PERPECAHAN POLITIK MELAYU (SIRI 1)

Saturday, June 6, 2009


Saya memulakan siri pertama ini dengan melihat sejarah pertelingkahan antara sultan-sultan dan rakyat biasa berhubung dengan kepentingan politik masing-masing.
Foto: Tunku Abdul Rahman, meneruskan perjuangan UMNO tetapi tidak meneruskan semangat perjuangan Dato Onn Jaafar.

Perpecahan politik Melayu bermula seawal 1945. Persengkitaan bermula antara sultan-sultan dan rakyat biasa berhubung dengan kedudukan orang Melayu. Pada awalnya, semua Sultan dari sembilan negeri berdaulat menerima cadangan Malayan Union. Wakil kerajaan British, Sir Harold Mac Micheal hanya mengambil masa 2 bulan antara Oktober 20 hingga Disember 21 1945,untuk mendapatkan tandatangan persetujuan daripada sultan-sultan.

Sungguhpun ada dakwaan mengatakan sultan-sultan tidak diberi peluang untuk membincang cadangan itu dan ada sultan yang diugut kerana membantu Jepun dan sebagainya namun fakta sejarah mengatakan sultan-sultan telah menerima dan menandatangani Malayan Union. Tidak ada seorang sultan pun yang mengatakan TIDAK terhadap cadangan itu.

Hanya setelah cadangan Malayan Union itu diumumkan secara rasmi pada 22 Januari 1946, maka berlakunya tentangan daripada orang Melayu yang diketuai Dato Onn Jaafar. Onn pernah diambil sebagai anak angkat oleh Sultan Johor sewaktu ayahnya menjadi Menteri Besar Johor dan kakaknya, Dara adalah isteri ketiga Sultan Ibrahim.

Onn pernah mendapat pendidikan di England ketika mengiringi putera-putera Sultan. Pada tahun 1911, Onn kembali ke Johor dan bertugas dalam Johor Civil Service. Namun sebagai seorang yang mempunyai karakter yang tegas dan berani, Onn kerap mengkritik dasar British. Beliau juga kritikal terhadap Sultan sehingga dipecat daripada kerajaan pada 1920.

Sungguhpun telah dipecat dari Johor Civil Service, Onn tetap berdegil dan mengkritik tindakan sultan yang tidak dipersetujuinya. Akhirnya pada 1927, ketika berusia 32 tahun, Onn diarah buang negeri dan menetap di Singapura. Abangnya, Abdullah Jaafar, Menteri Besar Johor yang ketiga juga dipecat dan semua pangkat dilucutkan atas tuduhan menghina Sultan. Bukan itu sahaja malah kakaknya, Dara dicerai Sultan Ibrahim dan turut dibuang negeri.

Sejak awal Dato Onn melihat sultan-sultan Melayu terlalu lemah dan mengikut telunjuk British. Jika ini dibiarkan orang Melayu akan kehilangan hak ditanah milik bangsa mereka. Melalui Warta Malaya, tabloid mingguan berbahasa Jawi, Onn merayu bangsa Melayu bersatu. Tulisannya mengkritik kerjaan British yang menafikan hak orang Melayu untuk mendapat pendidikan, mengabaikan nasib rakyat luar bandar dan membiarkan kemasukan kaum Cina dan India secara bebas.

Onn Jaafar hanya diberi pengampunan pada 1935 dan kembali aktif dalam urusan dalam negeri Johor. Pada ketika Jepun menyerah kalah, Onn adalah Pegawai Daerah Batu Pahat.

British telah menjangkakan kekalahan Jepun di Asia. British telah merangkakan 9 negeri yang bersultan termasuk Melaka dan Pulau Pinang menjadi sebuah unitary state dibawah pemerintahan Governer British. Singapura akan dijadikan sebuah entity yang berasingan.

Oleh itu kejayaan Sir Harold Mac Micheal mendapat persetujuan sultan-sultan Melayu berhubung cadangan Malayan Union amat menggembirakan kerajaan penjajah British. Namun mereka tidak pernah menjangkakan bantahan dan tentangan orang-orang Melayu yang diketuai Dato Onn Jaafar.
(sambung esok)

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP