DEMOKRASI BUKAN BERERTI ENGGAN TINGGALKAN KERUSI

Thursday, May 7, 2009



Oleh Zabidi Noor

SEMALAM, 7 Mei 2009 adalah satu hari yang boleh dikatakan seluruh rakyat Malaysia menunggu apa akan terjadi dengan Sidang DUN Perak. Tidak salah kalau ramai yang menjangkanya akan berlaku kekecohan di luar dan di dalam. Ia sudahpun berlaku.

Sebelum itu, bekas Speaker, V. Sivakumar sudah cukup sedar bahawa Barisan Nasional sudah mempunyai suara majoriti dan Sultan Perak telah pun meneliti pendirian menyokong BN yang barulah baginda bertindak menyerahkan kepada BN untuk mentadbir negeri lantas melantik menteri besar baru, Datuk Dr Zamry Abdul Kadir.

Masalah berikut yang timbul ialah Sivakumar telah dengan sengaja menggunakan kedudukannya sebagai speaker untuk menggantung DUN BN yang kononnya akan memberi kelebihan kepada Pakatan Pembangkang yang sudah hilang suara majoriti dalam apa jua usul yang dibangkitkan.

Tetapi hakikatnya, ADUN yang digantung bukanlah dipecat dari jawatannya yang bertanggungjawab terus kepada rakyat. Mereka adalah kepunyaan rakyat lagi yang kalau difikir secara rasional, mereka masih kekal mewakili rakyat kawasannya. Tetapi, dengan penggantungan itu beranggapan mereka masih lagi berkuasa.

Bagaimanapun oleh kerana Sidang DUN semalam, semua ADUN hadir tetapi sebaik sahaja sidang bermula, Sivakumar telah mengarahkan 10 ADUN BN keluar Dewan. Dan keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati ADUN terlibat lantas pertikaman lidah berlangsung yang mencetuskan kekecohan.

Perkara yang sudah jelas ialah demokrasi membawa erti pihak majoriti akan memerintah di mana BN mempunyai 31 kerusi, Pakatan mempunyai 28 kerusi. Dengan kelebihan 3 kerusi itu bererti wajarlah BN lebih berkuasa memerintah dan membuat perubahan sepertimana dikehendaki majoriti anggotanya.

Maka lojiknya, Sivakumar yang memperlihatkan keangkuhannya sebelum ini dilihat tidak wajar lagi duduk di kerusi speaker DUN dan tempat beliau hendaklah digantikan dengan suara majoriti baru. Suara majoriti itu sudah mempunyai calon yang telah ditimbangkan sehalus-halusnya untuk menggantikan tempat Sivakumar yang telah menunjukkan sikap semakin lama semakin tidak adil semata-mata kerana beliau adalah dari suara Pakatan.

Tindak tanduknya sebelum ini telah menimbulkan pelbagai bentuk kesangsian bukan sahaja di kalangan ADUN, malah rakyat di bawah juga melihat keadaan sudah menjadi sumbang. Apatah lagi menteri besar yang dilantik Sultan Perak, Datuk Dr. Zamry juga tentunya merasakan canggung apabila Sivakumar sudah semakin tidak adil dan kian mencemarkan politik Negeri Perak.

Apabila suara majoriti yang sekarang ini di tangan BN, maka tidak syaklah lagi apa pun kemungkinan, mereka akan memecat Sivakumar dan menggantikan tempatnya dengan R.Ganesan. Bagaimana Ganesan mahu menjalankan tugasnya kalau Sivakumar memakukan dirinya di kerusi Speaker?

Dengan mandat yang baru diterima, tentunya Ganesan meminta pihak berkuasa polis menarik keluar Sivakumar walaupun beliau begitu enggan hingga meronta-ronta tidak mahu meninggalkan kerusi itu. Kalau boleh ketika diheret keluar dari Dewan itu, Sivakumar mahu membawa kerusi itu keluar bersamanya.

Tentunya Sivakumar telah dipesan oleh rakan-rakan Pakatan lain supaya jangan berganjak dari kerusi keramat dan berkuasa itu dengan apa cara sekalipun. Biar apa pun terjadi, Sivakumar mesti tetap duduk dikerusi itu dan meneruskan tugasnya sebagai Speaker.

Apa yang Pakatan mahu hari ini, pihak berkuasa berkasar dan rakaman titik tolak di sinilah yang akan menjadi produk modal mereka mengecam kerajaan BN. Inilah gambaran yang mahu ditunjukkan kepada rakyat Negeri Perak betapa kejamnya cara BN apabila berkuasa.

Malahan mereka mahu tunjukkan kepada seluruh dunia dengan kehadiran wartawan asing sama di persidangan itu bahawa BN adalah kejam hingga memaksa Speaker pujaan mereka meninggalkan Dewan secara kasar. Apa juga teriakan, ungkapan atau jeritan Sivakumar semasa keluar dari Dewan itu telah dirancang supaya suara rintihannya didengari seluruh dunia.

Apa yang berlaku di luar negara seperti bertumbuk, baling kerusi dan bertindak liar sudah secara jelas menular ke negara kita. Semua ini telah dapat dirasakan apabila sidang parlimen kita pun sudah beberapa kali kecoh angkara dari pihak pembangkang yang bertindak di luar adat mencemar kemuliaan parlimen.

Untuk mengukur betapa buruknya lagi keadaan yang dirancang ialah Pakatan telah menganjurkan perhimpunan haram di luar dewan. Sebelum itu mereka menghasut penyokong mereka supaya berpakaian hitam kononnya berkabung. Maka berduyun-duyunlah penyokong Pakatan dari seluruh negara ke Ipoh memberi sokongan yang tidak membawa faedah atau apa-apa keuntungan pada diri mereka.

Gambaran yang dilihat ramai berhimpun di sana sini ialah kononnya bagaikan majoriti rakyat Negeri Perak menyokong tindakan Pakatan. Sebenarnya rakyat Perak yang menyertai perhimpunan haram itu amat kecil jika dibandingkan dengan yang datang dari luar Perak.

Orang Perak sebenarnya amat malu dengan keadaan ini kerana mereka sayang pada negeri mereka. Mereka mencintai keamanan dan kesejahteraan dan mungkin majoriti merasakan mereka terhina dicemar dengan demikian rupa.

Sekiranya kerajaan memerintah tidak serius membendung perkara yang mencemarkan pekerti dalam kandungan demokrasi hari ini, maka tidak hairanlah ia akan merebak ke negeri-negeri lain sama di mana para pemimpin yang paling dekat dengan rakyat tidak menghormati demokrasi sekaligus mengheret rakyat turut sama tidak menghiraukan lagi tata susila demokrasi yang kita semua patut akur.

Demokrasi kita bukan sahaja hanya pada satu aspek suara majoriti dihormati, tetapi juga berlansaskan undang-undang. Kerana itu apabila bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar menyaman Datuk Dr. Zambry, mahkamah menerima kes tersebut dan mereka dibicarakan mengikut lunas-lunas undang-undang untuk mencari penyelesaian terhadap kesasihan tuntutan.

Oleh kerana Isnin depan ini keputusannya siapa sebenarnya menteri besar yang sahih dari segi undang-undang, kita sama-samalah tunggu keputusannya. Tidak perlu kita berhimpun, memberontak, memasang sepanduk, terjerit-jerit atau berkabung untuk menyatakan apa yang dirasa tidak puas hati.

Zambry dalam satu temuramah di akhbar harian aliran perdana Bahasa Inggeris semalam sudah siang-siang akur apa juga keputusan mahkamah nanti dan bersedia untuk kembali menjadi wakil rakyat biasa di Pangkor kalau mahkamah memutuskan beliau bukan menteri besar Perak yang sah. Tetapi apakah Mohammad Nizar boleh menerima dengan hati terbuka kalau Zamry diputuskan sah sebagai menteri besar?

1 comments:

kayumanis May 7, 2009 at 5:08 PM  

PERAK DAH JADI KUPANG TEMBAGA.

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP