Kalau Hishammuddin pilih Din Adam, maknanya…
Tuesday, May 5, 2009
Oleh Mohd Ali Mohd Hamdan
MEMBACA tulisan Malek Saiful Muda dalam www.konspirasipolitikmelayu.blogspot.com mengenai usaha beberapa pihak menggugat kedudukan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan, penulis rasa terpanggil untuk menambah sedikit argumantasi mengenai politik Terengganu yang juga melibatkan politik nasional.
Perlantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, bukanlah bermakna beliau boleh melakukan segala-galanya tanpa berbincang dengan ketua-ketua bahagian atau Menteri Besar untuk ‘mentadbir’ Umno Negeri Terengganu sewenang-wenangnya. Maklumlah, Hishammuddin hanya Pengerusi, tetapi Hishammuddin bukan Menteri Besar Terengganu.
Dalam kebijaksanaan Hishammuddin mahu memperbaiki keharmonian Umno Terengganu, langkah yang beliau pasti kena berhati-hati ialah memilih ‘pasukan’ untuk bekerja dan bukan pasukan untuk meneruskan pemboikotan persidangan DUN Terengganu.
Kalaulah Hishammuddin memilih Din Adam atau salah seorang dari Geng 10 menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, maknanya selepas ini, mana-mana ADUN yang mahukan jawatan dalam Umno Negeri atau Kerajaan Negeri, boikotlah persidangan DUN. Insyaallah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, akan melantik mereka sebagai Setiausaha Badan Perhubungan atau apa-apa juga jawatan yang dianggap berpengaruh di negeri berkenaan.
Setakat ini, belum ada kedengaran lagi berita mengenai perlantikan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu tetapi dari sumber-sumber yang mengaku mereka dekat dengan Hishammuddin memberitahu, anggota Geng 10 yang pernah memboikot persidangan DUN Terengganu dilihat kerap berada di keliling Hishammuddin untuk melobi Hishammuddin supaya melantik dari kalangan mereka sebagai Setiausaha Perhubungan.
Malahan, kata sumber itu, Geng 10 mengakui jika Hishammuddin melantik salah seorang dari mereka, ini bermakna Hishammuddin membantu mereka ‘memalukan’ Menteri Besar yang mereka anggap punca sehala masalah yang timbul di Terengganu.
Kebetulan, satu dua blog yang selama ini sering ‘jeng jeng jeng’ mahu melihat apa lagi tekanan terhadap Menteri Besar juga dilihat sudah tidak begitu aktif mengemaskini blognya kerana mungkin ‘risau’ dengan laporan polis yang dibuat Pergerakan Pemuda Umno Kemaman, baru-baru ini.
Satu kelebihan yang ada pada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ialah kesabaran dan ketenangannya menyebabkan suasana politik Terengganu tidak sepanas yang mereka (Geng 10) harapkan. Malahan, mereka yang sudah mengadakan road-show untuk mencemarkan imej Menteri Besar khabarnya terpaksa memberhentikan semua kegiatan mereka kerana bimbang pihak Kuala Lumpur tahu permainan kotor mereka.
Khabarnya Geng 10 sempat mengadakan dua perjumpaan, satu di Besut yang mana bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh sendiri berucap dan satu lagi di Jabi, di mana Datuk Rosol Wahid yang pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan Exco dalam era kepimpinan Idris menyampaikan ucapan.
Setakat hari ini, Hishammuddin pernah sekali mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan menyerahkan kembali jawatan Pengerusi Perhubungan kepada pemimpin tempatan jika masalah yang timbul dapat diselesaikan.
Namun, banyak pihak sangsi dengan kenyataan Hishammuddin itu kerana menurut mereka, Hishammuddin terlalu rapat dengan anggota Geng 10 dan bimbang kalau Naib Presiden Umno itu terpengaruh dengan ‘karenah’ mereka.
Kata seorang pemerhati politik, sepatutnya mereka yang memboikot persidangan DUN dikenakan tindakan, tetapi akan menjadi pelik jika mereka yang memboikot persidangan diberikan jawatan penting pula dalam Umno Negeri.
Ini menunjukkan sudah ada kebimbangan di kalangan mereka yang mengikuti secara rapat dan dekat pergolakan politik Terengganu.
Jika tersilap perhitungan Hishammuddin bukan sahaja menjadi ‘bahan tertawa’ kawan-kawannya dalam Umno, malahan Umno Terengganu yang selama ini kukuh dan kuat, musnah disebabkan tersilap perhitungan dan tersalah percaturan.
0 comments:
Post a Comment