PENGKHIANAT TERSALAH ASUHAN ATAU SALAH PILIH MAKANAN?

Tuesday, May 5, 2009



Oleh Zabidi Noor

Nampaknya iklim dua negeri, Terengganu dan Perak masih belum reda lagi. Masih bergolak dalaman dan luaran. Di Terengganu sibuk Geng 10 nak gugat kerusi Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri. Di Perak, ada pula orang membuat tuduhan kononnya kerusi speaker kena mandrem.

Sebenarnya inilah sikap orang Melayu yang tidak habis-habis dengan kerja-kerja hasat dengki. Lebih-lebih lagi bila seteru mereka berada dalam keadaan selesa.
Terbaharu, lihat sajalah Setiausaha Kerja UMNO yang baru dilantik, Datuk Rauf Jusoh dikecam hebat kononnya Datuk Seri Najib melantik salah orang untuk jawatan itu. Apakah orang yang mengecam itu betul sangat?

Orang tu baru duduk di situ. Kerusi yang diduduki itu pun belum lagi suam, dah kena bedal macam-macam. Perkara ini berlaku mungkin kerana sifat cemburu yang meluap-luap tanpa ada pasal. Cuma sakit hati sahaja dan tidak lebih dari itu. Jarang orang kita dapat menerima seseorang itu dalam keadaan bersyukur dan tawaduk.

Semua ini berlaku adalah disebabkan sekarang ini ramai yang fikir mereka pandai dari orang lain. Sikap ini cukup bahaya untuk keluarga, institusi, organisasi, negeri, bangsa, agama dan seterusnya kepada negara. Ada saja helah untuk mereka reka untuk tujuan khianat dan dengki supaya agenda lain menunggu untuk dilaksanakan.

Umpamanya di Terengganu, Geng 10 goncang kerusi Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Rosli Md Hassan supaya menteri besar, Datuk Ahmad Said menjadi lemah tanpa orang harapannya yang menyokong kuat ushanya membangunkan Negeri Terengganu dengan telus dan bersih. Ini kerana kebersihan dan ketelusan Ahamd Said tidak boleh siapa nafikan. Ia boleh dikotorkan hanya dengan fitnah, rekaan dan tohmahan.

Mungkin Pakatan Pembangkang di Perak membuat tuduhan kerusi speaker V.Sivakumar di mandrem supaya membolehkan speaker itu membuat permohonan supaya sidang DUN yang sepatutnya diadakan pada 7 Mei nanti ditangguhkan kerana gentar dengan kemungkinan dia ‘dipecat’.

Justeru, macam-macam tekaan rakyat boleh lemparkan. Ia menjadikan rakyat rasa serba salah. Tidak dapat tidak, rakyat yang tidak terlibat dengan aktiviti parti atau pentadbiran kerajaan akan menjadi semakin keliru yang mana satu benar.

Entah apa yang telah mempengaruhi fikiran dan hati mereka yang tidak habis-habis dengan sikap buruk itu tidak tahulah. Mungkinkah mereka terlebih belajar atau tersalah asuhan? Apakah mereka tersalah makan? Apakah mereka ini mendapat ‘upah’ dari pengkhianat lain yang lebih besar nafsunya untuk sentiasa berada dalam keadaan menentang orang lain walaupun orang itu bagus dan baik?

Apakah kerana sifat tamak haloba sudah menguasai diri mereka hinggakan mereka sanggup menghabiskan masa dan tenaga untuk melakukan kocakan pada sesuatu perkara yang boleh menjejaskan apa juga usaha murni orang lain? Semua ini hanya mereka sendiri sahaja boleh menjawabnya. Najib pun boleh keliru dengan kepura-puraan mana-mana pengkhianat.

Kemungkinan yang saya sebutkan itu pasti ada salah satu daripadanya. Bagaimanalah negara kita harus menghadapi orang-orang yang tidak pernah senang dan sebaliknya membantu mereka yang sudah menduduki sesuatu tempat itu supaya kehidupan kita tidak dilihat begitu berserabut dan bergelumang dengan perkara-perkara karut semata-mata.

Sepatutnya kita semakin maju, bukan mundur seperti apa yang berlaku sekarang ini. Lebih lagi sekarang ini terlalu banyak sumber untuk menabur dakyah tanpa ada sekatan kerana masing-masing pula ada yang mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku ketika ini.

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP