TIMBALAN PRESIDEN PAS. HADI VS TOK GURU?

Friday, June 5, 2009

Siapa perlu siapa? PAS perlu Anwar atau Anwar perlu PAS untuk ke Putrajaya?
Oleh: Musli Oli

Pertandingan jawatan timbalan presiden parti PAS menjadi fokus utama dalam Muktamar parti itu di Shah Alam yang bermula semalam. PAS, yang merupakan musuh tradisi politik UMNO, berusaha menonjolkan imej parti itu tidak menghadapi sebarang pergeseran dalaman berikutan pertandingan memilih jawatan tertinggi parti dan jauh sekali terlibat dengan politik wang.

Namun sebijak mana pemimpin PAS cuba menyembunyikannya, rakyat umum telah dapat menghidu bahawa PAS sedang dilanda krisis hebat yang bukan sahaja melibatkan calon timbalan dan naib presiden tetapi juga ke peringkat kepimpinan tertinggi parti itu.Pergeseran bukan sahaja antara puak ulamak dan puak Erdogan, antara PAS lama dan PAS baru tetapi membawa kepada antara presiden PAS, Haji Hadi Awang dan mursyidul amnya, TG Nik Aziz.

Sungguhpun pertandingan timbalan presiden PAS adalah pertandingan tiga penjuru antara Nasharudin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu tetapi umum tahu bahawa kehadiran Mat Sabu sekadar memeriahkan demokrasi dan sekadar menunjukkan yang PAS tidak terbelah kepada dua kumpulan. Puak Haji Hadi dan puak Nik Aziz.

Nasharudin Mat Isa mewakili golongan ulamak kerana latar belakang pendidikannya. Mendapat kelulusan dalam bidang pengajian Islam di Jordan, sarjana dari Britian dan pernah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, sebuah menara gading sejak awal 8oan, melahirkan ramai cendekiawan Melayu yang bersimpati dengan perjuangan PAS.

Manakala Husam memperolehi kelulusan B. Economics dari Universiti Malaya, mendapat didikan agama di Rusila dibawah Haji Hadi Awang sebelum berkhidmat dengan Tok Guru Nik Aziz setelah Kelantan di tawan PAS. Berlatar belakang pendidikan sekular, Husam dilihat seorang tokoh yang lebih bersimpati dengan perjuangan Anwar Ibrahim. Dalam PAS Husam, termasuk Setiausaha Agung PAS Dato Kamarudin Jaafar dianggap puak Erdogan.

Pada tahun 1974, parti PAS pernah berkerjasama dengan UMNO dengan menyertai BN. Kumpulan yang dikatakan lebih bersedia membuka ruang berkerjasama dan bermuzakarah dengan UMNO ialah kumpulan Hadi Awang yang diwakili Nasharudin Mat Isa. Disamping Nasharudin, Salahudin Ayub, calon naib presiden, juga pernah menghantar empat pucuk surat kepada Dato Hishamuddin Tun Hussien bagi mengadakan muzakarah melibatkan kepentingan negara, umat Islam dan orang Melayu.

Apa yang berlaku di Perak, dimana DAP memain peranan mengolah pemimpin PAS, Dato Seri Nizar Jamaluddin barangkali memberi kesan mendalam kepada sesetengah kepemimpinan tertinggi PAS yang melihat politik Machiavelli dibawa DAP dan Anwar Ibrahim akan menyimpang falsafah asal perjuangan parti itu.

Nasharudin dikatakan oleh kumpulan yang menyokong Husam sebagai terlalu lemah dan tidak sesuai memimpin PAS dalam keadaan politik sekarang. Beliau dilihat terlalu berlembut dengan UMNO dan tidak pernah menyerang dan mengkritik UMNO. Husam lebih dilihat sebagai seorang strategis politik yang penting kepada masa depan PAS dalam usahanya menuju ke Putrajaya.

Husam mendapat sokongan daripada Nik Aziz dan diprojekkan sebagai bakal pengganti Tok Guru mengambil alih jawatan MB Kelantan bila tiba masanya. Namun sungguhpun Husam mendapat sokongan Nik Aziz, jelas bahawa golongan ulamak dalam parti itu terutama seperti Dato Haron Din tetap bertegas bahawa PAS seharusnya dipimpin golongan ulamak. Kenyataan ini secara langsung memberi sokongan terbuka kepada Nasharudin Mat Isa.
Apakah aliran pemikiran perwakilan PAS? Sama-samalah tunggu keputusannya esok.

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP