PERPECAHAN POLITIK MELAYU (SIRI 2)

Monday, June 8, 2009

Daripada perjuangan bangsa Melayu kepada "Malayan Nation" punca perpecahan


Penubuhan UMNO yang asal namanya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) adalah bermula dengan gabungan 41 pertubuhan Melayu dalam satu Kongress di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 3 March 1946. Kongress sebulat suara memilih Dato Onn Jaafar sebagai pengerusi.

Atas usaha kongres yang diketuai Dato Onn telah berjaya memujuk semua sultan untuk tidak hadir pada pelancaran Malayan Union oleh Governer Edward Gent pada 1 April 1946. Sungguhpun raja-raja Melayu boikot pengistiharan Malayan Union, namun British berdegil juga untuk teruskan dengan memansuhkan kerajaan negeri dan mengujudkan Malayan Union Government.

Pada 11 May secara rasmi UMNO ditubuhkan di Johor dan dato Onn Jaafar menjadi presidennya yang pertama. UMNO telah menjadi suara seluruh umat Melayu. Akhirnya pada akhir bulan Jun, British terpaksa mengalah kepada tentangan hebat UMNO dan memansuhkan Malayan Union.

Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 21 Januari 1948. Perjanjian itu memberi peruntukan tentang hak-hak istimewa bangsa Melayu dalam masa yang sama menghormati kepentingan kaum-kaum lain.

Akan tetapi pada ketika itu pemimpin Melayu terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama kumpulan ekstrimis yang menganggap Tanah Melayu adalah hak bangsa Melayu sahaja dan kaum-kaum lain hanya tetamu dan seharusnya berterima kasih terhadap peluang yang mereka terima dan tidak mencemburui hak-hak istimewa orang Melayu.

Kumpulan kedua ialah pemimpin moderate yang percaya bahawa hak-hak istimewa ini hanya bersifat sementara bukannya kekal dan Melayu harus bersedia bersaing dengan kaum-kaum lain. Dato Onn Jaafar tergolong dalam kumpulan kedua ini yang yakin kepada perjuangan membina sebuah bangsa Malaya dengan kerjasama dengan kaum-kaum bukan Melayu.

Onn melihat pentingnya sumbangan kaum Cina dalam ekonomi untuk mempastikan kestabilan politik. Walaupun kaum Cina melalui MCA menyokong Malayan Union dan menentang perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, namun Onn merasakan Cina mesti dibawa berkerjasama. Lagipun dengan kerjasama dengan kaum Cina, akan dapat mengurangkan simpati dan sokongan kaum Cina terhadap gerakan Parti Kominis Malaya yang melancarkan perang gerila keatas kerajaan.

Dalam masa yang sama Dato Onn merasakan kerajaan British akan memberi kemerdekaan jika semua kaum dapat bersatu dalam satu parti politik yang lebih besar. Maka itu pada persidangan agung UMNO pada May 1949, secara berani Dato Onn membuka cadangan supaya keahlian UMNO dibuka kepada bukan Melayu untuk menjadi ahli bersekutu.

Apakah reaksi ahli-ahli UMNO terhadap cadangan Dato Onn? (bersambung)

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP