluarkan segera.

Mujurlah Zambry diamanahkan untuk meneruskan tugasnya sebagai menteri besar sementara Mahkamah Rayuan meneliti butir-butir rayuan Zambry yang dikatakan ada cacatnya ketika Mahkamah Tinggi membuat keputusan.

Tentunya di Mahkamah Rayuan, penelitian dilakukan dengan lebih terperinci yang meliputi semua aspek sebelum membuat keputusan yang boleh dikira cukup bermakna kepada satu penyelesaian terhadap kemelut politik di Negeri Perak yang berkaitan rapat dengan hak undang-undang tubuh negeri itu.

Dari saat ini, BN atau mana-mana badan sama ada dalam lingkungan BN atau bukan kerajaan tidak perlulah mengadakan apa-apa bentuk meraikan kemenangan Zambry kerana waktu yang terlepas selama tiga bulan yang mana dipercayai banyak masa telah terbuang untuk menyelesaikan masalah rakyat telah terganggu dan tersadai.

Cukuplah Zambry sendiri mengadakan doa selamat dan menerima tahniah dari pihak yang menyokong beliau. Sebarang bentuk riak atas kemenangan itu akan hanya menyakitkan lagi hati kumpulan Nizar. Biarlah dia membuat rayuan demi rayuan kerana itu juga haknya yang tidak akan berpuas hati dengan apa yang berlaku tanpa menyedari sokongannya yang sahih di DUN pun tidak lagi berjumlah majoriti.

Track rekod baik yang Zambry tunjukkan dalam masa beliau masih tidak pasti apakah beliau dapat meneruskan tugasnya sebagai menteri besar terus menjalankan tugasnya sepertimana sebelumnya dan sedia menemui rakyat di mana saja.

Sikap itu tidak mungkin boleh dilakukan Nizar kalau beliau yang ‘memangku’ jawatan itu kerana beliau sentiasa dihurung oleh mereka yang mempunyai kepentingan terselindung untuk menguasai kuasa Nizar hingga Nizar kelihatan seperti orang lupa diri dalam membuat keputusan besar sebelum ini seperti meluluskan hak milik tanah hingga 999 tahun dan sanggup menganjurkan sidang DUN bawah pokok umpamanya.

Keghairahan Nizar amat ketara sekali gelojohnya dan juga tidak syak juga telah menyebabkan sidang DUN lalu bertukar menjadi medan hamukan pembangkang sepertimana yang begitu ramai rakyat dapat menontonnya dalam rakaman dalam youtube dan dalam bentuk VCD yang tersebar luas.

Inilah masanya rakyat boleh membuat penilaian semula dalam tempoh tiga tahun yang mana sekali lagi mereka berpeluang membuat pilihan yang lebih berhati-hati.

Read more...

Abraham tidak silap kata hakim tersilap isytihar Nizar sebagai MB sah

Friday, May 22, 2009


Oleh ZAKARIA BIDIN

PENULIS bukan hakim, bukan peguam dan juga bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak dalam kes tuntutan hak sah antara Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dengan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Tetapi meneliti kes ini sebagai satu perkara yang semestinya berakhir di tangan undang-undang di mana Mahkamah adalah tempat paling wajar untuk memutuskannya.

Kenapa Zambry membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan, walaupun Mahkamah Tinggi telah memutuskan Mohamad Nizar adalah menteri besar yang sah ialah kerana terdapat kecacatan dalam penelitian ketika mahkamah itu membuat keputusan. Maka adalah wajar Datuk Cecil Abraham peguam yang mewakili Zambry memanjangkan rayuannya ke Mahkamah Rayuan kerana sebelum ini hakim Mahkamah Tinggi gagal mentafsir Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) dengan betul.

Kegagalan mentafsiran dengan tepat berhubung kuasa mutlak Sultan menjadikan keputusan dan perintah yang dikeluarkan oleh hakim berkenaan dengan sendirinya tidak lengkap, tidak betul dan tidak selamat. Maka ia masih boleh dipersoalkan. Itulah peranan Mahkamah Rayuan tempat paling abdzal sebagai tempat rujukan terakhir.

Atas sebab itulah juga Zambry melihat masih ada ruang untuk beliau mempertahankan diri kerana selain Mahkamah Tinggi, kita mempunyai Mahkamah Rayuan Persekutuan untuk memperbetulkan keadaan sebagai satu ikhtiar supaya perkara semua perkara dalam UTKNP diteliti dan disemak dengan jelas sebagai hak Sultan yang termaktup dalam undang-undang tubuh masing-masing tidak diperlekehkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan misalnya.

Dengan jelasnya, Perkara 16(6) UTKNP Sultan mempunyai budi bicara mutlak menolak untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjadikan keputusan itu tidak boleh dicabar oleh sesiapa termasuk mahkamah. Walaupun dalam huraian yang tersiar dalam media bahawa Sultan mempunyai kuasa melantik tetapi tidak boleh memecat menteri besar, tetapi ternyata Sultan juga mengambil kira BN telah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan yang mewakili seluruh rakyat Negeri Perak.

Sehubungan itu, peguam mewakili Zambry tidak silap mengatakan hakim Mahkamah Tinggi tersilap mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah kerana pelantikan Zambry pada 6 Februari lalu tidak boleh dicabar dan dihakimi kerana ia dibuat selaras dengan Perkara 12 dan Perkara 16(6) UTKNP.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika berhujah selaku pencelah bagi kerajaan Malaysia pula menolak dakwaan bahawa Mohammad Nizar mengatakan krisis perlembagaan di Perak menemui jalan buntu. Perlembagaan pastinya tidak buntu, tetapi mungkin Mohamad Nizar sendiri yang buntu.

Beliau (Abdul Gani) memberitahu bahawa ketika Sultan melantik Zambry sebagai menteri besar, pakatan hanya mempunyai 27 ahli Dewan dan ini tidak termasuk tiga ADUN Bebas yang telah mengisytiharkan diri masing-masing menyokong BN. Maka tentulah dengan sokongan menjadikan BN majoriti dalam Dewan tidak berlaku 'jalan buntu' .

Soal mahu membubarkan Dewan lantas mengadakan pilihan raya negeri adalah soal kedua kerana apa pun hujahnya, penyelesaiannya harus berlaku di DUN terlebih dahulu dengan membetulkan kedudukan siapa menteri besar yang sah.

Pada hemat saya, itulah jalan terbaik daripada mendesak supaya diadakan pilihan raya negeri yang juga menjadi hak Sultan yang mutlak. Kalau Sultan tidak berkenan, maka tidak juga akan berlaku pilihan raya negeri kerana Sultan sedar bahawa yang menuntut supaya DUN dibubarkan hanya dari satu pihak yang sekali gus tidak menghormati keputusan pilihan raya umum lalu.


Rakyat sudah membuat pilihan siapa wakil mereka di DUN. Sekiranya ADUN mereka tidak lagi memihak kepada mana-mana pihak lantas menyokong pihak yang lain, ia bererti ADUN berkenaan telah membawa suara rakyat yang mereka wakili. Untuk mengakur keadaan inilah yang sebenarnya Mohamad Nizar melihatnya sebagai jalan buntu.


Yang penting selepas ini, walau apa pun keputusan Mahkamah Rayuan, sama-samalah kita terima dengan hati yang bulat supaya rakyat Negeri Perak tidak dibelenggu dengan masalah politik berpanjangan hingga menjejas pembangunan dan kesejahteraan yang sepatutnya berjalan dengan lancar. Masa yang terlepas itu tidak dapat kita kejar semula untuk membetulkan kesilapan, tetapi adalah munasabah untuk kita mulakan yang betul sekarang untuk menghasilkan sesuatu yang berjaya dan cemerlang.

Read more...

PENANTI: Pakatan Pembangkang akan jadi badut buat lawak bodoh di sarkas

Wednesday, May 20, 2009


'Bila BN turut menjadi pemerhati dan penonton sahaja di pilihan raya kecil ‘anjuran’ PP akan mempersembahkan satu aksi seperti badut bermain kelakar bodoh dengan budak-budak di sarkas'

Oleh ZAKARIA BIDIN

DARI awal-awal lagi, perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah membayangkan Barisan Nasional (BN) mungkin tidak menyertai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini.

Ketika itu ramai bersuara sebaliknya. Ada yang kata kalau BN tidak bertanding, BN dayus, tidak berani menghadapi cabaran, takut dengan pembangkang dan macam-macam lagilah kata-kata yang tidak langsung mempengaruhi pendirian BN akhirnya merasakan tidak perlu BN sertai pertandingan itu.

Maksudnya, PKR bertandinglah sesama sendiri atau lawanlah dengan calon-calon bebas yang akan cuba nasib mereka di gelanggang permainan PP yang sebenarnya sengaja merancang supaya negara ini terus menerus diajak ‘bertinju’ dengan kerajaan sehingga pilihan raya umum ke-13 nanti.

Secara jelasnya, dengan perletakan jawatan Mohamad Khairuddin sebagai ADUN pada 16 April lalu hanya dengan alasan mahu menyambung pelajaran, nampak sangat alasan itu satu kerja yang semua orang tahu bukan satu alasan yang matang dan munasabah. Maka mudah rakyat membuat ukuran bahawa semua ini adalah satu percaturan politik kotor yang sedang pakatan pembangkang mahu budayakan.

Cara ini Pakatan Pembangkang (PP) fikir adalah yang terbaik untuk mereka mengajak BN hilang tumpuan kepada slogan rakyat diutamakan supaya kerajaan sibuk dengan pilihan raya kecil yang mereka sengaja wujudkan dari masa ke semasa.

Yang mereka kata atau dalam kelompok ahli parti komponen BN sendiri ramai yang turut kata BN pengecut sebenarnya adalah dari kalangan mereka yang tidak peka dengan usaha PP sudah naik ghairah dengan kemenangan mereka di Bukit Selambau dan Bukit Gantang baru-baru ini.

Dengan keputusan BN tidak menletakkan calon bertanding di Penanti itu, tentunya PP merasakan trick mereka sudah terkandas. Mereka hanya akan berlawan dengan bebas yang didakwa boleh menang dengan mudah sahaja kerana bagi mereka, bebas takde benda. Macam habuk sahaja.

Tapi sebenarnya, itulah kelayakan mereka yang tidak pernah berniat baik dalam kancah politik yang sepatutnya mempunyai intrigiti tinggi dalam membuat satu perancangan mahupun keputusan. Dengan munculnya calon bebas Mohd Saberi Othman dan Aminah Abdullah (bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang), PKR patut sedar mereka sedang turut diancam oleh orang-orang yang telah pernah bersekongkol dengan mereka.

Tentunya Aminah ada banyak cerita dalaman PKR yang hendak disampaikan kepada penghuni di Penanti. Selain mereka berdua, Angkatan keadilan Insan Malaysia (AKIM) pun berkemunginan juga akan menyertai perlawanan kali ini.

Di sinilah terserlahnya kebijaksanaan BN yang akhirnya berpendirian tidak melawan dan akan jadi pemerhati sahaja gelagat PKR yang berlawan dengan ‘ikan bilis’. Kalau mereka menang, mereka hanya meraikan satu kemenangan sekadar seperti menyambut hari ulang tahun Anwar Ibrahim sahaja. Kalau mereka kalah di tangan bebas pula, akan mengejutkan seluruh dunia.

Dalam hal ini, Anwar terperangkap dalam jaringnya sendiri. ‘Pelawaan’nya untuk ajak BN ‘bertumbuk’ tidak dapat layanan. Dia menerima tamparan ini sebagai BN sudah secara tidak langsung telah diperlecehkan. Usaha yang Anwar ingat satu idea yang begitu thrilling sudah tidak bermakna lagi.

Dalam erti kata lain, Anwar boleh minta semua ADUN atau Ahli Parlimen PP bersiap sedia letak jawatan bergilir-gilir selepas ini dengan mencari alasan yang lebih baik, namun saya fikir BN tidak akan layan kerana BN sepatutnya menumpukan pilihan raya UMUM sahaja yang dilihat lebih abdzal kerana di situlah terletaknya ujian paling besar dan lebih mencabar padan dengan saiz dan kredibiliti BN.

Lainlah kalau seseorang ADUN atau Ahli Parlimen PP meninggal dunia atau hilang keupayaan dalam tempoh sementara menunggu pilihan raya umum, berkemungkinan BN akan turut serta. Namun adalah tidak salah juga dan tidak akan menjejas maruah BN kalau terus jadi pemerhati dan penonton PP beraksi seperti badut bermain lawak bodoh dengan kanak-kanak di sarkes.

Tahniah Datuk Seri Najib। Keputusan BN yang menjurus kepada pendapat awal Datuk Seri itu secara tidak langsung telah meletakkan idea Anwar Ibrahim terlalu hampir dengan tong sampah.



Nota: Rencana ini dipetik dari laman web www.lesungbatu.webs.com

Read more...

MAKSUD MUHYIDDIN, GENG 10 JANGAN JADI MACAM HINDRAF


Oleh ZABIDI NOOR

SETAKAT ini, harapan Geng 10 yang cuba menggoncang kedudukan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, supaya ditukar kepada muka baru tidak tercapai sebaik sahaja Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiada pertukaran menteri besar bagi melupuskan desas desus yang sengaja dibangkitkan melalui pelbagai cara.

Saranan Muhyiddin itu jelas membawa maksud UMNO tidak dapat melayn desakan mana-mana kumpulan yang dengan sengaja mengeruhkan suasana politik setelah BN bersusah payah mendapatkan semula Negeri Terengganu dari tangan pembangkang.

Segala usaha Geng 10 yang telah membuat roadshow cuba menjejeh keburukan menteri besar dan orang-orangnya tidak mendatangkan kesan apa-apa. Malahan usaha mereka untuk memindahkan kebencian Setiausaha Badan Perhubungan Negeri, Datuk Rosli Md. Hassan juga gagal kerana kerjasama dan keintiman orang-orang yang setia dengan pucuk kepimpinan negeri telah menunjukkan semangat jitu mahu hanya memandang ke satu arah iaitu terus memajukan Terengganu daripada melayan karenah dan niat buruk Geng 10.

Bagaimanapun, atas usaha mereka melalui drama menghantar SMS ugutan yang dilihat satu kerja sia-sia dan tidak cerdik itu telah meletakkan orang luar Terengganu untuk memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dengan lantikan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein buat sementara waktu.

Itupun, Hishamuddin telah pernah menyebut bahawa apabila keadaan sudah pulih, beliau akan menyerahkan semula jawatan itu kepada Ahmad Said untuk meneruskan wadah perjuangan parti dan kerajaan.

Selain itu, kata-kata Muhyiddin yang terus terang meminta semua pihak tumpukan kepada pembangunan yang lebih pesat dan ia mesti diutamakan. Katanya lagi, semua pihak tidak kira sama ada ADUN, bukan ADUN, pemimpin parti, berjawatan atau tidak, hendaklah berganding bahu pertahankan kedudukan di Terengganu.

Maksud timbalan perdana menteri itu jika ditafsir lebih jauh, janganlah ada pihak yang cuba-cuba bermain kotor dan menyimpan perasaan dengki dan mengada-adakan cerita sambil memukul canang pula kononnya orang itu baik dan orang itu tidak baik sebelum mengukur diri mereka sendiri terlebih dahulu.

Pastinya walaupun ada ADUN yang berdendam dan tidak mahu menerima nasihat itu, tetapi ternyata daripada kes SMS ugut itu, apabila terbongkar kisah sebenarnya nanti, rakyat sendiri akan ketahui niat mereka dan drama rekaan mereka terbukti satu usaha yang tidak mendatangkan faedah. Ia hanya lebih menonjolkan betapa besar nafsu mereka semata-mata sedangkan kemampuan sebenarnya tidak sehebat mana.

Walaupun dengan nasihat Muhyiddin itu tidak menjamin Geng 10 akan berdiam diri, tetapi sekurang-kurangnya telah memberikan tamparan kepada mereka supaya akurlah keadaan politik negara kita hari ini sebenarnya BN amat dicemburui pembangkang. Maka tidak sepatutnyalah orang UMNO pula harus mempunyai musuh dalaman dan ada usaha pancung memancung sesama sendiri yang tentunya merugikan impian rakyat Terengganu yang meletakkan harapan tinggi terhaap BN sebagai kerajaan yang boleh menjamin masa depan mereka.

Kepada Geng 10, bubarlah kumpulan itu. Jangan buat pertubuhan haram seperti Hindraf yang belum habis dengan niat buruk mereka terhadap ketenteraman awam. Kembalilah ke pangkal jalan menjunjung budaya, budi bahasa dan tata tertip Melayu sejagat.

Read more...

POLITIK WANG: Akuan Nik Aziz baik, tapi nasihatnya tak bagus

Tuesday, May 19, 2009


‘Kesimpulannya tidak kiralah parti apa pun mereka anuti, nampaknya memang pemimpin poltik tidak boleh ditegur langsung
Oleh ZAKARIA BIDIN

AKHIRNYA Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan wujudnya politik wang dalam parti itu menjelang pemilihan agung Pas bulan depan. Lantas, beliau menyeru perwakilan supaya tidak termakan dek apa juga bentuk sogokan yang diberi.
Nik Aziz mengulangi ungkapannya sebelum ini: “Bagi duit, ambil. Bagi gula, kacau. Tapi jangan sekali-kali berikan undi kepada mereka sebagai menyekat kewujudan orang yang seperti ini.”
Pesannya lagi, perwakilan jangan terpedaya, jangan jadi hamba duit. Setakat ini Alhamdulillah katanya kerana Pas telah berjaya menyekat nafsu daripada terperangkap dengan duit walaupun pada hakikatnya telah gagal.
Tapi bila pasal pendedahan Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi, Nik Aziz macam tidak setuju ia disebut kerana pada pandangan beliau lebih baik jangan mengada-ngada sebut kalau tiada bukti. Sehubungan itu, Mohamed Daud telah diarah memberi penjelasan kepada Dewan Harian Pas Pusat dan sekiranya gagal menyediakan bukti, beliau bakal diambil tindakan disiplin.
Isu ini dilihat sangat bercanggah antara sesama pemimpin Pas. Yang seorang cuba memberitahu apa yang dia tahu sebagai amaran. Yang seorang lagi menyangkal apa yang dia sendiri akui ada permainan politik wang dalam Pas. Kesimpulannya tidak kiralah parti apa pun mereka anuti, nampaknya memang pemimpin poltik tidak boleh ditegur langsung.
Yang menegur tentu sekali akan menerima padah. Sama ada disangkal, diboikot, diberikan tekanan, dicemuh, didesak suruh tunjuk bukti dan sebagainya sebagai menunjukkan mereka sangat benci kalau mereka dikritik.
Begitulah sifat pemimpin politik. Tidak kiralah apa kedudukannya dalam parti. Asalkan mereka berada di peringkat pemimpin bersaiz ‘S’, ‘M’, ‘L’ atau ‘XL’ lebih-lebih lagi ‘XXXL’ memang tidak boleh dikritik. Sebaik sahaja dikritik, akan melentinglah ia.
Mereka juga akan kata, kalau mahu kritik, kritiklah secara positif. Tetapi sebaliknya, apabila terdengar saja dia dikritik, tentu sekali mereka akan kata kritikan itu berbentuk negatif kerana tidak ada kritik yang dimuliakan dan disebut positif.
Namun begitu, boleh dikatakan setiap pemimpin terutama bila baru memegang jawatan atau mengetuai sesuatu kumpulan akan dengan gah akan berkata, “kritiklah saya dan saya akan terima kritikan itu dengan hati yang terbuka.”


Bila dikritik, mulalah hatinya tidak sedap. Dia akan gusar, dia akan bersemuka dan menempelak orang yang mengkritiknya itu mahu menjatuhkan dia. Selama ini, inilah yang berlaku. Sama ada ketika menyatakan akan menerima kritikan dengan hati yang terbuka itu tidak siapa pasti keadaan sebenar hatinya terbuka atau selepas itu tertutup semula.

Sebenarnya pula, kalau benar-benar Nik Aziz serius mahu menentang gejala rasuah atau politik wang, beliau sepatutnya menasihatkan semua ahlinya supaya menolak apa juga bentuk pemberian yang berupa sogokan.

Sepatutnya, beliau sebagai seorang ulama berkata kepada anak buahnya supaya tolaklah pemberian wang, kain pelekat, gula-gula, hadiah dan sebagainya hingga ke paras tidak hadir pun ke majlis makan yang dianjurkan pihak bakal calon atau calon yang bertanding terutama di musim pemilihan.

Tetapi kalau perwakilan atau ahli terima juga, biarlah mereka tanggung sendiri kerana dia juga tahu pemberian itu adalah berkaitan dengan sokongan yang diraih. Merekalah yang bersubahat dan menanggung dosa secara peribadi dan tidak melibatkan parti.
Ajarlah anak buah cara-cara menolak dengan terhormat supaya tidak menyinggung orang yang ingin menabur budi. Hanya dengan nasihat itu sahaja boleh kita semua terima datangnya dari orang bertaraf ulama dan untuk dipandang mulia sepanjang masa.
Bagaimanapun, sifat menyogok itu sebenarnya terbentuk dengan sendirinya dalam diri manusia yang kononnya berbudaya mengenang budi. Begitu juga dengan apa yang diterima itu sebagai satu penghargaan kepada yang memberi. Dan tidak salah pula kalau atas budi pekerti itu menjadi unsur mendorong seseorang memberikan sokongan.

Itulah yang Nik Aziz atau sesiapa juga dalam Pas tidak dapat sekat. Mahu tak mahu, perkara sogok menyogok ini sangat sukar ditafsir kerana ia terkandung dalam adat dan budaya orang Melayu yang memberi hanya ketika ada sebab sahaja.

Mereka akan memberi cenderahati kalau melawat orang sakit, orang meninggal dunia, orang kahwin, hari ulang tahun kelahiran, ulangtahun perkahwinan, naik buai, sunat dan sebagainya. Oleh itu, tidak hairanlah hingga Nik Aziz pun percaya dalam Pas sudah wujud budaya itu tanpa boleh disekat hanya dengan kata-kata.

Read more...

Politik wang: Daud Iraqi beri signal, PAS sedang hadapi keruntuhan moral

Sunday, May 17, 2009


Oleh ABANG MAHMOR

Sebaik sahaja Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mohamed Daud Iraqi mendakwa ada unsur-unsur rasuah berlaku dalam PAS, begitu ramai dari kalangan orang PAS merasakan kenyataan itu satu tuduhan yang perlu diperincikan supaya mereka yang terlibat perlu cepat diambil tindakan.

Tetapi malangnya seorang demi seorang membangkitkan persoalan apakah Mohamed Daud mempunyai bukti yang cukup seperti di mana ia berlaku, siapa yang terlibat, apakah bentuk rasuah yang menyamai politik wang dan macam-macam lagi soalan.
Lebih dahsyat lagi tuduhan itu telah menjadikan satu isu besar untuk PAS menerimanya sebagai satu amaran bahawa gejala politik wang yang sebelum ini heboh diperkatakan dalam UMNO telah menular ke PAS.

Sebelum ini, heboh pasal golongan mana antara professional dengan ulama patut memimpin PAS. Tetapi sebaliknya apabila timbul soal politik wang dan rasuah, nampaknya ramai yang melenting lalu soal golongan mana patut pimpin PAS hanya diserah kepada perwakilan parti untuk menentukannya.

Mungkin Mohamad Daud tidak menyangka kenyataannya yang berupa makluman dan amaran kepada PAS itu menjadi panas hingga pelbagai pihak menuntut bukti dari beliau dan termasuklah ada yang menyifatkan pendedahan itu satu fitnah semata-mata jika beliau gagal tunjukkan bukti.

Apa pun argumen yang sedang diperkatakan, pendedahan politik wang dan rasuah itu berpunca daripada menjeang Muktamar Agung PAS akan datang sudah semakin ramai muncul menyatakan hasrat merebut jawatan-jawatan penting. Maka tidak hairanlah ada yang bertindak ‘berbuat-buat baik’ dengan menghulurkan hadiah, membuat jamuan dan menjadi ‘penderma’ bermusim kepada perwakilan.

Lebih-lebih lagi tidak semua anggota PAS yang berniat sebersih kain putih kerana mereka pun insan biasa yang mempunyai nafsu untuk berkuasa dan mempunyai kepentingan tertentu. Begitu juga mereka yang menjadi perwakilan, bukan semua dari kalangan ‘malaikat’ untuk menolak apa juga bentuk pemberian dari seseorang.

Seperti Mohamad Daud yang mendedahkan perkara itu secara umum yang beliau ketahui berlaku. Tetapi untuk mendesak beliau menunjukkan bukti, ia tidak semudah dituntut kerana pendedahan beliau itu lebih kepada mahu membuat makluman supaya yang berperananlah seperti jawatankuasa disiplin parti membuka mata menyiasatnya.

Sekurang-kurangnya dengan pendedahan beliau itu boleh diibaratkan siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya. Begitu juga yang memberi dan menerima tidak akan mengaku kerana kalau mengaku, samalah dengan pepatah yang menyebut: “siapa mahu mengaku berak tengah jalan?”

Tidak dapat tidak, para pemimpin PAS yang dikatakan dipimpin oleh golongan para ulama harus sedar bahawa PAS hari ini bukan lagi PAS yang asal. Ia telah dicampuradukkan dengan bekas orang UMNO yang tidak mendapat tempat atau telah gagal berjuang dalam UMNO.

Lebih-lebih lagi sekarang ini PAS sudah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan sekutunya sperti PKR dan DAP yang juga berebut-rebut kerusi apabila ada pilihan raya kecil berlaku di mana-mana.

Secara tidak langsung juga Pakatan Pembangkang sedang dikuasai secara tidak langsung oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semua orang tahu betapa liciknya beliau dalam permainan politik terutama dalam usaha merebut kuasa melalui pelbagai teknik.

Nescaya juga dalam PAS hari ini ada pengaruh PKR, ada pengaruh DAP yang mana telah menjadikan PAS kini dianggotai oleh pelbagai golongan yang mungkin akan menjadi perosak kepada PAS.

Begitulah juga dalam mengiktirafkan siapa ulama, siapa profesional ulama, siapa profesional sahaja tidak mempunyai sebarang kretiria tertentu. Apabila seseorang itu menduduki barisan kepimpinan PAS, maka akan diiktiraf sebagai ulama.

Untuk membendung atau menyekat PAS supaya terus dipimpin golongan ulama adalah sesuatu yang mustahil selagi sempadan PAS tidak dikawal dengan baik. Akhirnya nanti, PAS semakin dilihat boleh dibolosi oleh bukan Islam melalui pendekatan cara mereka membentuk sekutu sebagai usaha mengembangkan pengaruhnya meraih sokongan.

Yang sedar akan hal ini, mungkin antaranya Mohamad Daud Iraqi. Cuma ‘signal’ awalnya telah dipandang serong dan ditempelak pula menabur fitnah. Inilah yang boleh mengakibatkan PAS akan akhirnya tidak lagi mampu menjunjung matlamat asalnya mahu meneguhkan prinsip-prinsip Islam sebenar. Ia berkemungkinan besar akan menjadi parti politik serpihan apabila PKR dan DAP tidak memerlukannya suatu hari nanti.

Read more...

BETUL KE SEMUA KETUA PENERANGAN UMNO TAK TAHU BUAT KERJA?

Saturday, May 16, 2009


Oleh ZAKARIA BIDIN
SAMPAI hati Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan kata jentera penerangan UMNO seluruh negara tidak tahu buat kerja dan gagal berfungsi kerana tidak tahu tugas masing-masing. Kenyataannya dalam siri lawatan beliau ke Terengganu baru-baru ini telah menyinggung ramai pihak. Mustahil daripada 60,000 jentera itu yang meliputi semua peringkat tidak tahu buat kerja.

Kalau benar begitu, ketua penerangan di semua peringkat buat apa selama ini? Apakah mereka hanya suka-suka pegang jawatan dan mengangga mulut saja menunggu orang lain beritahu apa perlu buat? Apa yang Ketua Penerangan UMNO sebelum ini, Tan Sri Muhammad Mohd Taib buat? Apakah Muhammad buat kerja seorang diri saja selama dia jadi ketua penerangan?

Sungguhpun kehadiran Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan UMNO baru, mempunyai azam baru dan bertekad mahu bekerja siang dan malam untuk mengembalikan tenaga UMNO di peringkat akar umbi, sepatutnya tidak mengeluarkan perkataan ‘semuanya tidak tahu buat kerja’.

Dengan ayat itu, ramai yang telah mula meragui kredibiliti Ahmad yang baru saja memegang jawatan dan belum lagi terbukti kemampuannya setakat mana. Walaupun beliau mendapat pujian kerana rajin dan sanggup turun ke 191 bahagian di seluruh negara yang baru sampai 5% sahaja setakat ini, tetapi kata-katanya ada yang menganggap sudah terlajak.

Malahan bila beliau menyebut mahu bekerja siang dan malam pun orang sudah mula berkirim-kiriman SMS sesama sendiri menyatakan mereka menyifatkan perkataan itu mengandungi sifat riak.

Ditambah pula beliau mengatakan semua ketua-ketua penerangan di semua peringkat tak tahu buat kerja, telah melebelkan Ahmad Maslan telah awal-awal lagi merendah-rendahkan kebolehan kebanyakan ketua penerangan yang aktif menjalankan peranan mereka.

Untuk Ahmad mengatakan ke paras menuduh ketua penerangan semuanya tak tahu buat kerja, beliau belum pun habis melawat semua bahagian. Sepatutnya, beliau habiskan lawatan dengan secepat mungkin dulu, beri perangsang dan dapatkan cadangan dulu baru buat penilaian.

Penilaian itu pun tidak perlu diumum secara terbuka. Ia hendaklah dibuat secara tertutup. Bila ketuanya sudah mula mendedahkan kelemahan jentera parti kepada umum, maka dikedawakanlah saja oleh parti-parti komponen BN. Lebih-lebih lagi pembangkang yang suka benar dengar Ahmad kata begitu. Memang mereka sokong sebulat suara.

Seperti cita-cita Ahmad mahu melahirkan sekurang-kurangnya 50 orang penceramah berwibawa di setiap negeri itu memang sangat baik. Tidak payah sampai 50 setiap negeri, kalau dapat 20 orang pun sudah cukup baik.

Tetapi siapakah yang akan memberikan latihan itu menjadi tanda soal dan tentunya merupakan satu masalah. Apakah Ahmad sendiri akan menjadi moderatornya? Kalau beliau sendiri, ramai dari kalangan orang UMNO minta Ahmad lupakan saja kerana Ahmad mungkin pandai berucap, tetapi tidak pandai berceramah. Menyampaikan ceramah tidak sama dengan berucap.

Ahmad perlu ada satu module lengkap untuk ketua penerangan mendalami ilmu dan mengasah bakat mereka menyampaikan ucapan, ceramah, taklimat dan berbual yang kesemuanya tidak sama antara satu sama lain. Selalunya perkara ini tidak dapat dibezakan oleh ahli politik yang menjadikan ceramah mereka hambar dan tidak menarik audian.

Pada bila-bila masa jika dibandingkan ceramah orang UMNO dengan ceramah pemidato pembangkang, ketinggalan UMNO amat ketara dari segi teknik dan isi kandungan ceramah mereka. Walaupun penceramah pembangkang kurang isi, tetapi menarik. Sering saja mendapat tepukan gemuruh dan diakui benar walaupun apa yang disampaikan berbentuk bidaah atau cerita kosong semata-mata.

Dalam hal ini, Ahmad kena benar-benar buat satu study rapi sebelum ia dilaksanakan. Kalau boleh Ahmad kena gunakan pakar-pakar penceramah dari luar kelompok UMNO yang sudah ternama dan berjaya dalam bidang tersebut.

Kalau Ahmad mahu gunakan khidmat dari kalangan UMNO sahaja untuk mendidik orang UMNO menjadi penceramah berkelibar, baik lupakan saja. Lebih baik beri mereka tugas lain seperti membuat risalah penerangan dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan pendek sahaja terhadap sesuatu isu.

Kalau betullah seperti dakwa Ahmad Maslan semua ketua penerangan di seluruh negara tidak tahu buat kerja, tidak nampaklah beliau mempunyai cukup masa untuk mereka memainkan peranan besar dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang nanti.

Untuk makluman Ahmad, waktu sedang mengejar kita. Fikirkan jalan pintas terpantas untuk mengatasinya segera. Adakan audition dulu kerana dalam 60,000 orang itu tentu ramai yang mempunyai gaya, suara, cara yang sudah tersedia hebatnya.

Nota: RENCANA INI DIPETIK DARI LAMAN WEB www.lesungbatu.webs.com

Read more...

DUN lebih berkuasa dari mahkamah dan Sultan selesaikan siapa eksekutif tadbir Perak

Friday, May 15, 2009

Oleh ZAKARIA BIDIN

SEJAK dari bulan Februari lagi, perkara yang kita dengar ialah ramai betul yang melalak supaya DUN Perak dibubar. Suara yang minta bubar DUN itu pula tidak datang dari suara yang tidak berkarisma dalam politik. Yang sibuk sangat ni adalah dari pihak pembangkang atau sekurang-kurangnya memang berjiwa pembangkang.

Memanglah pembangkang lebih suka DUN dibubar kerana sudah merasakan begitu konfiden akan menang jika diadakan pilihan raya negeri. Pada pandangan saya, jika diukur dari segi lojiknya, rakyat di sesebuah negeri itu tidak semuanya pengundi dan tidak siapa boleh menentukan siapa akan menang.

Pengundi berdaftar pula terbahagi tiga golongan - penyokong pembangkang, penyokong BN dan enggan membuang undi. Jumlah yang tidak layak mengundi lebih ramai daripada yang berdaftar dan mereka hanya akur apa saja keputusan pilihan raya.

Lainlah kalau seluruh rakyat Malaysia ini turun mengundi tidak kira yang berdaftar atau tidak. Baru itu boleh dikatakan suara rakyat sebenar-benarnya untuk memilih pemimpin mereka. Keadaan yang berlaku di Perak sebenarnya jelas bahawa pembangkang sudah tidak lagi bersuara majoriti di DUN. 3 DUN yang mewakili rakyat kawasan mereka sudah menjadi penyokong BN walaupun mereka tidak menganggotai mana-mana parti komponen BN.

Dengan itu bermakna pembangkang sudah hilang suara majorit dalam DUN dan wajar ianya bertukar tangan kepada yang mendapat sokongan lebih iaitu BN. Jawapan yang paling wajar ialah Sultan yang menjadi penaung kepada seluruh rakyat negerinya termasuk yang tidak mengundi di pilihan raya umum lalu harus melakukan sesuatu meletakkan seseorang menggantikan menteri besar dan telahpun melantik Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar mewakili BN yang sudah mendapat sokongon lebihan 3 DUN.

Menyedari akan hal ini, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin sepatutnya menghormati suara majoriti dan lepaskanlah jawatan menteri besar itu dan jadilah ADUN sebelah pembangkang pula sehingga pilihan raya umum akan datang. Tetapi ia tidak berlaku kerana semasa Nizar dilantik menteri besar, beliau bukan mewakili suara terbesar mewakili PAS. Beliau telah ‘ditelan’ dek suara DAP yang lebih ramai daripada ADUN PAS. Maka jelaslah bahawa Nizar terpaksa menjadi ‘boneka’ DAP.

Setiap tindakan Nizar pula telah dilihat oleh 3 ADUN yang berpaling tadah bahawa Nizar sudah benar-benar dikepung oleh nafsu kuat DAP yang meminta beliau melakukan tindakan yang bukan-bukan terutama meluluskan hak milik tanah hingga 999 tahun. Mungkin banyak lagi agenda lain yang belum sempat Nizar tunaikan, Sultan Perak terpaksa masuk campur dan mengiktiraf DUN Perak sebagai hak BN yang telah mendapat lebih sokongan.

Tun Mahathir Momamad yang selama ini menjadi tempat rujukan turut mengatakan bahawa Perak tidak perlu mengadakan pilihan raya negeri. Beliau setuju dengan siapa mendapat suara lebih besar, dialah memerintah.

Beliau berpandangan jika Perak mengadakan pilihan raya, ia akan memakan belanja yang begitu besar dan pada pandangan beliau dalam suasana rakyat berada dalam kekeliruan sekarang tidak akan menjanjikan satu keputusan yang baik. Rakyat hanya nampak bahawa pembangkang terlalu mengila-gila mahu memerintah, tetapi setelah diberi peluang, mereka bercelaru sesama sendiri dan terlalu banyak memuaskan nafsu DAP sahaja.

Penyelesaian yang paling baik ketika ini ialah oleh kerana masing-masing sudah ‘bergelut’ dalam mahkamah, biarlah mahkamah menentukan siapa yang sebenar-benarnya sah menjadi menteri besar. Kalau pun Nizar jadi menteri besar, ADUN yang menyokong beliau sudah jadi minoriti.
Pada bila-bila masa sahaja dalam persidangan DUN, Nizar boleh dipecat oleh suara sokongan DUN BN yang sudah bersuara majoriti. Walaupun nanti, mahkamah mengesahkan Nizar tetap menteri besar, tidak semestinya beliau duduk lama di situ kerana ADUN BN akan tetap membentang usul memecat Nizar dan beliau akhirya tersingkir juga.

Walaupun juga kalau mahkamah rayuan memutuskan Zambry bukan menteri besar yang sah, suara majorit BN tidak berubah. Nizar tetap boleh digugurkan. Pakatan Pembangkang pun tahu akan hal ini dan kerana itulah yang membuatkan mereka terus menuntut supaya DUN dibubar dan Perak hadapi pilihan raya negeri.

Walaupun Pakatan Pembangkang melihat dengan mempunyai 3 kumpulan (PKR,DAP dan PAS), tetapi tetap tidak melebihi suara BN yang satu tetapi mempunyai suara majoriti DUN. Tetapi oleh kerana pembangkang lebih berminat untuk membuat kecoh daripada menerima hakikat sokongan mereka kecundang, mereka akan teruslah mengeluarkan kenyataan-kenyataan menuntut supaya DUN dibubar.

Masakan Sultan Perak berkenan. Kalau tidak berkenan, maka DUNlah tempat paling sesuai menentukan siapa menteri besar yang sah walaupun mahkamah boleh mengesahkan siapa sah. Walaupun juga kuasa Sultan hanya boleh melantik menteri besar tetapi tidak boleh memecat menteri besar, tetapi DUN boleh. Bila DUN boleh, saya tidak nampak wajah Nizar akan terus dapat menjadi menteri besar walaupun mahkamah mengesahkan beliau menteri besar.

Jangan pula nanti apabila mahkamah rayuan meneliti semula kandungan rayuan itu mengesahkan Zambry adalah menteri besar yang sah, Nizar akan saman mahkamah pula. Itu baru betul tak betul.

Read more...

Betulkah kalau bubar DUN, masalah selesai?

Thursday, May 14, 2009

Oleh MOHD ALI MOHD HAMDAN

MEMBACA Sinar Harian (Edisi Selangor & Kuala Lumpur), Khamis dengan berita utama ‘PAS dakwa ada ‘tangan ghaib’ – Mahfudz anggap keputusan Mahkamah Rayuan dipengaruhi BN, seolah-olah membaca Harakah, lidah rasmi Pas.

Ketika Mahkamah Tinggi memutuskan Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin kekal Menteri Besar Perak, 11 Mei lalu, penyandang jawatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menerimanya dengan hati terbuka dan bersedia untuk mengosongkan pejabat bagi menghormati keputusan tersebut.

Tidak ada langsung kedengaran mana-mana pemimpin Umno atau BN yang menuduh keputusan Mahkamah Tinggi itu sebagai dipengaruhi Pakatan Pembangkang tetapi apabila ada keputusan sebaliknya, kepimpinan PAS terus menyerang mahkamah dan institusi kehakiman kononnya dipengaruhi BN.

Apakah sebenarnya yang mahu disampaikan oleh PAS kepada rakyat dan pengundi di Malaysia? Mengapakah mereka mempunyai fikiran begitu kotor dan teruk hingga semua perkara mestilah menyebelahi mereka dan jika terjadi sebaliknya, mereka akan mengajak semua penyokong mereka, ‘menyerang’ insitusi kehakiman, mahkamah, Peguam Negara dan Polis.

Mereka, sudah semakin takbur. Mereka terus mendesak supaya DUN dibubarkan kononnya mereka membawa hujah, inilah kehendak rakyat dan biarlah rakyat yang menjadi hakim setelah pemikiran rakyat mereka kelirukan dengan fitnah dan tohmahan.

Belum tahu, jika Dewan dibubarkan, kemenangan semestinya menyebelahi mereka. Belum pasti, rakyat memilih mereka walaupun mereka cukup yakin. Bagaimanakah jika keputusannya kekal seperti sekarang, 31 kerusi dimenangi BN dan 28 kerusi dimenangi Pakatan Pembangkang?

Adakah Pakatan Pembangkang menjamin tidak akan membuat kecoh seperti apa yang mereka buat sekarang? Mahukah mereka berjanji tidak akan menuduh SPR berat sebelah dan BN mendapat sokongan dari pengundi hantu?

Rakyat perlu diberitahu, ketika Pakatan Pembangkang mendapat 31 kerusi, BN tidak membantah mereka menubuhkan kerajaan tetapi berbeza dengan Pakatan Pembangkang, apabila BN mendapat 31 kerusi, mereka terus membantah BN daripada menubuhkan kerajaan.

Ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasakan BN tidak boleh menang kalau diadakan pilihan raya semula, tetapi tidak ada siapa boleh menolak kemungkinan rakyat kembali menyokong BN untuk berkuasa semula di Perak.

Siapa yang boleh mendahului kehendak Allah? Kemenangan Pas di Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, bukan boleh menjadi kayu ukur keseluruhan arah sokongan rakyat kepada pembangkang. Walaupun tugas ini amat berat untuk BN tetapi tiada yang mustahil jika ditakdirkan BN boleh kembali berkuasa dan tidak mustahil juga, BN boleh kalah teruk, lebih teruk dari keputusan dalam PRU 12 yang lalu, jika rakyat memang sudah terpengaruh dengan hasutan dan permainan pembangkang sejak mereka berkuasa di Perak.

Keadaan politik di Perak sebenarnya boleh aman jika semua pihak faham dan tahu menghormati demokrasi. Cerita kudeta dan rampasan kuasa sebenarnya tidak betul dan dakwaan mengatakan tiga ADUN pembangkang diculik BN juga tidak pernah berlaku.

Kerajaan Pas di Kelantan pernah menubuhkan kerajaan dengan kelebihan satu kerusi dalam tahun 2004 tetapi BN memainkan peranan sebagai pembangkang secara positif. Tidak ada sesiapa berbaring di atas jalan raya dan tiada siapa yang mencipta masalah hingga terpaksa bersidang di bawah pokok.

Budaya BN, menghormati perjalanan undang-undang dan itulah prinsip yang dipertahankan selama ini tetapi Pakatan Pembangkang, sama ada yang bertaraf ulama atau bertaraf pengawal keselamatan, mereka tetap mencari helah kononnya BN menang hanya kerana tipu muslihat dan bukan kemenangan atas kehendak pengundi.

PAS dan DAP sebenarnya sudah biasa kalah dan sudah biasa menang. Mereka tidak begitu ghairah menerima berita kemenangan dan berita kekalahan tetapi semenjak mereka bergabung dengan sebuah parti yang ‘menghalalkan’ bogel dan skandal dengan isteri orang, watak PAS dan DAP serta-merta berubah. Mereka bukan sahaja menyokong parti yang merestui berbogel, malahan mereka juga semakin seronok untuk menjadikan jalan raya sebagai mahkamah dan penyokong-penyokongnya sebagai benteng untuk berhadapan dengan polis dan FRU.

Kesimpulan, seperti tulisan Najwa Mohd Ghazali di ruangan 7 Minit, Sinar Harian (Editor Edisi Perak) – apa yang terjadi di Perak bukan lagi satu kejutan, walaupun diakhir tulisannya, dia juga mahu DUN Perak dibubarkan – tanpa memikirkan apakah akan terjadi jika keputusannya nanti 51-49 peratus.

Selagi penyokong Pas belajar mengaji Quran dengan Nga Kor Ming, ADUN Pantai Remis yang sudah mendapat ‘tauliah dan ijazah’ dari Datuk Nik Aziz Nik Mat, perubahan mental mereka tidak akan dapat diubah untuk menjadi seorang manusia yang rasional.

Malahan, mereka tidak akan mahu mengakui bahawa keamanan yang mereka kecapi sekarang adalah hasil dari dasar Umno yang tidak pernah menghalang mereka (penyokong-penyokong DAP, PAS dan PKR) untuk menuntut ilmu dan menjadi manusia yang berpelajaran – dan seterusnya menjadi penentang kerajaan tanpa tahu untuk berterima kasih.

Read more...

Titah Sultan Nizar ingkar, Nizar pecat SS walaupun bukan kuasanya

Wednesday, May 13, 2009


Oleh AHMAD HJ ISHAK

DUA cerita di Perak sekarang. Cerita pertama, Nizar menang kes di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) dan kembali menjadi Menteri Besar (MB) dan kemudiannya, Datuk Seri Dr. Zambry menang pula dalam permohonan di Mahkamah Rayuan dan kekal menjadi MB sehingga satu keputusan lain dibuat.

Cerita kedua, Nizar tidak sabar-sabar untuk memecat (baca: menggantung) Setiausaha Kerajaan Negeri (SS), Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undang, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, tetapi dibantah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan dengan mengatakan Nizar sebenarnya tiada kuasa untuk menggantung tugas kedua-dua pegawai kerajaan negeri itu.

Sukalah penulis menarik perhatian penulis Che Ismail Che Yaacob lewat tulisannya dalam blog ini (http://bypass308.blogspot.com/) yang bersorak gembira dengan tindakan Nizar memecat Dr. Abdul Rahman dan Ahmad Kamal, namun dalam masa yang sama, penulis itu, tidak mahu ingat bagaimana Nizar pernah ingkar dan memilih sembah derhaka atas titah Paduka Seri Sultan Perak, apabila Baginda mendapati Pakatan Pembangkang sudah kehilangan majoriti apabila berlaku tiga ADUN meninggalkan parti masing-masing dan mengisytiharkan diri sebagai ADUN Bebas.

Amatlah malang bagi rakyat Negeri Perak (kecuali Che Ismail Che Yaacob – jika dia salah seorang rakyat Negeri Perak) jika mereka mempunyai seorang Menteri Besar seperti Nizar, serta merta nak menunjukkan kuasa apabila mendapat kuasa, seperti ada persamaan dengan bekas Speaker, V. Sivakumar yang dua kali memecat (baca: menggantung) tugas Setiausaha Dewan Undangan Negeri Perak, Abdullah Atong Sabri, kerana mahu menunjukkan dia berkuasa.

Kalaulah SS itu ialah Datuk Ngeh Koo Ham, beranikah Nizar memecatnya? Tentulah tidak ada cukup keberanian Nizar mahu memecat Ngeh. Bukan kerana Ngeh betul, Nizar tidak berani bertindak ke atasnya tetapi Ngeh sebenarnya ‘boss’ kepada Nizar dan ‘big boss’ kepada penulis blog, Che Ismail Che Yaacob.

Rakyat negeri Perak kena membuka mata, seluas-luasnya bagaimana Nizar dari Pas bila mendapat kuasa. Belum sempat panas kerusi Menteri Besar, sudah mahu memecat pegawai. Apakah Ngeh yang suruh? Tentulah jawapannya tidak kerana tidak terdengar pun suara Ngeh berkata begitu. Kecualilah kalau Ngeh dan Nga Kor Ming membisikkan sesuatu ke telinga Nizar (ketiga-tiga mereka Nizar, Nga dan Ngeh adalah 3N) untuk bertindak ke atas Dr. Abdul Rahman dan Ahmad Kamal.

Cerita bomoh seperti yang dituduh ADUN pembangkang terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry sudah semakin dilupakan. Barangkali selepas ini penulis Che Ismail Che Yaacob bolehlah menulis selepas menyiasat siapakah orangnya yang membawa bomoh masuk di DUN Perak dan menjampi kerusi Speaker.

Jawatan Menteri Besar Perak, adalah perlantikan Sultan Perak. Nizar tentunya tahu hal ini. Ngeh dan Nga juga tentunya tahu. Jadi apabila mereka dan kawan-kawan mereka memilih untuk ‘sembah derhaka’ ia akan menyukarkan untuk bekerjasama di masa-masa mendatang.
Alangkah malang, majlis perasmian DUN Perak boleh tertangguh angkara mereka yang tidak ada rasa hormat terhadap Raja Muda Perak yang mahu menyampaikan titah bagi merasmikan Persidangan DUN 7 Mei 2009 yang lalu.

Nasib baik Ngeh dan Nizar ‘dititah secara dibisikkan kepada mereka’ oleh Raja Muda supaya tidak meneruskan adegan sarkas di DUN Perak ketika Raja Muda mahu menyampaikan titah perasmian.

Bagaimanalah agaknya kalau mereka kalah di mahkamah, tentulah mereka akan mendakwa mahkamah sudah dipengaruhi BN dan kalau mereka menang, mereka akan berkata, inilah keputusan yang adil kerana kebenaran yang mereka cari sudah mereka dapat semula.

Pas, DAP dan PKR sebenarnya adalah parti yang pakar dalam membuat persepsi. Mereka akan jadikan semua hal sebagai persepsi. Mereka berceramah dengan macam-macam persepsi. Mereka menulis dengan pelbagai persepsi.

Jika polis menahan orang-orang mereka, itu namanya culik. Jika BN menahan orang BN, mereka akan jatuhkan hukuman terlebih dahulu sebelum pendakwaan dan perbicaraan. Mereka bukan sahaja berjaya mengelirukan pemikiran rakyat, malahan, khabarnya ada di kalangan hakim-hakim di Malaysia sudah jelas kelihatan seperti tidak nampak apa-apa kecuali ‘mahu menghukum’ BN.

Tidak hairanlah, jika ada orang Pas ditangkap dengan isteri orang dalam bilik hotel, hukumnya ‘halal’ tetapi memfitnah orang Umno terlibat dengan budak perempuan di bawah umur, dianggap tidak berdosa kerana, Nga sudah dibenarkan menyebut sepotong ayat al-Quran oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Tidak salah jika ada wakil rakyat berbogel dan gambarnya tersebar meluas asalkan dia adalah ahli PKR kerana ‘halal’ berbogel di rumah tetapi dengan syarat mereka orang PKR dan menyokong DAP dan Pas. Jangan terkejut, Wanita PKR dan Pas akan memeluk erat mereka yang mempertahankan ‘prinsip separuh bogel’.

Read more...

Ahli PPP bimbang Kayveas akan jadi Samy Vellu dengan MIC – presiden seumur hidup

Tuesday, May 12, 2009


Oleh ZAKARIA BIDIN

Ahli PPP bimbang Kayveas akan jadi Samy Vellu dengan MIC – presiden seumur hidupSebaik sahaja Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk T.Murugiah mula menafikan beliau tidak ada niat untuk merebut jawatan Presiden People’s Progressive Party (PPP) di mana beliau selaku ahli majlis tertingginya, berdetak di hati saya bahawa beliau akan berdepan dengan masalah dengan presidennya, Datuk M.Kayveas.

Selepas itu, T.Murugiah dilihat rajin turun ke padang bersama wartawan dan mendapat publisiti memaparkan tugasnya hingga ke tepi longkang meninjau longkang-longkah tersumbat di Kuala Lumpur.

Dalam satu perkembangan lain, T.Murugiah telah menyebut bahawa kaum India tidak perlu mempunyai banyak parti untuk membela nasib mereka. Kenyataan itu menimbulkan banyak persoalan mengapa beliau sendiri tidak berada dalam MIC sebagai parti unggul kaum India selama ini.

Riak-riak beliau akan menghadapi masalah dengan Kayveas semakin jelas dan beliau terus menafikan beliau mahukan jawatan Presiden PPP. Tetapi Kayveas tetap memberi perhatian serius terhadap Murugiah. Apa saja yang boleh disebut dan diperli, dia akan guanakan habis-habisan.

Mungkin terbit rasa cemburu Keavyas terhadap Murugiah yang meluap-luap ketika ini. Terus menerus Murugiah mendapat beban baru apabila disebut-sebut akan bertanding jawatan di mana khabarnya sedang rancak melobi di peringkat cawangan dan bahagian untuk dicalonkan bertanding kerusi presiden dalam pemilihan PPP akan datang.

Beliau terus mendapat hasakan dari Keavyas hingga dengan terang-terang mengatakan Murugiah juga terlibat dalam politik wang. Malah laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah dibuat terhadap beliau.

Dengan alasan itu, jawatankuasa disiplin mahu mengambil tindakan memecat segara Murugiah supaya kedudukan Murugiah sebagai timbalan menteri akan terkapai-kapai bersama Barisan Nasional (BN). Kedudukan Murugiah sebagai timbalan menteri dijangka akan terjejas dan ini tentunya akan menimbulkan masalah kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru memegang jawatan perdana menteri.

Kayveas tidak peduli apa akan terjadi walaupun namanya juga akan turut cacat dalam BN kelak. Yang penting padanya adalah beliau belum bersedia untuk dilawan kerana pada ketika ini tidak ada apa jawatan dalam kerajaan. Beliau menjadi presiden parti yang tidak pun mewakili mana-mana parlimen ataupun DUN. Beliau merasakan ketika ini beliau berjalan dengan ‘tangan kosong’.

Bagaimanapun pemecatan Murugiah yang diuar-uarkan dihentikan oleh Kayveas sendiri kononnya memberi peluang kepada Murugiah bertanding dengan beliau. Sebagai timbalan menteri di jabatan perdana menteri, Murugiah lebih kelihatan menyerlah jika dibandingkan dengan kedudukan Kayveas hari ini.

Untuk itu, Kayveas akan berkempen tidak kira melalui saluran apa sekalipun, sanggup berhabisan akan berkorban dengan apa cara yang boleh untuk mengorbankan Murugiah jika Murugiah benar-benar mendapat suara mutlak ahli untuk menentang Kayveas. Dalam pada menafikan dengan banyak cara, Murugiah tentunya merasakan beliau sudah layak untuk naik bagi mengerdipkan semula cahaya bintang PPP yang sedang malap di bawah kepimpinan Kayveas.

Dalam pada itu, ahli PPP juga membuat pelbagai tafsiran sendiri antara Kayveas dan Murugiah, siapa lebih nampak berwibawa dan berkarisma untuk menjadi pemimpin mereka. Keangkuhan Kayveas (di mana beliau sendiri tidak pernah sedar) sudah lama menjadi perhatian orang ramai.

Presiden PPP ini dilihat lebih banyak menimbulkan kontraversi ketika beliau menjadi timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan sebelum ini. Keceluparan beliau telah menjadi racun kepada dirinya sendiri hingga beliau tewas dalam pilihan raya umum lalu.

Walaupun dalam kenyataan tebaharu Kayveas menyatakan PPP tidak akan mengenepikan BN melainkan dengan sebab musabab dan prinsip-prinsip yang kukuh, tetapi Kayveas mungkin tidak terfikir bahawa kalau PPP tidak keluar dari BN, BN pun sudah lama meluat dengan PPP yang tentunya berkisar dari sikap Kayveas sendiri yang tidak dilihat bebaloi berada dalam BN.

Ahli PPP juga sudah semakin ramai memberi komen terhadap presiden parti itu yang antaranya mereka turut bimbang Kayveas akan jadi presiden parti MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu yang bagaikan bermati-matian tidak mahu meninggalkan jawatan presiden MIC. Kalau boleh belaiu mahu berada di situ sampai akhir hayat.

Atas sebab itu, jika Murugiah mempunyai cukup keberanian dan bertanding juga jawatan presiden PPP melawan Kayveas, belum tentu Kayveas mampu pertahankan jawatannya sekarang. Sekiranya pula jika Murugiah ditakdirkan menang, Kayveas mungkin tidak tertanggung malunya. Tidak hairanlah kalau Kayveas kalah, beliau berkemungkinan besar akan menubuh parti baru semata-mata mahu duduk di tampuk utama dalam sebuah parti politik.

Read more...

KRISIS POLITIK PERAK: BEGINIKAH KITA MEMPERINGATI PERISTIWA 13 MEI?

oleh: Musli Oli


Allahyarham Tun Razak telah berjaya menangani krisis kaum dan kesan dari peristiwa 13 Mei dengan merapatkan hubungan kaum di Malaysia.
Jika pilihan raya umum tidak disegerakan di negeri Perak, entiti yang paling layak menangani krisis politik negeri itu ialah Istana Perak. Tiada mahkamah atau hakim dalam Malaysia atau dalam dunia sekalipun yang dapat memuaskan hati kedua-dua pihak yang bertelegah.

Hari ini sungguhpun Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan menangguh keputusan hakim Justice Abdul Aziz Abdul Rahim yang dalam penghakimannya semalam mengesahkan Dato Seri Nijar Jamaludin sebagai Menteri Besar yang sah. Namun esok, tarikh 13 Mei , krisis itu akan berterusan tanpa penghujungnya. Malah mungkin akan berlaku lagi kekecohan di pejabat SUK bila kedua-dua pihak, Zambery dan Nijar masing-masing masuk ke pejabat yang sama.

Esok, para peguam Pakatan Rakyat pula akan ke mahkamah memohon ketepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang menangguh keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu. Pemimpin Pakatan Rakyat mempersoalkan kenapa penghakiman dibuat dalam masa yang begitu singkat dan kenapa hanya seorang hakim Mahkamah Rayuan saja yang mendengar kes yang penting seperti itu?

Sultan Perak sebagai seorang bekas Ketua Hakim Negara dan sebagai seorang tokoh yang amat disegani sudah tentu cukup bijaksana menangani kemelut yang melanda negeri baginda. Kita tidak perlu memberi cadangan apa yang harus dibuat Sultan Perak kerana berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Jika mahkamah yang menentukan kemelut Perak, krisis itu tidak ada penghujungnya. Apa juga keputusan hakim, orang politik yang melihat daripada pelbagai sudut akan pasti mempertikaikannya jika keputusan itu tidak memihak kepada diri atau kumpulan yang disokong. Orang biasa dan ahli-ahli parti politik yang tidak tahu undang-undang pun membuat berbagai interpretasi mengikut puak yang mereka sokong.

Akhirnya isu ini bukan lagi merupakan isu undang-undang atau perlembagaan tetapi melarat seperti api ditiup angin menjadi isu perkauman yang merbahaya kepada kestabilan politik negara.

Esok, tarikh 13 Mei sepatutnya diperingati seluruh rakyat Malaysia dengan perasaan insaf dan kesal dan bertekad agar peristiwa hitam seperti itu tidak berulang. Namun setelah hampir 40 tahun isu kaum terus menjadi isu politik. Pertelingkahan masih berkisar kepada kaum. Di Perak begitu jelas adalah perebutan kuasa antara orang Melayu dan orang Cina. Kedua-dua pihak secara terang-terang melalui kata-kata dan perbuatan mereka menunjukkan sentiment kebencian yang melampau.

Dalam usaha mengujudkan sebuah bangsa Malaysia dalam konsep 1Malaysia, apa yang berlaku di Perak tidak membantu ke arah usaha itu. Negara sebaliknya terus berpecah dan politik terus diwarnai sentiment perkauman seperti mengikut rentak sebelum 13 Mei malah ianya lebih teruk lagi dengan pengaruh globalisasi hari ini.

Read more...

Kenapalah tergamak 10 ADUN ‘aniaya’ Menteri Besar

Monday, May 11, 2009



Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

BILA memikirkan semula kesan dari berita yang pihak polis sedang mencari Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zuber ekoran kes penghantaran SMS bernada ugutan kepada tiga ADUN Terengganu, bermakna seolah-olah ada pihak yang sedang menganiaya Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Apa tidaknya, disebabkan keengganan 10 ADUN menghadirkan diri ke siding DUN Terengganu, ekoran tiga dari kawan-kawan mereka menerima SMS bernada ugutan itu, yang menerima kesan dari ‘permainan’ ini ialah Menteri Besar, kerana seolah-olah ada usaha membuat undi tidak percaya kepada Menteri Besar.

Cerita undi tidak percaya kepada Menteri Besar menjadi cerita besar, sedangkan ia sebenarnya bukan sesuatu yang ‘ada kebenaran’ untuk diperjuangkan. Malangnya, apabila berita ini tersebar dari mulut ke mulut, SMS dan internet, maka sedikit sebanyak ia menggegarkan politik Umno Terengganu.

Sibuklah 10 ADUN ini mengumpul bahan untuk dihantar kepada pucuk pimpinan bagi mengesahkan ‘pemboikotan’ mereka itu berasas dengan dakwaan-dakwaan yang direka-reka dan ditokok tambah.

Kejayaan yang 10 ADUN kecapi setakat ini apabila Presiden Umno yang juga Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mengekalkan Datuk Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, sebaliknya menamakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai pengerusi manakala Datuk Ahmad Said sebagai timbalan.

Apabila jelas, cerita SMS ini hanya mainan, jika siasatan polis mendapati sedemikian, mahukan 10 ADUN yang buat hal ini, menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf kerana keterlanjuran mereka. Mungkin mereka tidak akan terfikir untuk memohon maaf kerana mereka masih merasakan mereka berada di pihak yang benar.

Mereka sebenarnya perjuang dan merekalah yang ikhlas selain berpendidikan tinggi jika mahu dibandingkan dengan Menteri Besar dan Exco serta ADUN-ADUN yang menyebelahi Datuk Ahmad Said.

Lebih menyedihkan 10 ADUN ini yang sudah membuat onar, sanggupkah mereka membersihkan semula kemelut yang mereka mulakan itu, apabila polis nantinya menyelesaikan penyiasatan?

Dengan label ‘mereka bukan ADUN cap ayam’ mereka mestilah mempunyai semangat yang kuat untuk mengakui kesilapan. Begitu juga ada seorang blogger yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘boss kepada dirinya sendiri’ perlulah memulakan penulisan yang ke arah mengakui ‘keterlanjurannya’ kerana selama ini, dia sering mengina orang dalam setiap kali menulis dalam blognya.

Sasarannya, tentulah Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Rosli Mat Hassan yang dihina gelaran dan anugerah doktarate yang diterimanya dari sebuah universiti di Jepun.

Bagi blogger itu, orang yang paling hebat di Terengganu ialah Datuk Din Adam, seorang juruteknik sebelum dibantu menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Dungun tetapi akhirnya tumbang kerana cuba merampas kedudukan Ketua Bahagian Dungun.

ADUN yang 10, tentu sedang menyusun strategi baru sekarang, jika siasatan polis tidak menyebelahinya. Jika tidak ada strategi baru, nescaya nampaknya 10 ADUN ini memang jahat niat dan silap tindakannya.

Untuk menutup semua kesalahan dan keterlanjuran, sesuatu rekayasa hendaklah dibuat bagi melupakan cerita lama dan perhatian dialihkan kepada isu baru yang mungkin 10 ADUN akan dedahkan lagi, sekurang-kurangnya untuk menyakinkan Perdana Menteri, 10 ADUN betul dan Menteri Besar salah.

Ketika orang ramai, rakyat negeri Terengganu dan pemerhati politik sudah faham apa tujuan 10 ADUN lakukan semua ini, 10 ADUN ini akan terus mengadakan cerita kononnya mereka mahu selamatkan Negeri Terengganu dari tangan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang kononnya telah merosakkan perpaduan Umno.

Mereka yang memboikot dewan, mereka yang membuat report polis mengatakan mereka menerima SMS ugutan, mereka yang berarak ke Kuala Lumpur menjaja cerita yang bertujuan memburuk-burukkan Menteri Besar, mereka yang mengadakan ‘road show’ mengutuk kepimpinan Menteri Besar dan mereka yang menulis dalam blog dan mendedahkan ke laman-laman web, akhirnya nanti mereka akan mengatakan mereka ikhlas untuk memperjuangkan nasib Umno di Terengganu.

Lebih menyedihkan 10 ADUN ini khabarnya berhempas-pulas mahu menyakinkan Hishammuddin supaya merubah pegawai-pegawai di Badan Perhubungan Umno Terengganu khususnya Setiausaha kerana mereka membawa cerita kononnya Setiausaha Perhubunganlah yang terlalu kuat mempertahankan Menteri Besar selama ini.

Satu pertanyaan yang masih tak terjawab, mengapakah sanggup 10 ADUN ini menganiaya Menteri Besar dengan tindak-tanduk mereka?

Read more...

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP