BETUL KE SEMUA KETUA PENERANGAN UMNO TAK TAHU BUAT KERJA?

Saturday, May 16, 2009


Oleh ZAKARIA BIDIN
SAMPAI hati Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan kata jentera penerangan UMNO seluruh negara tidak tahu buat kerja dan gagal berfungsi kerana tidak tahu tugas masing-masing. Kenyataannya dalam siri lawatan beliau ke Terengganu baru-baru ini telah menyinggung ramai pihak. Mustahil daripada 60,000 jentera itu yang meliputi semua peringkat tidak tahu buat kerja.

Kalau benar begitu, ketua penerangan di semua peringkat buat apa selama ini? Apakah mereka hanya suka-suka pegang jawatan dan mengangga mulut saja menunggu orang lain beritahu apa perlu buat? Apa yang Ketua Penerangan UMNO sebelum ini, Tan Sri Muhammad Mohd Taib buat? Apakah Muhammad buat kerja seorang diri saja selama dia jadi ketua penerangan?

Sungguhpun kehadiran Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan UMNO baru, mempunyai azam baru dan bertekad mahu bekerja siang dan malam untuk mengembalikan tenaga UMNO di peringkat akar umbi, sepatutnya tidak mengeluarkan perkataan ‘semuanya tidak tahu buat kerja’.

Dengan ayat itu, ramai yang telah mula meragui kredibiliti Ahmad yang baru saja memegang jawatan dan belum lagi terbukti kemampuannya setakat mana. Walaupun beliau mendapat pujian kerana rajin dan sanggup turun ke 191 bahagian di seluruh negara yang baru sampai 5% sahaja setakat ini, tetapi kata-katanya ada yang menganggap sudah terlajak.

Malahan bila beliau menyebut mahu bekerja siang dan malam pun orang sudah mula berkirim-kiriman SMS sesama sendiri menyatakan mereka menyifatkan perkataan itu mengandungi sifat riak.

Ditambah pula beliau mengatakan semua ketua-ketua penerangan di semua peringkat tak tahu buat kerja, telah melebelkan Ahmad Maslan telah awal-awal lagi merendah-rendahkan kebolehan kebanyakan ketua penerangan yang aktif menjalankan peranan mereka.

Untuk Ahmad mengatakan ke paras menuduh ketua penerangan semuanya tak tahu buat kerja, beliau belum pun habis melawat semua bahagian. Sepatutnya, beliau habiskan lawatan dengan secepat mungkin dulu, beri perangsang dan dapatkan cadangan dulu baru buat penilaian.

Penilaian itu pun tidak perlu diumum secara terbuka. Ia hendaklah dibuat secara tertutup. Bila ketuanya sudah mula mendedahkan kelemahan jentera parti kepada umum, maka dikedawakanlah saja oleh parti-parti komponen BN. Lebih-lebih lagi pembangkang yang suka benar dengar Ahmad kata begitu. Memang mereka sokong sebulat suara.

Seperti cita-cita Ahmad mahu melahirkan sekurang-kurangnya 50 orang penceramah berwibawa di setiap negeri itu memang sangat baik. Tidak payah sampai 50 setiap negeri, kalau dapat 20 orang pun sudah cukup baik.

Tetapi siapakah yang akan memberikan latihan itu menjadi tanda soal dan tentunya merupakan satu masalah. Apakah Ahmad sendiri akan menjadi moderatornya? Kalau beliau sendiri, ramai dari kalangan orang UMNO minta Ahmad lupakan saja kerana Ahmad mungkin pandai berucap, tetapi tidak pandai berceramah. Menyampaikan ceramah tidak sama dengan berucap.

Ahmad perlu ada satu module lengkap untuk ketua penerangan mendalami ilmu dan mengasah bakat mereka menyampaikan ucapan, ceramah, taklimat dan berbual yang kesemuanya tidak sama antara satu sama lain. Selalunya perkara ini tidak dapat dibezakan oleh ahli politik yang menjadikan ceramah mereka hambar dan tidak menarik audian.

Pada bila-bila masa jika dibandingkan ceramah orang UMNO dengan ceramah pemidato pembangkang, ketinggalan UMNO amat ketara dari segi teknik dan isi kandungan ceramah mereka. Walaupun penceramah pembangkang kurang isi, tetapi menarik. Sering saja mendapat tepukan gemuruh dan diakui benar walaupun apa yang disampaikan berbentuk bidaah atau cerita kosong semata-mata.

Dalam hal ini, Ahmad kena benar-benar buat satu study rapi sebelum ia dilaksanakan. Kalau boleh Ahmad kena gunakan pakar-pakar penceramah dari luar kelompok UMNO yang sudah ternama dan berjaya dalam bidang tersebut.

Kalau Ahmad mahu gunakan khidmat dari kalangan UMNO sahaja untuk mendidik orang UMNO menjadi penceramah berkelibar, baik lupakan saja. Lebih baik beri mereka tugas lain seperti membuat risalah penerangan dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan pendek sahaja terhadap sesuatu isu.

Kalau betullah seperti dakwa Ahmad Maslan semua ketua penerangan di seluruh negara tidak tahu buat kerja, tidak nampaklah beliau mempunyai cukup masa untuk mereka memainkan peranan besar dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang nanti.

Untuk makluman Ahmad, waktu sedang mengejar kita. Fikirkan jalan pintas terpantas untuk mengatasinya segera. Adakan audition dulu kerana dalam 60,000 orang itu tentu ramai yang mempunyai gaya, suara, cara yang sudah tersedia hebatnya.

Nota: RENCANA INI DIPETIK DARI LAMAN WEB www.lesungbatu.webs.com

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP