Betulkah kalau bubar DUN, masalah selesai?

Thursday, May 14, 2009

Oleh MOHD ALI MOHD HAMDAN

MEMBACA Sinar Harian (Edisi Selangor & Kuala Lumpur), Khamis dengan berita utama ‘PAS dakwa ada ‘tangan ghaib’ – Mahfudz anggap keputusan Mahkamah Rayuan dipengaruhi BN, seolah-olah membaca Harakah, lidah rasmi Pas.

Ketika Mahkamah Tinggi memutuskan Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin kekal Menteri Besar Perak, 11 Mei lalu, penyandang jawatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menerimanya dengan hati terbuka dan bersedia untuk mengosongkan pejabat bagi menghormati keputusan tersebut.

Tidak ada langsung kedengaran mana-mana pemimpin Umno atau BN yang menuduh keputusan Mahkamah Tinggi itu sebagai dipengaruhi Pakatan Pembangkang tetapi apabila ada keputusan sebaliknya, kepimpinan PAS terus menyerang mahkamah dan institusi kehakiman kononnya dipengaruhi BN.

Apakah sebenarnya yang mahu disampaikan oleh PAS kepada rakyat dan pengundi di Malaysia? Mengapakah mereka mempunyai fikiran begitu kotor dan teruk hingga semua perkara mestilah menyebelahi mereka dan jika terjadi sebaliknya, mereka akan mengajak semua penyokong mereka, ‘menyerang’ insitusi kehakiman, mahkamah, Peguam Negara dan Polis.

Mereka, sudah semakin takbur. Mereka terus mendesak supaya DUN dibubarkan kononnya mereka membawa hujah, inilah kehendak rakyat dan biarlah rakyat yang menjadi hakim setelah pemikiran rakyat mereka kelirukan dengan fitnah dan tohmahan.

Belum tahu, jika Dewan dibubarkan, kemenangan semestinya menyebelahi mereka. Belum pasti, rakyat memilih mereka walaupun mereka cukup yakin. Bagaimanakah jika keputusannya kekal seperti sekarang, 31 kerusi dimenangi BN dan 28 kerusi dimenangi Pakatan Pembangkang?

Adakah Pakatan Pembangkang menjamin tidak akan membuat kecoh seperti apa yang mereka buat sekarang? Mahukah mereka berjanji tidak akan menuduh SPR berat sebelah dan BN mendapat sokongan dari pengundi hantu?

Rakyat perlu diberitahu, ketika Pakatan Pembangkang mendapat 31 kerusi, BN tidak membantah mereka menubuhkan kerajaan tetapi berbeza dengan Pakatan Pembangkang, apabila BN mendapat 31 kerusi, mereka terus membantah BN daripada menubuhkan kerajaan.

Ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasakan BN tidak boleh menang kalau diadakan pilihan raya semula, tetapi tidak ada siapa boleh menolak kemungkinan rakyat kembali menyokong BN untuk berkuasa semula di Perak.

Siapa yang boleh mendahului kehendak Allah? Kemenangan Pas di Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, bukan boleh menjadi kayu ukur keseluruhan arah sokongan rakyat kepada pembangkang. Walaupun tugas ini amat berat untuk BN tetapi tiada yang mustahil jika ditakdirkan BN boleh kembali berkuasa dan tidak mustahil juga, BN boleh kalah teruk, lebih teruk dari keputusan dalam PRU 12 yang lalu, jika rakyat memang sudah terpengaruh dengan hasutan dan permainan pembangkang sejak mereka berkuasa di Perak.

Keadaan politik di Perak sebenarnya boleh aman jika semua pihak faham dan tahu menghormati demokrasi. Cerita kudeta dan rampasan kuasa sebenarnya tidak betul dan dakwaan mengatakan tiga ADUN pembangkang diculik BN juga tidak pernah berlaku.

Kerajaan Pas di Kelantan pernah menubuhkan kerajaan dengan kelebihan satu kerusi dalam tahun 2004 tetapi BN memainkan peranan sebagai pembangkang secara positif. Tidak ada sesiapa berbaring di atas jalan raya dan tiada siapa yang mencipta masalah hingga terpaksa bersidang di bawah pokok.

Budaya BN, menghormati perjalanan undang-undang dan itulah prinsip yang dipertahankan selama ini tetapi Pakatan Pembangkang, sama ada yang bertaraf ulama atau bertaraf pengawal keselamatan, mereka tetap mencari helah kononnya BN menang hanya kerana tipu muslihat dan bukan kemenangan atas kehendak pengundi.

PAS dan DAP sebenarnya sudah biasa kalah dan sudah biasa menang. Mereka tidak begitu ghairah menerima berita kemenangan dan berita kekalahan tetapi semenjak mereka bergabung dengan sebuah parti yang ‘menghalalkan’ bogel dan skandal dengan isteri orang, watak PAS dan DAP serta-merta berubah. Mereka bukan sahaja menyokong parti yang merestui berbogel, malahan mereka juga semakin seronok untuk menjadikan jalan raya sebagai mahkamah dan penyokong-penyokongnya sebagai benteng untuk berhadapan dengan polis dan FRU.

Kesimpulan, seperti tulisan Najwa Mohd Ghazali di ruangan 7 Minit, Sinar Harian (Editor Edisi Perak) – apa yang terjadi di Perak bukan lagi satu kejutan, walaupun diakhir tulisannya, dia juga mahu DUN Perak dibubarkan – tanpa memikirkan apakah akan terjadi jika keputusannya nanti 51-49 peratus.

Selagi penyokong Pas belajar mengaji Quran dengan Nga Kor Ming, ADUN Pantai Remis yang sudah mendapat ‘tauliah dan ijazah’ dari Datuk Nik Aziz Nik Mat, perubahan mental mereka tidak akan dapat diubah untuk menjadi seorang manusia yang rasional.

Malahan, mereka tidak akan mahu mengakui bahawa keamanan yang mereka kecapi sekarang adalah hasil dari dasar Umno yang tidak pernah menghalang mereka (penyokong-penyokong DAP, PAS dan PKR) untuk menuntut ilmu dan menjadi manusia yang berpelajaran – dan seterusnya menjadi penentang kerajaan tanpa tahu untuk berterima kasih.

2 comments:

Mohd Asri May 14, 2009 at 2:12 PM  

Beginilah ceritanya..

Tulisan ini tidak perlu dilayan...tidak ada akademik langsung.

Anda menulis kerana anda hanya tahu membaca dan menulis tetapi bukan kerana anda menilai melalui kuasa menulis dan membaca yang anda ada.

Nik Amir. May 14, 2009 at 8:12 PM  

Tembok Berlin dibina untuk memisahkan sebuah Negara Demokrasi dengan Negara Sosialis Komunis. Memisahkan German Barat dan German Timur, Berlin Barat dan Berlin Timur. Akhirnya dirobohkan oleh rakyat pada tahun 1989. Derita rakyat yang bersaudara akhirnya terlerai dan disatukan.

Kesatuan ini adalah hasil perjuangan dan kesedaran Bangsa German dizahirkan melalui emosi yang melimpah-ruah, sehingga tidak boleh dibendung dengan teriakan dan laungan “wir sind das Volk” atau “We are the people”.

Teriakkan rakyat “We are coming” dan “Open the gate” menakutkan segala hulubalang bersenjata. Gelombang manusia tidak boleh disekat. Ibarat kata, apabila gelombang sudah menjadi tsunami tidak ada kuasa dan kudrat manusia boleh menahannya. Tahan balak, balak hanyut. Tahan ‘culvert’, ‘culvert’ pecah. Akhirnya hulubalang yang bersenjata pun samada turut memaki hamun majikan mereka atau lari bertempiaran. Waktu itu ideologi dan kedegilan tidak berguna lagi.

Akhirnya tinggallah pemimpin yang ego terkencing melilih.

Senario ini tidak mustahil akan meletus di Perak. Kenapa MB ‘Kembar Siam’, Zambry dan Nizar tidak boleh dipisahkan segera? Mereka terikat menjadi kembar siam bukannya kerana rakyat yang mengikat mereka. Yang mengikat mereka berdua ialah “ketaksuban dan keegoan” gulungan masing-masing.

Sewaktu Najib dinobat sebagai Khalifah Negara Malaysia, secara sengaja atau tidak, (Wallahualam),atau mungkin tersangatlah terujanya maka terpancutlah gagasan 1MALAYSIA dari lidah beliau dengan penuh dramatis.

1Malaysia, ‘rakyat diutamakan, prestasi didahulukan’ perlu diolah secara spiritual dan diterjemah secara lahiriah. Allah menguji Najib di Perak. Konsep 1Malaysia telah gagal diterjemahkan oleh DSN. Kemelut ini kalau mengikut spirit 1Malaysia ia harus diserahkan kepada rakyat untuk menjadikan hakim yang mutlak.Kalau rakyat diutamakan, usah berdolak-dalih. Kalau dinilai dari perspektif prestasi; dimana ‘benchmark’nya? Dengan mengizinkan ‘Kembar Siam’ meronta-ronta, rakyat akan menderita.

Jangan mengekang hak rakyat. Nanti mereka mengamuk. Nasib BN pada PRU 12 adalah satu demonstrasi senyap memprotes kerajaan BN melalui kertas undi. Dengan keengganan untuk rakyat menterjemahkan hak mereka melalui demokrasi di Perak, saya yakin rakyat akan berdendam dan menterjemahkannya pada PRU 13 nanti.Bukan sahaja di Perak tetapi seluruh Negara. Rakyat 1Malaysia sedang menyaksikan gelagat orang yang ada kuasa.
petikan:http://www.buanasuara.blogspot.com/

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP