Pakatan Pembangkang hadir sebagai tanda bantahan

Friday, May 1, 2009


Oleh Ahmad Hj Ishak

KATA bijak pandai, ‘orang pandai hanya tahu apa yang dia belajar, tetapi orang bodoh dia tahu semuanya’. Dalam kes di Perak, apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar mengadakan sidang akhbar mengumumkan hasrat semua ADUN Perak akan menghadiri persidangan DUN Perak, 7 Mei depan, sebagai tanda bantahan, membuktikan tepatlah kata bijak pandai itu.

Hidup di dunia ini, kita bukan hanya memakai hukum akal sahaja. Kita ada hukum adat dan hukum agama. Peribahasa Melayu berbunyi ‘ bagaimana kata dukun asal urat jangan terkilir’ bermaksud, apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu pekerjaan hendaklah menurut segala arahan orang yang bijak agar ia akan sempurna dan selesai dengan baiknya.

Apa yang Nizar nak bantah lagi. Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir bukan suka-suka meletakkan dirinya sebagai Menteri Besar. Kalau pun beliau bercita-cita mahu menjadi Menteri Besar, tanpa keizinan Allah, mustahil ia akan terjadi.

Paduka Seri Sultan Perak bersetuju. Datuk SS Mufti sudah menasihatkan. Perdana Menteri sendiri mengadap Paduka Seri Sultan. Paduka Seri Sultan pula adalah bekas Ketua Hakim Negara. Semua saluran sudah digunakan. Apa lagi yang Nizar mahu bantah?

Kalau bantahan Nizar ini berjaya, jika ditakdirkan Nizar mahu dilantik semula menjadi Menteri Besar, di hadapan siapakah nanti dia mahu mengangkat sumpah? Tentulah di hadapan Paduka Seri Sultan . Kalau dengan Paduka Seri Sultan Nizar ‘sanggup sembah derhaka’ apakah Nizar mahu mengangkat sumpah di depan Karpal Singh? Tentulah tidak. Di depan Lim Kit Siang, tentulah tidak. Di depan V. Sivakumar, tentulah jawapannya tidak.

Kenapa ketika dia dipilih menjadi Menteri Besar, bukan kerana Pas menguasai DUN Perak, tiada sesiapa dari BN, Umno atau MCA membantah? Apakah BN dan Umno tidak boleh membantah, kalau mereka mahu? Tentulah boleh. Tetapi kebijaksanaan ada dalam diri setiap pemimpin BN dan Umno. Tentulah, pemimpin-pemimpin Umno (BN) tahu, walaupun mereka menguasai 27 kerusi DUN dan 1 MCA, ketika itu, dari segi adatnya, mereka bukan mendapat sokongan majoriti.

Apakah tidak ada bijak pandai dalam BN untuk menasihatkan BN dan Umno ketika itu, boleh untuk mencari jalan supaya mereka berjaya menubuhkan kerajaan? Tentulah jawapannya ada. Begitu juga, tanpa kebijaksanaan Paduka Seri Sultan Perak, mustahil Nizar boleh menjadi Menteri Besar Perak kerana PKR lebih kerusi dari Pas.

Kenapa tiada sesiapa yang membantah? Kerana dari segi hukum akalnya, mana mungkin parti yang paling kecil bilangan kerusinya boleh menjadi Menteri Besar tetapi dari segi adatnya, apabila BN dan Umno hilang majoriti, mereka akur dengan kebijaksanaan Paduka Seri SultanPerak. Bolehkah Paduka Seri Sultan tidak memperkenankan perlantikan Nizar? Jawapannya tentulah boleh kerana Paduka Seri Sultan boleh melantik sersiapa sahaja yang beragama Islam dan tentunya Melayu menjadi Menteri Besar khususnya dari PKR.

Sudahlah Nizar. Umno sudah mempelawa Nizar dan lain-lain ADUN Pas supaya bekerjasama dengan BN untuk menjamin kepentingan politik Melayu dan Islam tetapi Nizar merelakan dirinya menjadi alat dan perkakas DAP.

Kalau Nizar tidak sombong dan tidak angkuh dulu, sehingga hari ini dia masih Menteri Besar Perak. Namun keangkuhan ‘membunuh dirinya sendiri’.

Bayangkan, ketika menjadi MB Perak dia nak menjawab dan menggulung di Dewan Undangan Negeri pun atas ‘kawalan’ pemimpin DAP sama ada Datuk Ngeh Koo Ham atau Nga Kor Ming. Kalau Nga dan Ngeh kata, bercakap, barulah dia bercakap dan kalau Nga dan Ngeh kata, diam, dia akan diam. Ini cerita di Perak.

Sejauh mana kebenaran cerita ini, orang Pas tidak akan mahu percaya. Tetapi kalau benar pun cerita ini, orang Pas kata boleh kerana Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dianggap ulama tersohor oleh orang-orang Pas sendiri menjadi ulama boleh, macam Malaysia boleh juga.

Berbogel di rumah boleh. Tuhan mencarut, dia kata boleh. Bersekedudukan sebelum berkahwin pun dia tidak bantah walaupun dia tidak kata boleh. Kalau ada orang yang mahu bersumpah dengan menjunjung al-Quran, dia kata tak betul sebaliknya orang yang dikaitkan dengan kes liwat dipertahankannya dengan alasan ‘ulama boleh’.

Nizar tidak memikirkan politik jangka panjang. Dia hanya terikut-ikut dengan emosinya sahaja. Dia ingat dia boleh jadi Menteri Besar selama-lamanya. Dia tidak mahu serahkan kereta rasmi Menteri Besar kerana dia masih mengaku dia Menteri Besar. Orang-orang Pas pun berceramah dan menyebut Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Sedangkan, hakikatnya Nizar tentunya tahu dia bukan Menteri Besar lagi. Ketika dia mengisi borang untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, jawatannya diisi sebagai ADUN Pasir Panjang dan bukan Menteri Besar Perak.

Maknanya, Nizar dengan penuh kesedaran dan waras, tahu dia bukan lagi Menteri Besar Perak. Tetapi bila ada dungu-dungu dalam Pas menyebut dia adalah Menteri Besar Perak, dia diamkan sahaja tanpa menegurnya. Sebab apa? Sebab dia tidak menggunakan hukum akal, hukum adat dan hukum agama serentak.

Yang dia gunakan, hukum emosi sebab emosinya sentiasa dimain-mainkan oleh Pas, DAP dan PKR. Kesihan dia, kesihan dia, kesihan dia, kesihan dia…. Petikan lirik lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP