SMS ugut ADUN: MARI KITA BANTU POLIS CARI DATUK DR AHMAD RAMZI

Friday, May 8, 2009


Oleh ZAKARIA BIDIN

KISAH tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri yang menerima ancaman terhadap keselamatan mereka bulan lalu supaya tidak hadir Sidang DUN Terengganu sudah kian terbongkar dan sedang menghampiri jawapan apabila Polis Terengganu akhirnya bertindak akan mengeluarkan waran tangkap terhadap Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh sekiranya tidak menyerah diri dalam tempoh tiga hari untuk tampil membantu siasatan.

Tindakan polis itu ini dipercayai adalah hasil dari soal siasat pemuda dari Selangor yang awal-awal lagi telah direman setelah didapati terlibat dalam penghantaran SMS tersebut. Bagaimanapun sebelum itu lagi dikhabarkan Polis Terengganu telah cuba menghubungi Ahmad Ramzi tetapi gagal. Usaha polis menjejaki di rumah di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur juga gagal dan polis tiada pilihan lain melainkan memberi tempoh dan akan mengeluarkan waran tangkap.

Kehilangan Ahmad Ramzi tidak ramai menganggapnya satu misteri sebenarnya bukan misteri kerana dipercayai Ahmad Ramzi sudah tahu beliau diburu dan tiada pilihan lagi melainkan bersembunyi kerana hanya dari beliau sahaja cerita sebenar akan terbongkar siapakah dalang dan niat perancang utama yang mencetuskan perbalahan antara Geng 10 dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Dipercayai kemelut politik yang berlaku sebelum ini berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap lantikan Ahmad Said sebagai menteri besar hingga membentuk satu kumpulan yang mendapat gelaran Geng 10 cuba mempengaruhi ADUN lain dan mendakwa telah meningkat menjadi Geng 18. Berikutan tindakan Geng 10 itu terus berlarutan apabila beberapa laman web atau blog telah diwujudkan untuk anggota Geng 10 menyuarakan apa juga pandangan mereka yang menyondong kepada kecaman terhadap kepimpinan Ahmad Said.

Geng 10 juga dikatakan telah mengadakan beberapa siri ‘roadshow’ mengecam kepmimpinan Ahmad Said yang mengambil sikap tunggu dan lihat sejauh mana mereka mampu menggugat UMNO Terengganu. Dalam pada itu apabila Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rosli Md Hassan mengadakan majlis penerangan untuk menerangkan keadaan sebenar kepada ahli telah dikecam hebat dalam laman web yang menjadi media penerangan utama Geng 10 sehingga ke hari ini.

Tujuan yang dikenalpasti dari apa yang berlaku selama ini ialah Geng 10 mahu menonjolkan salah seorang dari kumpulan mereka yang dipercayai bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh sendiri dilantik sebagai Ketua Badan Perhubungan UMNO Terengganu. Usaha mereka ke arah itu menemui jalan buntu apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk memegang jawatan itu. Manakala Ahmad Said menjadi timbalannya.

Namun Geng 10 masih tidak berpuas hati lalu melobi dengan perlbagai cara termasuk mengecam hebat Rosli Md Hassan supaya salah seorang daripada kumpulan mereka menggantikan tempat Setiausaha Badan Perhubungan Terengganu. Malahan mereka telah menamakan siapa yang mereka minat untuk jawatan itu dengan cara mencari jalan supaya Rosli disingkir.

Geng 10 juga bertambah bimbang apabila Hishamuddin pernah berkata akan kembalikan jawatan Ketua Badan Perhubungan Terengganu kepada Ahmad Said sebaik sahaja kekecohan yang berlaku sekarang ini selesai nanti.

Hishamuddin yang tentunya tahu tentang pergolakan ini bagaimanapun pasti juga akan menunggu hingga tertangkapnya Ahmad Ramzi yang boleh mendedahkan siapa sebenarnya perancang utama untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Sebagai rakyat bertanggungjawab, marilah kita sama-sama bantu pihak polis untuk mendapatkan maklumat di mana beradanya Ahmad Ramzi untuk diserahkan kepada polis dengan secepat mungkin. Kehilangan Ahmad Ramzi kita ibaratkanlah sama hilangnya mana-mana insan lain yang mungkin telah dicolek yang boleh membahayakan keselamatan beliau dan keluarga kerana mengetahui rahsia si pencolek.

Rayuan polis untuk Ahmad Ramzi menyerah diri dalam tempoh tiga hari belum memungkinkan beliau mampu lakukan dalam masa terdekat ini melainkan orang ramai yang mengenali beliau turut boleh membantu pihak polis.

Harap-harap sesiapa yang mengetahui di mana Ahmad Ramzi, bantulah Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 09-6246222.

Bantu polis cari Ahmad Ramzi bererti membantu Hishamuddin, membantu UMNO Terengganu, membantu UMNO Malaysia untuk mengetahui siapa sebenar-benarnya dalang dan pengkhianat rakyat seluruh rakyat Negeri Terengganu.

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP