BLOGGER ABDUL MUBIN SYOK SENDIRI KENDALI HASRAT GENG 10 GONCANG BADAN PERHUBUNGAN NEGERI
Wednesday, May 6, 2009
Oleh Zabidi Noor
Sesungguhnya benar, laman web ‘jaranganakmelayu.blogspot.com’ sudah semakin popular kerana mendapat publisiti percuma dari Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rosli Md Hassan di majlis-majlis penerangan tentang isu semasa yang telah dikecohkan oleh Geng 10 yang tidak puas hati dengan kepimpinan Meneri Besar, Datuk Ahmad Said.
Memang perlu rakyat melayari laman web yang dikendalikan seorang penulis yang menamakan bylinenya Abdul Mubin Ismail kerana Rosli mahu orang ramai membuat penilaian terhadap kualiti tulisan penulis ini yang menulis bagaikan mendapat arahan dari satu pihak yang tidak lain tidak bukan tentunya dari kumpulan Geng 10.
Malahan rasanya, lamanweb ini dibuka khas untuk meluahkan hasrat Geng 10 mahu menggugat kedudukan menteri besar sekarang dan orang-orang yang menyokongnya terutama Datuk Rosli Md Hassan yang semestinya menyokong Ahmad Said sebagai Timbalan Ketua Badan Perhubungan dan secara tidak langsung juga menyokong Ketua Badan Perhubungan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang diassignkan membaiki kedudukan di Terengganu.
Apa yang dibidas oleh seorang penulis dalam blog lain ‘citra-bangsa.blogspot.com’, saudara Wan Yusof Haji Wan Ngah didapati sesuatu yang lebih benar dari apa yang Abdul Mubin dedahkan dalam blognya mengenai kedudukan politik di Terengganu yang bagaikan sudah hampir karam di dasar lautan.
Meneliti dari mula Geng 10 membuat angkara memboikut sidang DUN dengan alasan tiga daripada kumpulan mereka menerima ugutan bunuh, sedangkan yang tujuh lagi yang tidak menerima ugutan itu turut tidak hadir, jelas ada sesuatu yang terancang sudah diputuskan.
Dalam mana-mana kumpulan seperti ini sama ada yang memboikot, yang merusuh, yang memberontak, lazimnya mempunyai ketua. Siapa ketuanya wallahwa’alam kerana orang ramai boleh membaca siapa yang paling terkilanlah yang tidak akan teragak-agak untuk bertindak merosakkan apa yang memutihkan mata mereka.
Sepertimana saudara Wan Yusof sebut dalam tulisannya bahawa tulisan Abdul Mubin tidak berfakta kukuh dan dibuat secara samborono itu boleh ditafsirkan benar belaka kerana begitulah sifat seorang penulis jika tanpa fakta akan meraban dan menyondol membabi buta ikut sedap cakap sahaja.
Malahan siapa saja seterunya lakukan, semuanya tidak betul. Malah apabila blognya diiklankan pun dipandang serong dan diperli-perli. Patutnya kalau Abdul Mubin jujur, beliau berterima kasih dan membaiki tulisannya supaya tidaklah rakyat Terengganu yang celik IT membacanya tidak jelek asyik membelasah orang lain.
Memerhatikan setiap tulisan Abdul Mubin, nampaknya beliau tidak langsung membantu Datuk Seri Hishamuddin membentuk kedamaian di kalangan politikus Melayu Terengganu. Malah cuba megeruhkan lagi keadaan semata-mata seronok melihat blognya semakin popular.
Apa yang saudara Wan Yusof sebutkan dalam tulisannya sebelum ini yang dua orang dari Geng 10 mengadakan majlis mengecam menteri besar di Besut dan di Jabi di mana Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Rosol Wahid berucap penuh berapi-api menunjukkan Geng 10 memang sudah terang-terang tidak lagi menghiraukan maruah orang Melayu ditertawakan oleh bukan Melayu. Kemudian menyebarkan pita dan CD ucapan mereka itu kepada orang ramai supaya kata-kata mereka itulah yang paling benar.
Apakah maksud semua itu? Apakah kita boleh lihat betapa Geng 10 tidak mempunyai sifat muafakat dan cuba mengelirukan rakyat kononnya semasa Idris menjadi menteri besar dulu semuanya betul belaka? Atau apakah itu tanda-tanda orang yang telah rasa bersalah selama menjadi menteri besar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan telus dan sekarang menyesalinya?
Semua ini menyumbang kepada tekaan rakyat bahawa pergerakan Geng 10 ini sangat bahaya untuk UMNO Terengganu kalau rakyat hanya mendengar satu pihak sahaja. Maka tidak salahlah kalau pihak Ahmad Said yang diserang bertubi-tubi ada orang mengambil inisiatif menerangkan kepada rakyat apa sebenarnya berlaku.
Tambahan pula yang mengambil inisiatif itu ialah Setiausaha Badan Perhubungan Negeri, Datuk Rosli Md Hassan yang sesuai dengan kapasitinya untuk memberitahu siapa yang beliau fikir perlu dengar. Dan tidaklah orang yang pernah mendengar apa Idris dan Rosol kata hanya mendengar sebelah pihak sahaja.
Kalau majlis menerangkan keadaan semasa pun salah, sememangnya Terengganu sekarang sudah terancam dengan tindakan melulu dan penuh rasa cemburu dan berhasat dengki dengan kepimpinan Ahmad Said hingga macam-macam tohmahan dilakukan tanpa usul periksa terlebih dahulu.
Kemungkinan besar dalam kiraan saya, tujuan Geng 10 ‘memberontak’ mengecam Ahmad Said, mereka mengharapkan Datuk Seri Idris Jusoh dapat ditonjolkan menjadi Ketua Badan Perhubungan Negeri. Tetapi apabila Najib meletakkan Hishamuddin, mereka terhentak hati dan sekarang ini mereka mahukan kerusi Setiausaha Badan Perhubungan pula digugat supaya salah seorang daripada Geng 10 itu dapat duduk di situ.
Geng 10 dan Abdul Mubin ingat Hishamuddin itu calang-calang orangkah tidak tahu membaca gerak geri dan tingkah laku Geng 10 yang mempunyai niat tidak baik sejak dari mula mereka mengatakan terima SMS ugut bunuh itu satu rekaan semata-mata bagi menunjukkan ia satu perbuatan yang amat keji dari sudut politik.
Saya menulis ini tanpa sebarang rasa prejudis atau mahu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi saya telah telaah cukup-cukup setiap kandungan dalam blog kelolaan Abdul Mubin dan saya menilainya sendiri bahawa inilah yang dimaksudkan betapa rendahnya tahap seorang blogger yang wujud hanya bertujuan berpuak kiri dalam tulisannya. Ia lebih kepada membawa dirinya sebagai penulis syok sendiri semata-mata tanpa disedari telah memberikan maklumat dengan niat meracun fikiran pembacanya.
0 comments:
Post a Comment