Betul ke Din Adam sibuk melobi nak jadi Setiausaha Perhubungan?
Monday, May 4, 2009
Oleh Saiful Malek Muda
TIMBUL satu lagi cerita mengenai politik Terengganu. Kali ini tidak berkait dengan Menteri Besar tetapi mengenai tindakan beberapa pihak, tentunya dari Geng 10, sibuk melobi nak minta Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang baru sahaja dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, melantik Setiausaha Perhubungan yang baru.
Semua orang-orang kanan Hishammuddin dikejar mereka yang mahu melobi supaya Hishammuddin tidak mengekalkan Datuk Rosli Mat Hassan sebagai Setiausaha Perhubungan, bagi melemahkan jentera Umno negeri yang dilihat cukup kukuh di belakang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Beberapa anggota Geng 10 yang pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda dalam era Hishammuddin didakwa sering berada di Kuala Lumpur menjalankan tugas masing-masing, menyakinkan orang-orang kanan Hishammuddin supaya mempengaruhi Hishammuddin membuat perubahan kepada Badan Perhubungan Umno Negeri.
Mereka (Geng 10) beranggapan, jika Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sudah ‘mengalihkan’ kedudukan Datuk Ahmad Said dari jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri kepada timbalan pengerusi, inilah masa terbaik mereka membuat desakan ‘menurunkan’ Datuk Rosli dari kedudukan tersebut.
Maknanya, Geng 10 masih belum puashati dengan perubahan jawatan Pengerusi dan timbalan pengerusi perhubungan. Kini mereka berusaha, siang dan malam untuk memastikan Datuk Ahmad Said ‘tempang’ jika Datuk Rosli Mat Hassan berjaya dialihkan kedudukannya.
Siapa yang dicadangkan untuk menggantikan Datuk Rosli? Satu sumber yang rapat dengan Pejabat Naib Presiden Umno itu memberitahu, kemungkinan Datuk Din Adam, ADUN Bukit Besi yang tewas di tangan Datuk Rosli Mat Hassan ketika cuba merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Menurut mereka, jika Hishammuddin bersetuju melantik Din Adam, terbuktilah bahawa Hishammuddin memang berjaya dipengaruhi mereka dan selepas kejayaan menggugat kedudukan Datuk Ahmad, kini mereka mahu menggugat kedudukan Datuk Rosli pula.
Khabarnya, Datuk Rosli memang dilihat terlalu patuh kepada Datuk Ahmad hingga banyak pihak mencemburui kerja-kerja yang dibuatnya selama dilantik menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri.
Dalam pendedahan yang dibuat Geng 10, Datuk Rosli dituduh menggunakan sebuah bilik khas di Hotel Primula, Kuala Terengganu, di mana beliau menjadi Pengerusi Hotel tersebut.
Bagaimana pun, Datuk Rosli memilih untuk berdiam diri dari menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya tetapi ada pihak-pihak yang rapat dengannya memberitahu, usaha dibuat oleh Geng 10 untuk menjatuhkan Datuk Rosli bagi memudahkan mereka ‘menguasai Pejabat Umno Negeri’ yang dikatakan banyak menjalankan kerja-kerja politik untuk Datuk Ahmad Said.
Menurut sumber itu, jika Pejabat Umno Negeri dapat dirombak, mereka yakin kedudukan Datuk Ahmad akan mudah digugat. Jika tidak, terlalu sukar untuk memecah belahkan perpaduan Umno Negeri Terengganu, selagi Datuk Rosli kekal di kedudukan sekarang.
Kini, Geng 10 tidak mahu berdiam diri lagi hingga mereka sanggup berkampung di Kuala Lumpur bagi memastikan usaha mereka memecah belahkan Umno Terengganu berjaya. Sasaran mereka, ialah Datuk Seri Hishammuddin dan semua orang-orang kanan Menteri Dalam Negeri itu.
0 comments:
Post a Comment