Usul pecat Speaker : Apa yang pelik?
Thursday, April 30, 2009
Oleh Zainal Yusof
ORANG Perak sedang melihat. Pengerusi DAP Perak sedang berang. Speaker DUN Perak menunggu masa untuk menamatkan tugasnya. Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar sibuk dengan kes di mahkamah.
Kata Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, usul yang dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tidak sah. Ini kerana Speaker tidak diberitahu yang ada undi tidak percaya terhadapnya dan satu borang sudah diedarkan kepada semua ADUN supaya menamakan calon Speaker baru.
Dari segi ‘gentleman’, V. Sivakumar yang selama ini sibuk mengantung ADUN BN termasuk Menteri Besar mahu keputusannya diakui tetapi dia terlupa, ketika dia sibuk membicarakan ADUN-ADUN, dia tidak sedar, ADUN-ADUN BN juga sedang ‘membicarakannya’.
Tunggulah waktu dan tarikhnya, habislah kisah Speaker yang menganjurkan persidangan DUN di bawah pokok. Kalau dia panggil mesyuarat, dianggap sah oleh pihaknya tetapi kalau Paduka Seri Sultan memanggil persidangan DUN, dia kata tidak menghormati undang-undang.
Ngeh dan Sivakumar mahu membuktikan dia berkuasa mutlak di Perak. Nga Kor Ming mahu membuktikan, dia boleh mengajar orang Islam ayat-ayat al-Quran kerana ia belajar di Universiti Islam Antarabangsa – dan Menteri Besar Kelantan yang sudah didedahkan anaknya, sering menerima nasihat yang salah, membenarkan Nga menyebut ayat-ayat al-Quran walaupun sebutannya pelat dan tidak betul.
Dalam dunia ini, ada orang nak memecat Perdana Menteri. Ada juga Perdana Menteri memecat timbalannya. Ada Yang DiPertuan Agung memecat Ketua Hakim Negara. Ada Menteri Besar memecat Setiausaha Kerajaan Negeri. Ada Ketua Polis memecat anggotanya dan banyak lagi cerita pecat-memecat ini, termasuklah Umno memecat ahli-ahlinya yang melanggar perlembagaan parti. Pas, DAP dan PKR pun sibuk memecat ahli-ahlinya kerana bertanding menentang calon parti masing-masing dalam pilihan raya.
Maknanya, semua orang yang berjawatan atau menjadi ahli di mana-mana pertubuhan atau persatuan, memang boleh dipecat. Jadi, kenapa pelik dan terkejut dengan usul memecat Speaker DUN Perak? Speaker yang tidak ‘berkuasa’ pun boleh menggantung tugas Setiausaha Dewan – Abdullah Antong Sabri, jadi kenapa pula Speaker tidak boleh dikenakan tindakan dipecat?
Dari segi prinsipnya, kalau V. Sivakumar datangnya dari DAP, apabila dia tahu sekarang DAP sudah tidak memerintah Perak lagi, kerana hilang suara majoriti di DUN Perak, dia tidak perlu menunggu usul untuk memecatnya seperti kata penulis di blog ‘jaranganakmelayu.blogspot.com’ – apabila berlaku perubahan kepimpinan, pandai-pandailah penyandang jawatan ‘memecat diri masing-masing’.
Hai…tak kan tak faham lagi. Mohamad Nizar sendiri sudah mengesahkan dia bukan lagi Menteri Besar apabila mengisi borang hendak bertanding di dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, akhir Mac lalu menyebut pekerjaannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang dan bukan sebagai Menteri Besar Perak.
Jadi, kalau Menteri Besar Perak sudah bukan Mohamad Nizar, mustahillah V. Sivakumar boleh kekal menjadi Speaker. Tak malu ke? Apa undang-undang pun mereka bersandar, mereka tentulah mempunyai kesedaran, jika Menteri Besar bukan lagi dari kalangan pemimpin Pas, Exco-Exco bukan lagi di kalangan ADUN-ADUN DAP dan PKR, bererti, Speaker sudah tentulah bukan V. Sivakumar.
Kalau mereka masih mahu mempertahankan juga ‘ego’ dengan alasan ini adalah undang-undang, itu hanya mahu menarik masa dengan tujuan rakyat dapat dikelirukan dan minda orang ramai boleh terus di asak dengan dakwaan-dakwaan palsu bertujuan menarik simpati.
Seorang Speaker kena pecat, bukan bererti seluruh bintang di langit gugur bertaburan di muka bumi dan seorang Speaker ditukarkan bukanlah bermakna matahari tidak akan terbit keesokkan paginya. Mudah-mudahan rakyat Negeri Perak tidak termakan cerita palsu dari mereka ini seolah-olah kebal dan mempunyai imuniti.
Jika Speaker kena pecat, ia bukan sesuatu yang pelik yop!
1 comments:
orang maksum ni memang tak boleh ditegur..dia jek yang betul..
Post a Comment