Ruslan jawab tuduhan Che Ismail
Monday, May 4, 2009
Oleh Ruslan Sulaiman
TULISAN saya bertajuk ‘APAKAH PENGUNDI INDIA TAK SERONOK GANESAN JADI SPEAKER?’ yang tersiar dalam www.konspirasipolitikmelayu.blogspot.com menerima kecaman hebat dari Che Ismail Che Yaacob lewat tulisannya yang disiarkan dalam http://bypass308.blogspot.com, 3 Mei 2009 lalu.
Pada mulanya, saya membaca sekali lalu sahaja tulisan penulis itu, tetapi setelah mengambil sedikit masa memikirkannya, saya ambil keputusan menjawab setakat yang saya mampu bagi memberi penjelasan mengapa saya menulis artikel yang menyebabkan Che Ismail Che Yaacob meradang.
Kata Che Ismail lewat tulisannya, saya mungkin seorang pengikut Umno dan BN yang buta dan tertutup minda. Kalau saya buta, saya bertongkat. Kalau saya buta, saya meraba. Kalau saya buta, saya tidak nampak apa yang Che Ismail nampak.
Begitu juga jika minda saya tertutup, bagaimana saya boleh menulis kerana saya tidak menulis menggunakan kepala lutut tetapi saya menulis menggunakan akal saya. Minda saya sentiasa dibuka dan terbuka, termasuk menerima kritikan tetapi bukanlah bererti, setiap pengkritik itu lebih tahu dari orang yang memulakan idea tersebut.
Tajuk tulisan saya itu ada tanda soalan (?). Saya bertanya apakah pengundi India tak seronok Ganesan jadi Speaker? Saya bukan suruh pengundi India berseronok, bergembira atau merayakan perlantikan Datuk R. Ganesan. Saya hanya bertanya. Apakah salah saya bertanya kepada pengundi India, yang mungkin sebahagiannya tidak menyokong calon BN khususnya calon-calon MC dan PPP dalam pilihan raya umum yang lalu di Perak?
Saya tidak menganggap kekalahan BN dan Umno dalam siri pilihan raya kecil yang berlangsung selepas PRU 12 yang lalu sebagai satu isyarat rakyat (pengundi) menolak BN dan Umno. Belum lagi. Ukuran yang saudara Che Ismail buat terlalu ringkas. Ada lima pilihan raya kecil, BN menang satu dan Pakatan Pembangkang menang empat.
Tahukah Che Ismail bahawa BN dan Umno hanya kalah satu kerusi yang disandangnya iaitu dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tetapi dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, DUN Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang, semuanya kekal status quo. Di Batang Ai (Air) BN menang status quo juga. Riak apa yang Che Ismail nampak?
BN dan Umno menang atau kalah, bukan perkara baru. Kalau Che Ismail baru nak belajar mengkaji politik, mari saya hujahkan. Kekalahan BN dan Umno dalam PRU ke 12 yang lalu sebenarnya bukan pertama kali. Dalam tahun 1969, BN (masa itu Perikatan) juga kalah di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Tun Dr. Mahathir Mohamad juga tewas. Datuk Senu Abdul Rahman ketika itu Menteri Penerangan juga kalah. Kebetulan, dalam tahun 2008, PRU ke 12, anak Dr. Mahathir Mohamad, yang namanya kalau saya tidak silap, Datuk Mukhriz bertanding tetapi menang. Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin bertanding, tetapi tewas. Kebetulan, Senu dan Zainuddin adalah Menteri Penerangan. Kebetulan, kedua-duanya dari Kedah. Kebetulan, kedua-duanya tewas.
Di Pulau Pinang, Gerakan menang. Ketika itu Gerakan bukan dalam Perikatan. Di Perak, PPP menang. Ketika itu PPP bukan dalam Perikatan. Di Selangor, DAP menang dan berlakulah rusuhan 13 Mei 1969. Ketika ini, Allahyarham Tun Razak Hussein mengajak Gerakan, Pas dan PPP menyertai Perikatan dan Perak, Pulau Pinang serta Selangor kekal dalam kerajaan Perikatan (BN).
Kalau Che Ismail tahu sejarah ini, bukanlah apa yang berlaku dalam pilihan raya umum ke 12, sesuatu yang terlalu luar biasa kerana BN dan Umno sudah menempuh 12 kali pilihan raya umum dan banyak kali pilihan raya kecil. Menang atau kalah, bukan riak rakyat menolak BN dan Umno, melainkan isu waktu itu dan suasana yang mempengaruhi mereka.
Jadi, kalau Che Ismail kata tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, itu silap. Dia kena banyak membaca sejarah dan jangan terlalu kerap pi dengar ceramah politik yang tidak mendatangkan ilmu.
Saya menyebut perkataan perkongsian dalam tulisan saya, memetik kenyataan Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman yang menyokong usul Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir untuk melantik Datuk R. Ganesan sebagai Speaker DUN Perak menggantikan V. Sivakumar. Bukan saya yang berkata mengenai pengkongsian itu. Harapan saya selepas ini Che Ismail meneliti semula tulisan saya itu sebelum berpolemik.
Susahlah, kalau tidak faham apa yang saya maksudkan tiba-tiba ‘darah naik ke kepala’ dan marah-marah dalam tulisan. Saya belajar untuk menjadi penulis yang bertanggungjawab walaupun saya disindir dengan sindiran kononnya saya penulis upahan. Tidak jadi masalah untuk menyindir saya kerana sebagai penulis, saya kena bersedia dengan pelbagai serangan dari pihak-pihak yang seperjuangan dengan Che Ismail.
Mengenai pertanyaan Che Ismail yang mempersoalkan perkongsian kuasa BN tidak pernah sama rata, ingin saya jelaskan di sini bahawa mana ada pengkongsian sama rata dalam dunia ini? Apakah yang dimaksudkan sama rata? Adakah BN yang dianggotai oleh Umno, yang mempunyai lebih kerusi perlu berikan sama jawatan kepada rakan-rakan komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan hanya kerana mahu sama rata?
Kalau dalam perniagaan, ikut peratusan perlaburanlah. Mana boleh melabur lima peratus hendakkan keuntungan sama dengan pelabur yang melabur 10 peratus. Kalau inilah yang Che Ismail perjuangkan, jangan berkongsi dengan manusia seperti ini. Bahaya!
Dia tidak faham apa erti perkongsian tetapi dia hendak berhujah mengenai perkongsian. Dia ingat, asal kongsi, mesti bagi sama rata. Kalau berkongsi hidup, suami isteri, pun tidak boleh sama rata, apa tah lagi berkongsi kerusi dan idealism dalam perjuangan.
Eloklah, di suatu kesempatan lain, saya menulis mengenai sama rata, perkongsian dan persefahaman dalam perjuangan. Saya berharap sangat, Che Ismail tidak sedih membaca tulisan saya ini (kalau disiarkan)kerana saya mempunyai tanggungjawab kepada diri saya, bangsa saya dan agama saya dalam setiap denyut nadi saya.
Kebolehan saya menulis, bukan tujuan saya mahu mengecam sesiapa tetapi saya mengajak semua bangsa, India, Melayu dan Cina serta bangsa-bangsa lain, kenalah faham bahawa negara kita Malaysia didiami pelbagai bangsa. Kalau kita tidak ada rasa mahu bertolak ansur dan berkorban, kita akan musnahkan negara kita yang selama ini aman damai.
Untuk membina cukup susah tetapi untuk memusnahkannya, cukup mudah.
1 comments:
Salam Tuan,
saya amat setuju dengan jawapan dan hujah tersebut,kebanyakan pegikut dan penyokong pembangkang jumud pengetahuan politik,mereka lebih suka dengar dan bertindak tanpa usul periksa,mungkinkah mereka ditarbiah sebegitu???...
Post a Comment