Abraham tidak silap kata hakim tersilap isytihar Nizar sebagai MB sah

Friday, May 22, 2009


Oleh ZAKARIA BIDIN

PENULIS bukan hakim, bukan peguam dan juga bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak dalam kes tuntutan hak sah antara Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dengan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Tetapi meneliti kes ini sebagai satu perkara yang semestinya berakhir di tangan undang-undang di mana Mahkamah adalah tempat paling wajar untuk memutuskannya.

Kenapa Zambry membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan, walaupun Mahkamah Tinggi telah memutuskan Mohamad Nizar adalah menteri besar yang sah ialah kerana terdapat kecacatan dalam penelitian ketika mahkamah itu membuat keputusan. Maka adalah wajar Datuk Cecil Abraham peguam yang mewakili Zambry memanjangkan rayuannya ke Mahkamah Rayuan kerana sebelum ini hakim Mahkamah Tinggi gagal mentafsir Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) dengan betul.

Kegagalan mentafsiran dengan tepat berhubung kuasa mutlak Sultan menjadikan keputusan dan perintah yang dikeluarkan oleh hakim berkenaan dengan sendirinya tidak lengkap, tidak betul dan tidak selamat. Maka ia masih boleh dipersoalkan. Itulah peranan Mahkamah Rayuan tempat paling abdzal sebagai tempat rujukan terakhir.

Atas sebab itulah juga Zambry melihat masih ada ruang untuk beliau mempertahankan diri kerana selain Mahkamah Tinggi, kita mempunyai Mahkamah Rayuan Persekutuan untuk memperbetulkan keadaan sebagai satu ikhtiar supaya perkara semua perkara dalam UTKNP diteliti dan disemak dengan jelas sebagai hak Sultan yang termaktup dalam undang-undang tubuh masing-masing tidak diperlekehkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan misalnya.

Dengan jelasnya, Perkara 16(6) UTKNP Sultan mempunyai budi bicara mutlak menolak untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjadikan keputusan itu tidak boleh dicabar oleh sesiapa termasuk mahkamah. Walaupun dalam huraian yang tersiar dalam media bahawa Sultan mempunyai kuasa melantik tetapi tidak boleh memecat menteri besar, tetapi ternyata Sultan juga mengambil kira BN telah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan yang mewakili seluruh rakyat Negeri Perak.

Sehubungan itu, peguam mewakili Zambry tidak silap mengatakan hakim Mahkamah Tinggi tersilap mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah kerana pelantikan Zambry pada 6 Februari lalu tidak boleh dicabar dan dihakimi kerana ia dibuat selaras dengan Perkara 12 dan Perkara 16(6) UTKNP.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika berhujah selaku pencelah bagi kerajaan Malaysia pula menolak dakwaan bahawa Mohammad Nizar mengatakan krisis perlembagaan di Perak menemui jalan buntu. Perlembagaan pastinya tidak buntu, tetapi mungkin Mohamad Nizar sendiri yang buntu.

Beliau (Abdul Gani) memberitahu bahawa ketika Sultan melantik Zambry sebagai menteri besar, pakatan hanya mempunyai 27 ahli Dewan dan ini tidak termasuk tiga ADUN Bebas yang telah mengisytiharkan diri masing-masing menyokong BN. Maka tentulah dengan sokongan menjadikan BN majoriti dalam Dewan tidak berlaku 'jalan buntu' .

Soal mahu membubarkan Dewan lantas mengadakan pilihan raya negeri adalah soal kedua kerana apa pun hujahnya, penyelesaiannya harus berlaku di DUN terlebih dahulu dengan membetulkan kedudukan siapa menteri besar yang sah.

Pada hemat saya, itulah jalan terbaik daripada mendesak supaya diadakan pilihan raya negeri yang juga menjadi hak Sultan yang mutlak. Kalau Sultan tidak berkenan, maka tidak juga akan berlaku pilihan raya negeri kerana Sultan sedar bahawa yang menuntut supaya DUN dibubarkan hanya dari satu pihak yang sekali gus tidak menghormati keputusan pilihan raya umum lalu.


Rakyat sudah membuat pilihan siapa wakil mereka di DUN. Sekiranya ADUN mereka tidak lagi memihak kepada mana-mana pihak lantas menyokong pihak yang lain, ia bererti ADUN berkenaan telah membawa suara rakyat yang mereka wakili. Untuk mengakur keadaan inilah yang sebenarnya Mohamad Nizar melihatnya sebagai jalan buntu.


Yang penting selepas ini, walau apa pun keputusan Mahkamah Rayuan, sama-samalah kita terima dengan hati yang bulat supaya rakyat Negeri Perak tidak dibelenggu dengan masalah politik berpanjangan hingga menjejas pembangunan dan kesejahteraan yang sepatutnya berjalan dengan lancar. Masa yang terlepas itu tidak dapat kita kejar semula untuk membetulkan kesilapan, tetapi adalah munasabah untuk kita mulakan yang betul sekarang untuk menghasilkan sesuatu yang berjaya dan cemerlang.

0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP