Cerita sayap UMNO Besut

Tuesday, April 28, 2009


Oleh Zamzuri Damanhuri


HARI ini, mereka di Terengganu, kalau mahu popular cukup mudah. Misalannya, kisah Ketua Umno Bahagian Besut, Idris Jusoh (Datuk Seri). Suasana politik sudah cukup tenang dan harmoni dan orang pun sudah jarang menyebut namanya lagi sekarang. Tetapi, bila dia datang ke persidangan DUN dengan diiringi 12 pengiring termasuk yang memakai seluar pendek, namanya kini mula menjadi sebutan semula di Kuala Terengganu, sebagai salah satu topik berbincang ketika duduk minum petang sambil makan tapai ubi goreng.


Mungkin Idris merasakan keselamatannya akan lebih terjamin bila dia diiringi mereka yang merasakan diri mereka samseng. Maklumlah, politik Terengganu dikhabarkan sebagai tidak selamat sekarang hingga persidangan DUN pun mereka tidak sanggup hadir kerana bimbang akan keselamatan mereka.


Hari ini, dalam Berita Harian, ketiga-tiga sayap Umno bahagian Besut mendakwa kena perangkap – kerana diarahkan tanda tangan aku janji kosong sokong Menteri Besar pada sidang khas.


Maknanya di Terengganu sekarang, bukan sahaja nyawa ahli politik didakwa terancam, malahan, sudah banyak perangkap yang dipasang. Malangnya, hanya tiga orang sahaja ‘terperangkap setakat ini’ iaitu Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian, Mahadi Musa, Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian, Engku Naimah Engku Taib dan Che Senah Sulaiman, Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Besut.


Kenapa mereka masuk perangkap? Siapa yang memasang perangkap? Bagaimana sekarang…adakah mereka bertiga masih dalam perangkap lagi atau sudah dilepaskan dari perangkap itu kerana Idris tentunya boleh melepaskan anak-anak buahnya ini dari perangkap yang dipasang oleh orang-orang Menteri Besar, barangkali.


Cerita politik Umno Terengganu ini boleh dilupakan begitu sahaja kalau orang ramai faham siapa sebenarnya yang menyebabkan keadaan politik ini menjadi sedemikian rupa. Kalau mereka tahu siapa Idris Jusoh, bagaimana cerita dia ketika menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno, merancang memboikot Konvensyen Umno Negeri Terengganu suatu ketika dahulu, kemudiannya dia melanjutkan pelajaran ke luar negara, mennggalkan kawan-kawannya berdepan dengan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ketika itu, tentulah orang ramai faham, sejarah manusia yang suka melontar batu sembunyi tangan ini.


Mahadi, Engku Naimah dan Che Senah bleh menarik balik tanda sokongan mereka kepada Menteri Besar kerana Kepimpinan Umno Besut memang wajar tidak menyokong Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan kalau boleh kepimpinan Umno Bahagian Besut bolehlah menubuhkan ‘kabinet bayangannya sendiri’ untuk memberitahu orang Terengganu termasuk Istana Terengganu bahawa mereka (dari Besut) tidak pernah menyokong keputusan Istana Terengganu dan Perlembagaan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Negeri.


Lagipun, memang orang Terengganu faham, Besut adalah ‘negeri sendiri’ yang terpisah dari Terengganu sejak sekian lama. Hanya orang Besut sahaja yang boleh menjadi Menteri Besar Terengganu pada anggapan mereka tetapi orang lain termasuk dari Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Kuala Nerus hanya boleh menjadi Menteri Besar Terengganu dengan tidak melibatkan Besut!


Aduh, begitu sekali agaknya politik kepimpinan Umno Bahagian Besut kini. Mereka meletakkan pakar-lakar strategi politik mengelilingi Idris yang mereka sanjung dan angat sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia.


Malahan, Idris sering bercakap yang dia mahu mencipta tamadun seolah-olah, dia sahaja yang mampu dan bertamadun sedangkan orang lain, termasuk Pekan di Pahang, Pagoh di Johor dan Kubang Pasu d Kedah, tidak pernah bertemadun kerana Idris tidak datang mencipta tamadun di Pekan, di Pagoh dan di Kubang Pasu.


Tidak hairanlah, ketua-ketua sayap Umno bahagian Besut, mereka bercakap dalam dua suara. Di depan kawan-kawan dari bahagian-bahagian lain dari Terengganu, mereka bersedia menyokong kepimpinan Menteri Besar tetapi apabila mereka balik ke Besut, mereka mendakwa diri mereka diperangkap oleh orang Menteri Besar yang memasang perangkap.


Sebenarnya, jika ketua-ketua sayap Umno Besut membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan Ahmad Said sebagai Menteri Besar pun tidak akan mengubah kedudukan Datuk Ahmad Said dan jika mereka menyokong sekali pun, kedudukan yang ada tidak akan berubah. Bak kata pepatah, mereka ini sebenarnya hanyalah ibarat melukut di tepi gantang, ada tidak menambah, tidak ada tidak mengurang.


Umno Bahagian Besut tidak ada lebihnya dari Umno Bahagian Kuala Nerus. Jika Besut ada satu kawasan Parlimen, Setiu juga ada satu kawasan Parlimen. Jika Besut ada empat kawasan DUN, Dungun juga mempunyai empat kawasan DUN. Besut hanya satu bahagian dari lapan bahagian yang melengkapkan Negeri Terengganu dan jika Besut tidak sokong Menteri Besar, masih ada tujuh lagi bahagian yang tetap menyokong.


Kenapa mahu diperbahaskan isu Besut ini secara berlebih-lebihan? Adakah dengan kehendak Besut sahaja yang membolehkan Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar? Adakah tanpa Besut, Terengganu tidak wujud? Atau hanya orang Besut sahaja layak menjadi Menteri Besar sedangkan orang dari kawasan lain tidak layak? Sudah terbukti, orang Marang pun boleh menjadi Menteri Besar dan namanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Kalau Idris merasakan dirinya terlalu hebat dan bertaraf dunia, Perdana Menteri kenalah memikirkan untuk melantik Idris menjadi duta atau apa sahaja jawatan yang membolehkan Idris menggunakan ilmunya yang bertaraf dunia, seperti kepercayaan para penyokongnya di duni luar. Dia tidak layak di Terengganu kerana ilmunya jauh lebih hebat dari orang lain di Terengganu, seperti cerita para penyokong-penyokongnya.

Biarlah orang seperti Datuk Ahmad Said menjaga Terengganu kerana hidupnya, dirinya, pemikirannya dan jiwanya memang ditumpukan sepenuhnya untuk rakyat dan Negeri Terengganu, negeri kesayangannya.


Tidak payahlah bawa cerita SMS ugutan bunuh kepada rakyat yang sudah jemu dan jelak dengan perangai mereka yang tidak habis-habis menimbulkan masalah. Mereka-reka cerita kononnya Datuk Ahmad memecat pegawai kerajaan sedangkan Idris ketika menjadi Menteri Besar juga pernah melakukan perkara itu (memecat) tanpa pula Datuk Ahmad menyerangnya dan menimbukan cerita-cerita tidak baik, kerana mereka tahu, menyokong kepimpinan adalah sesuatu yang wajib selagi kepimpinan itu tidak menyeleweng.


Idris mahukan sokongan orang lain tetapi Idris tidak pernah mahu menyokong orang lain. Dia perlu berterima kasih kepada orang yang mengundinya hingga boleh menang kerusi MT tetapi Datuk Ahmad Said tidak bertanding pun MT kerana mahu memberikan undinya kepada Idris. Idris tahu ke ni?

1 comments:

are-faya faya March 9, 2010 at 8:12 AM  

Saya melihat penulis banyak mempertikaikan bahagian BESUT..kerana BESUT ni memang BUMI tersendiri..BUMI ULUL ALBAB

Lihatlah kejayaan BESUT,UPSR terbaik di MALAYSIA,PMR sekolah dari BESUT terbaik di MALAYSIA...memang bila kejayaan sesebuah daerah itu menjadi LIPUTAN,memang byk ORANG akan BERHASAD DENGKI...

Ingin saya perbetulkan penulis,IDRIS pergi belajar ke luar negara MENUNTUT ilmu..bukannya sengaja2...lihatlah ilmu yang die dapat,diaplikasikan dalam pentadbiran beliau dahulu kalanya...

lihat sewaktu zaman kejatuhan BN di TERENGGANU dari tahun 2000-2004,tiada seorang pun yang sanggup memegang tampuk kepimpinan ketika itu,kerana fobia dgn kekalahan yang berlaku...idris ketika itu ingin melanjutkan pelajaran utk pHD,tetapi atas sebab keberanian,idris menyahut seruan pak lah utk memegang jawatan pengerusi UMNO...INGAT!!!dahulu wan mokhtar pernah menjanjikan MB akan dilantik dari kalangan ADUN BESUT iaitu tan sri YUSOF NOOR..tapi alangkah bijaknya org kemaman ni,meletak yusof nor bertanding PARLIMEN...

dari tahun 2000-2004,IDRIS telah menjadi pengerusi yg penuh cabaran...perlu mengubah pandangan rakyat kpd UMNO,meyakinkan mereka..

tapi selepas beliau mentadbir,dan masih berjaya kekalkan 2 per 3 kerusi ADUN pada PR13,senang2 sahaja kerusi MB ditukar pemimpinnya yang datangnya dari golongan yang x professional ketika di sidang DUN.boleh lihat sendiri di laman web YOUtube...MB gedebe...Ahmad SAid...

hahahaha...ketawa saya membaca,apabila penulis menyatakan AHMAD SAID menarik diri bertanding MT UMNO....kenapa perlu die menyertai dahulu?kenapa perlu die menyertai..

SEBENarnya,Ahmad Said takut kepada kekalahan yang akan lebih memalukan die..ambil pengalaman bila parlimen terengganu dirampas PAS..memang org tolak bulat2...kalah dgn majoriti yang agak byk..lagi 1,selamat ahmad x bertanding,takut jadi macam nasib 5 MB yang kalah jawatan MT...kalau x,jadi 6 MB...

last sekali-BESUT BUMI ULUL ALBAB...center of knowledge..

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP