KONSEP NEGARA BANGSA. APA ITU 1MALAYSIA?
Friday, May 1, 2009
Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana tidak menulis sembang Jumaat. Kebetulan kelmarin 1hb Mei adalah Hari Buruh atau Hari Pekerja. Penganggur seperti saya menghormati Hari Pekerja. Oleh itu kelmarin saya turut gembira merayakan bersama-sama pekerja seluruh Malaysia bercuti dan tidak menulis,walaupun sebenarnya saya tidak punya pekerjaan yang tetap. Di Malaysia pendapatan sebagai penulis bukanlah menjamin hidup yang baik.
Dalam sembang Sabtu kali ini saya menulis artikel yang agak serius tentang konsep “1 Malaysia. Rakyat didahulukan. Pencapaian di utamakan”. Isu yang menarik perhatian rakyat dan dijadikan polemik dan persoalan ialah slogan 1Malaysia, bukan “Rakyat di dahulukan. Pencapaian diutamakan”. Ramai yang berpendapat konsep 1Malaysia itu mempunyai kesan bukan sahaja terhadap politik malah meliputi keseluruhan dasar dan pentadbiran negara. Barangkali juga menurut setengah pendapat akan memberi impak terhadap perlembagaan negara.
Mukadimah sewajarnya perbincangan ini ialah memahami perbezaan antara konsep negara (states) dan bangsa (nations). Negara secara formalnya sebuah organisasi yang mempunyai sempadan geografi, ada kerajaan yang memerintah, sistem pentadbiran undang-undang, kewangan dan lain-lain yang berkaitan. Pemerintah mengatur dan mentadbir rakyat atau masyarakat dalam negara dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Negara adalah tentang struktur dan organisasi. Bukan tentang nilai-nilai atau ideologi rakyat atau masyarakat dalam negara itu.
Bangsa atau kebangsaan (nationhood) pula adalah satu konsep bersifat budaya. Definasi bangsa merujuk kepada satu komuniti atau masyarakat yang mempunyai nilai-nilai dan norma-norma yang sama, mempunyai pengalaman dan sejarah yang sama termasuk matlamat dan impian yang sama serta identiti dan karakter yang tidak jauh berbeza.
Negara-negara yang mempunyai penduduk homogeneous seperti Jepun yang mempunyai bahasa, ugama, nilai-nilai, karakter yang sama dan asal usul keturunan yang sama, soal isu negara bangsa ini tidak timbul. Begitu juga dengan bangsa German (Aryan), Cina, Arab, Itali yang dianggap mempunyai identity tersendiri.
Negara seperti Britian walaupun asalnya bangsa Anglican, Scots, Gealics, Irish yang berasal dari satu stok atau etnik keturunan yang sama namun kehadiran sejumlah besar kaum imigran dari Asia, Carribean, dan bekas-bekas tanah jajahan dari Afrika yang signifikan jumlahnya telah juga menimbulkan masalah identity. Bahasa Inggeris juga jadi bahasa rojak ( teringat siri TV Mind Your Language tahun 80an). Hari ini kita juga tertanya-tanya rupa bentuk identiti rakyat Britian sebenarnya?
Soalan yang sama juga kita tanya kepada rakyat negara ini, apakah rupa identiti rakyat Malaysia sebenarnya? Apakah semua bangsa harus menjadi Melayu atau memeluk Islam untuk mempunyai identiti yang sama iaitu bangsa Malaysia ATAU rakyat berbilang kaum dan agama mempunyai satu bahasa kebangsaan yang ditutur semua rakyatnya selaras dengan dasar bahasa kebangsaan, sekolah-sekolah menggunakan satu bahasa pengantar, dan rakyat mempunyai matlamat dan impian yang sama setelah hidup dalam sebuah negara yang dikongsi bersama sepanjang hidup mereka?
Ramai yang keliru bila tidak faham konsep Negara Bangsa itu dengan mengatakan konsep 1Malaysia akan menghilangkan hak-hak istimewa bangsa bangsa Melayu. Malah dasar liberalisasi ekonomi pun dikaitkan dengan konsep 1Malaysia, walhal ianya dua perkara yang berbeza. Liberlisasi adalah dasar mengurus ekonomi negara untuk menarik pelabur asing dan konsep 1Malaysia adalah tentang ciri-ciri atau budaya bangsa Malaysia.
Dari aspek sejarahnya bila kita kembali kepada perjuangan pemimpin terdahulu konsep 1Malaysia yang dianjurkan Dato Seri Najib sebenarnya hanya merangkumi usaha-usaha yang telah dimulakan Dato Onn Jaafar dan enam PM yang terdahulu. Ianya bukan usaha tergesa-gesa dan berbau politik seperti gagasan Malaysian Malaysia yang dianjurkan parti DAP.
Dizaman Dato Onn Jaafar ia menekan perlu memelihara ketuanan Melayu dengan menentang Malayan Union. Ini membolehkan Melayu mengembalikan kuasa dan hak orang Melayu sebagai rakyat asli di Tanah Melayu. Pada peringkat awal ianya tidak berniat menafikan hak kaum-kaum lain tetapi memperkukuhkan hak Melayu keatas tanah airnya.
Tunku memperkukuhkan kedudukan Melayu dengan menjamin hak-hak istimewa Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu tetapi dalam masa yang sama menerima hakikat keujudan masyarakat berbilang kaum terutama kaum Cina dan India. Tunku tidak ada pilihan pada ketika itu kerana menjadi syarat penjajah Inggeris yang hanya beri kemerdekaan setelah mendapat kerjasama dari semua kaum yang ada di Tanah Melayu.
Walaubagaimanapun Tunku gagal memperbaiki polarisasi kaum sehingga membawa kepada peristiwa 13 Mei. Peristiwa berdarah ini menyukarkan lagi usaha Tun Razak mengujudkan identiti bangsa Malaysia. Namun dalam tempuh singkat lima setengah tahun Tun Razak berusaha mengujudkan economic equity iaitu atau merapatkan jurang kekayaan sebagai pra syarat kepada keharmonian diantara kaum. Tun Razak percaya bahawa dalam jangka panjang negara tidak akan aman jika kekayaan ekonomi tidak dinikmati secara adil oleh kaum-kaum yang ada. Maka DEB diperkenalkan untuk menghapus pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi disamping matlamat pokok membasmi kemiskinan.
Bila kemiskinan dan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi berjaya dihapuskan kelak seperti disasarkan dalam DEB maka tidak ada lagi nanti tanggapan bahawa yang miskin itu Melayu dan bumiputera. Yang kaya itu kaum Cina. Secara kebetulan yang ramai miskin pada waktu itu bangsa Melayu dan bumiputera maka tumpuan sasaran adalah bangsa Melayu dan bumiputera. Matlamat akhirnya untuk mencapai kesetaraan ekonomi dengan matlamat ekuiti ekonomi Melayu pada kadar 30% menjelang 1990. Semua dasar ini pada hakikatnya mengujud sebuah bangsa Malaysia yang dapat hidup dengan harmoni dan makmur bila kekayaan dapat diagihkan secara adil.
Soal DEB gagal capai sasaran bukan isu dalam artikel ini tetapi niat Tun Razak itu begitu ikhlas untuk mengujudkan sebuah Negara Bangsa yang makmur. Tun Hussien pula memberi penekan kepada membina sebuah masyarakat Malaysia yang bermoral tinggi sebagai asas sebuah masyarakat Malaysia yang bertamaddun. Tun Hussien memberatkan pentingnya keluhuran undang-undang negara dan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa juga untuk memelihara moral dan etika rakyat Malaysia.
Tindakan keatas Dato Harun Idris yang pada masa itu Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah bukti kesungguhan Tun Hussien Onn. Dalam ucapan perasmian pada July 1976, Tun Hussien menegaskankan
“Dalam memimpin sebuah negara berbilang kaum, prinsip dalam setiap keputusan mestilah mengutamakan kepentingan nasional bukan memenuhi tuntutan satu puak sahaja…jika kepentingan nasional diketepikan, sebagai contoh mengabaikan peraturan undang-undang, ini bukan sahaja menyalahgunakan kepercayaan rakyat tetapi juga akan membuka ruang kepada satu keadaan…dimana rakyat akan bangkit menentang kita”(....In leading a multi-racial society, the principle behind every decision must be the promotion of national interest and not the fulfillment of the needs of just one group….If the national interest was pushed aside, for instance by ignoring the rule of law, this would not only be an abuse of confidence, but would also pave the way to a situation….where the people will rise in opposition”
Zaman Tun Mahathir pula membuat dasar menjangkaui sempadan Malaysia. Mahathir ingin identiti rakyat Malaysia dikenali diseluruh dunia sebagai bangsa yang berjaya. Boleh menakluki Everest, Kutub Utara, merentasi lautan pasifik dan sebagainya sebagai satu simbolik kemampuan bangsa Malaysia. Permodenan Malaysia yang dipelopori Mahathir bukan sahaja cemerlang dalam negara tetapi rakyat Malaysia juga mampu bersaing di peringkat global. Wawasannya yang penting ialah wawasan 2020.
Era Abdullah Badawi mengembalikan konsep muhibbah dan perpaduan kaum tetapi dasar-dasar untuk menghidupkan usaha mengujudkan sebuah bangsa Malaysia itu kurang ketara. Tambahan dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkannya, melahirkan rasa terkilan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam kerana konsep ini lebih memberi penekanan kepada rakyat yang berugama Islam.
Siapa itu rakyat Malaysia? Bagaimana rupa bentuk identitinya? (BERSAMBUNG)
0 comments:
Post a Comment