Ahli PPP bimbang Kayveas akan jadi Samy Vellu dengan MIC – presiden seumur hidup

Tuesday, May 12, 2009


Oleh ZAKARIA BIDIN

Ahli PPP bimbang Kayveas akan jadi Samy Vellu dengan MIC – presiden seumur hidupSebaik sahaja Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk T.Murugiah mula menafikan beliau tidak ada niat untuk merebut jawatan Presiden People’s Progressive Party (PPP) di mana beliau selaku ahli majlis tertingginya, berdetak di hati saya bahawa beliau akan berdepan dengan masalah dengan presidennya, Datuk M.Kayveas.

Selepas itu, T.Murugiah dilihat rajin turun ke padang bersama wartawan dan mendapat publisiti memaparkan tugasnya hingga ke tepi longkang meninjau longkang-longkah tersumbat di Kuala Lumpur.

Dalam satu perkembangan lain, T.Murugiah telah menyebut bahawa kaum India tidak perlu mempunyai banyak parti untuk membela nasib mereka. Kenyataan itu menimbulkan banyak persoalan mengapa beliau sendiri tidak berada dalam MIC sebagai parti unggul kaum India selama ini.

Riak-riak beliau akan menghadapi masalah dengan Kayveas semakin jelas dan beliau terus menafikan beliau mahukan jawatan Presiden PPP. Tetapi Kayveas tetap memberi perhatian serius terhadap Murugiah. Apa saja yang boleh disebut dan diperli, dia akan guanakan habis-habisan.

Mungkin terbit rasa cemburu Keavyas terhadap Murugiah yang meluap-luap ketika ini. Terus menerus Murugiah mendapat beban baru apabila disebut-sebut akan bertanding jawatan di mana khabarnya sedang rancak melobi di peringkat cawangan dan bahagian untuk dicalonkan bertanding kerusi presiden dalam pemilihan PPP akan datang.

Beliau terus mendapat hasakan dari Keavyas hingga dengan terang-terang mengatakan Murugiah juga terlibat dalam politik wang. Malah laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah dibuat terhadap beliau.

Dengan alasan itu, jawatankuasa disiplin mahu mengambil tindakan memecat segara Murugiah supaya kedudukan Murugiah sebagai timbalan menteri akan terkapai-kapai bersama Barisan Nasional (BN). Kedudukan Murugiah sebagai timbalan menteri dijangka akan terjejas dan ini tentunya akan menimbulkan masalah kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru memegang jawatan perdana menteri.

Kayveas tidak peduli apa akan terjadi walaupun namanya juga akan turut cacat dalam BN kelak. Yang penting padanya adalah beliau belum bersedia untuk dilawan kerana pada ketika ini tidak ada apa jawatan dalam kerajaan. Beliau menjadi presiden parti yang tidak pun mewakili mana-mana parlimen ataupun DUN. Beliau merasakan ketika ini beliau berjalan dengan ‘tangan kosong’.

Bagaimanapun pemecatan Murugiah yang diuar-uarkan dihentikan oleh Kayveas sendiri kononnya memberi peluang kepada Murugiah bertanding dengan beliau. Sebagai timbalan menteri di jabatan perdana menteri, Murugiah lebih kelihatan menyerlah jika dibandingkan dengan kedudukan Kayveas hari ini.

Untuk itu, Kayveas akan berkempen tidak kira melalui saluran apa sekalipun, sanggup berhabisan akan berkorban dengan apa cara yang boleh untuk mengorbankan Murugiah jika Murugiah benar-benar mendapat suara mutlak ahli untuk menentang Kayveas. Dalam pada menafikan dengan banyak cara, Murugiah tentunya merasakan beliau sudah layak untuk naik bagi mengerdipkan semula cahaya bintang PPP yang sedang malap di bawah kepimpinan Kayveas.

Dalam pada itu, ahli PPP juga membuat pelbagai tafsiran sendiri antara Kayveas dan Murugiah, siapa lebih nampak berwibawa dan berkarisma untuk menjadi pemimpin mereka. Keangkuhan Kayveas (di mana beliau sendiri tidak pernah sedar) sudah lama menjadi perhatian orang ramai.

Presiden PPP ini dilihat lebih banyak menimbulkan kontraversi ketika beliau menjadi timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan sebelum ini. Keceluparan beliau telah menjadi racun kepada dirinya sendiri hingga beliau tewas dalam pilihan raya umum lalu.

Walaupun dalam kenyataan tebaharu Kayveas menyatakan PPP tidak akan mengenepikan BN melainkan dengan sebab musabab dan prinsip-prinsip yang kukuh, tetapi Kayveas mungkin tidak terfikir bahawa kalau PPP tidak keluar dari BN, BN pun sudah lama meluat dengan PPP yang tentunya berkisar dari sikap Kayveas sendiri yang tidak dilihat bebaloi berada dalam BN.

Ahli PPP juga sudah semakin ramai memberi komen terhadap presiden parti itu yang antaranya mereka turut bimbang Kayveas akan jadi presiden parti MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu yang bagaikan bermati-matian tidak mahu meninggalkan jawatan presiden MIC. Kalau boleh belaiu mahu berada di situ sampai akhir hayat.

Atas sebab itu, jika Murugiah mempunyai cukup keberanian dan bertanding juga jawatan presiden PPP melawan Kayveas, belum tentu Kayveas mampu pertahankan jawatannya sekarang. Sekiranya pula jika Murugiah ditakdirkan menang, Kayveas mungkin tidak tertanggung malunya. Tidak hairanlah kalau Kayveas kalah, beliau berkemungkinan besar akan menubuh parti baru semata-mata mahu duduk di tampuk utama dalam sebuah parti politik.

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP