SMS Ugut ADUN : Kerani swasta sudah dibebaskan, 10 ADUN macam mana sekarang?
Tuesday, April 28, 2009
Oleh Mohd Ali Mohd Hamdan
KERANI swasta yang ditahan polis kerena kes SMS ugutan sudah dibebaskan kerana siasatan sudah selesai, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri.
Apa yang menariknya kisah krisis politik di Terengganu ini ialah seperti ada satu usaha untuk merosakkan Umno dan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bukan seperti yang digembar-gemburkan oleh salah seorang ADUN, Datuk Rosol Wahid (Ajil) mengenai kelemahan Menteri Besar.
Satu perkara yang orang ramai khususnya rakyat Terengganu kena fikir habis-habis ialah, kalau mahu dilihat situasi politik ini secara mendalam, jika ada pun kelemahan Datuk Ahmad Said ialah beliau tidak mempunyai masa ‘untuk mencipta sms dan menghantarnya kepada tiga ADUN ini’ hingga menyebabkan lahirnya Geng 10, di Terengganu.
Tiga ADUN BN itu ialah Rosol sendiri, Zakaria Abdullah (Paka) dan Halim Jusoh (Permaisuri) bertindak melaporkan kepada polis SMS ugutan yang diterimannya, kononnya dihantar oleh seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar.
Sepatutnya kalau ketiga-tiga ADUN ini, Rosol, Zakaria dan Halim jenis ADUN yang cerdik, berfikir rasional dan tahu kesan-kesan yang akan timbul, mereka sepatutnya merujuk perkara SMS ini kepada Pejabat Menteri Besar semula, di mana SMS ini didakwa didatangkan.
Jika mereka tidak cukup keberanian untuk berhubung dengan Pejabat Menteri Besar untuk tujuan membuat rujukan, boss mereka selepas Menteri Besar ialah Speaker DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
Jika mereka merasakan Tengku Putera pun mereka tidak ‘boleh berurusan dan merujuk’ mereka bolehlah merujuk Ketua Whip DUN yang merupakan salah seorang Exco Kanan.
Kalau mereka bertiga (mungkin mudah mereka dikenali dengan nama Tiga Abdul) pun masih boleh merujuk perkara ini dengan Pejabat Timbalan Perdana Menteri atau Pejabat Perdana Menteri, jika mereka bertiga merasakan tiada siapa lagi orang di Terengganu yang boleh mereka jadikan tempat merujuk.
Malangnya, Tiga Abdul ini mungkin merujuk dengan bekas Menteri Besar yang sedang menghafal pantun Melayu yang berbunyi ; asal kapas menjadi benang, dari benang menjadi kain, barang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain.
Bekas Menteri Besar yang sedang giat mengumpul puing-puing dan bara-bara yang masih ada, untuk dihembus dan ditiup bagi menyalakan api, barangkali menasihatkan Tiga Abdul (dan ditambah yang bertindak secara sukarela), tujuh ADUN lagi, enggan hadir ke persidangan DUN, minggu lalu.
Bagaimana pun mereka (Geng 10) ini hadir juga di hari akhir persidangan, setelah diarahkan oleh Perdana Menteri. Geng 10 ini tidak tahu tugas dan tanggungjawab mereka. Persidangan DUN dalam setahun hanya 10 hari sahaja. Itupun, setiap empat bulan sekali. Mereka menghadiri persidangan bukan kerana tugas dan tanggungjawab tetapi kerana diarahkan Perdana Menteri.
Dewan Undangan Negeri sebenarnya bukan kepunyaan Perdana Menteri. Perdana Menteri adalah pemimpin semua rakyat. Di Terengganu, pemimpin kepada semua ialah Menteri Besar. Di bahagian masing-masing, pemimpin mereka ialah Ketua Bahagian.
Kalau dengan Ketua Bahagian mereka bermasalah, dengan Menteri Besar mereka bermasalah, dengan kawan-kawan mereka bermasalah, dengan isteri orang salah seorang ADUN ini bermasalah… mungkin mereka ini memang bermasalah.
Apa yang ebih menyedihkan, ada salah seorang ADUN tu, dengan pihak istana pun dia bermasalah. Malangnya, masalah yang dia mereka buat, dengan Ketua Bahagian, dengan Menteri Besar dengan Speaker DUN, dengan kawan-kawan dan dengan pihak istana, mereka mahu tutup dengan ‘tudung saji’ sedangkan orang-orang tua sudah berpesan ‘bangkai gajah jangan ditutup dengan tudung saji’.
Rakyat Terengganu sedih dan malu dengan sikap orang-orang yang bermasalah ini. Mereka mahu Terengganu terus membangun dan inisiatif Menteri Besar untuk merakyatkan pembangunan cukup dibanggakan. Malangnya ada puak bermasalah dalam Umno Terengganu yang sering menjadikan ia masalah dan halangan.
Kalau Geng 10, termasuk Tiga Abdul ini tidak buat banyak masalah, banyak lagi program Kerajaan Negeri dapat diteruskan dengan tidak banyak masa terpaksa dibuang bagi menepis serangan dan menjawab pertanyaan-pertanyaan dari wartawan yang sudah mula menganggap memang BN Terengganu sedang dilanda masalah.
Sebenarnya, masalah hanya melanda Geng 10 kerana mereka sedang berusaha ‘mengumpul saki baki bara dan puing untuk dihembus dan dihidupkan semula api’ bagi menjadikan BN dan Umno Terengganu terus dilihat bermasalah dan berkrisis.
Bagi mereka jika orang ramai melihat Umno Terengganu sedang dilanda masalah, maka orang ramai akan melupakan masalah Geng 10 dan Tiga Abdul. Maka, salah satu cara mereka mengalihkan perhatian orang ramai ialah dengan terus mengujudkan ‘asap yang terus ada bagi mengambarkan’ masih ada bara dan mereka masih hidup.
Kesannya, mereka tidak sedar bahawa mereka adalah pengkhianat kepada Umno yang meletakkan mereka pada satu kedudukan yang cukup tinggi di mata masyarakat. Umno tidak pernah membuat masalah kepada ahli-ahlinya tetapi ahli-ahlinya yang membuat masalah kepada Umno.
Jom! Kita tengok apa kesudahan dengan nasib Geng 10 ini yang diketuai oleh seseorang yang merasakan dia mempunyai ramai pakar strategi di kelilingnya tetapi pakar strategi itu lupa ini bukan lagi zaman main bola pakai kain sarung.
Ini bukan lagi zaman main guli masuk lubang. Ini adalah zaman eletronik yang budak-budak suka dan mereka tidak makan lagi ubi rebus tetapi sarapan mereka ialah cornflakes dan cocoacrunch.
0 comments:
Post a Comment